Followers

Thursday, October 13, 2011

Cerpen di Kota Sydney Part 1

 Masjid Darul Imaan, Arnclif, Sydney

Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Muhammad Ramadan sedang berehat selepas menunaikan solat Asar di masjid, tiba-tiba ia didatangi oleh seorang lelaki Australia bertubuh tegap, berbadan sasa. Lelaki Australia tersebut terus meluru ke arah Muhammad Ramadan. Muhammad Ramadan menjadi kaget dan terkejut dengan tindakan lelaki  itu yang meluru kepadanya. Muhammad Ramadan yang sedang menyandarkan badannya di dinding masjid sambil tangannya memegang biji-biji tasbih dan mulutnya yang berkumat-kamit menyebut kalimah-kalimah zikir. 

Zikir dapat menenangkan jiwa. Ia memberi kedamaian dalam hati Muhammad Ramadan. Allah berfirman dalam surah al-Ra’d ayat 28 bermaksud: ‘Bukankah dengan mengingati Allah itu, hati kan menjadi tenang’.  Hampir saja Muhammad Ramadan melelapkan mata, tiba-tiba dia dikejutkan dengan kehadiran manusia yang tidak di undang ini. Perasaan risau dan takut bercampur-baur dalam diri Muhammad Ramadan. Apa tidaknya, beliau keseorangan dalam masjid tika itu. Jemaah lain yang sama-sama menunaikan solat Asar bersamanya tadi sudah pun pulang.

 Imam Abdullah Salim pun dah pulang. Lagi pun rumah imam agak jauh dari masjid. Untuk sampai ke masjid, imam terpaksa memandu kereta selama 15-20 minit. Tapi ia tetap istiqamah sebagai imam di masjid ini kerana ia sedar para jemaah memerlukan khidmatnya.  Ia juga menjadi pakar rujuk dalam hal ehwal agama dan dakwah di Kota Sydney. Kebiasaannya setiap kali lepas solat berjemaah, Muhammad Ramadan, imam dan beberapa jemaah yang lain akan mengadakan halaqah ilmu dan berbincang tentang dakwah dalam kalangan generasi muda di Sydney. 

Tapi hari itu, imam agak tergesa-gesa.  Imam ada memberitahu Muhammad Ramadan  bahawa ia perlu segera pulang kerana ada sedikit urusan yang perlu diselesaikan. Muhammad Ramadan tidak tahu apakah urusan imam hari itu. Mulutnya pula terkunci rapat daripada bertanya. Selepas imam beredar, barulah dia terfikir ke manakah imam hendak pergi dalam keadaan tergesa-gesa itu.  “Aahh, mungkin ada urusan penting tu”, getus hatinya. Selepas imam beredar, jemaah yang lain pun turut beredar pulang.

Cuma yang tinggal hanyalah Abdul, siak masjid yang berasal dari Lubnan yang  sudah menetap di Arncliff, Sydney sejak sekian lama. Wajah Abdul persis wajah warga Australia, tubuhnya yang tinggi lampai, berbadan agak besar, berkulit putih kemerahan. Istiqamah sungguh Abdul dengan kopiah di kepala dan tasbih di tangannya sepanjang berada di dalam masjid. Tapi masalahnya sekarang, kelibat Abdul tidak kelihatan, entah ke mana ia menghilang. Hal itu membuatkan Muhammad Ramadan bertambah risau. Muhammad Ramadan keseorangan di dalam masjid.

Bersambung ...... 

No comments:

Post a Comment