Followers

Monday, October 10, 2011

Dunia Adalah Ujian

Oleh: Ustaz Shauqi

Satu hakikat yang mesti diakui dan diimani oleh setiap muslim ialah "dunia adalah ujian". Jika dunia bukan ujian, pastilah para kekasih Allah dalam kalangan para nabi dan rasul hidup dalam keadaan mewah dan bersenang-lenang.  Akan tetapi pada hakikatnya para nabi dan rasul menghadapi segala macam rintangan dan dugaan dalam kehidupan ini dalam usaha mereka mengajak manusia mentauhidkan Allah.

Sebagai contohnya ialah nabi Nuh a.s telah ditentang oleh keluarga dan kaumnya sendiri dan dituduh gila, nabi Ibrahim a.s telah dibakar oleh Namrud,   nabi Musa a.s dizalimi Fir'aun yang mengaku sebagai tuhan, nabi 'Isa hidup penuh kefakiran dan diancam  bunuh dan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW ditentang dengan begitu hebat oleh kaum Quraisy serta diancam bunuh. Sejarah kehidupan para nabi dan rasul bukan dipenuhi keseronokan dan keindahan, malah dipenuhi onak dan ranjau di sepanjang jalan. Namun, mereka menerimanya sebagai cabaran dalam mengejar destinasi cinta yang abadi iaitu cinta kepada Ilahi.


Kita tinggalkan sebentar kisah para nabi dan rasul a.s. Cuba kita lihat di sekeliling kita. Setiap rakan yang kita kenali pasti ada masalah di sebalik kebahagiaan mereka. Masalah anak, mertua, jiran, kerjaya dan lain-lain lagi. Malah jika yang kelihatan mewah dan senang jika diselidiki mungkin lebih banyak masalah yang ditanggungnya. Setiap orang ada masalahnya. Kadang-kadang semakin lama semakin banyak masalah. Belum selesai satu masalah timbul pula masalah lain pula.

Rupa-rupanya bukan kita sahaja yang menghadapi masalah. Ramai juga orang yang bermasalah tetapi sabar menghadapinya hingga tidak kelihatan pada riak mukanya.  Mungkin masalah yang dihadapinya lebih besar daripada masalah kita.  Kita mungkin menghadapi masalah kenakalan anak, dia mungkin tidak pernah memiliki walau seorang anak atau anaknya terlebih dahulu dijemput Ilahi. Kita mungkin tidak berkereta yang selesa, namun dia mungkin hanya bermotosikal. Kita mungkin tidak memiliki rumah besar, dia mungkin menyewa dari sebuah rumah ke sebuah rumah. Kita mungkin menghadapi masalah jauh dari tempat kerja, dia mungkin hilang pekerjaan. Kita mungkin hilang kerjaya, dia mungkin terlantar di katil bergantung hidup pada orang . . .

Itulah hakikat dunia. Janganlah hanya memandang kepada orang yang lebih bertuah dari kita. Pandanglah juga mereka yang lebih bernasib buruk dari kita, semoga ia akan menimbulkan keinsafan di dalam diri kita. Teladanilah Rasulullah SAW dalam menghadapi ujian yang berat dalam hidup baginda kemudian suluhi diri kita dengan suluhan nabawi.

Rasulullah SAW pernah dibuang kekotoran di atas kepalanya, dilukai muka dan kakinya serta dipatahkan giginya, dipulau sehingga terpaksa memakan daun-daun kering,  diusir dari Makkah kampung halaman, difitnah isterinya, dibunuh empat puluh sahabatnya yang dalam perjalanan berdakwah, kematian anak-anaknya, dihimpit kelaparan sehingga terpaksa mengikat perutnya, dituduh sebagai penyair gila dan ahli sihir. . . Begitulah juga para sahabat baginda, Umar, Uthman dan Ali mati dibunuh, para solihin yang memperjuangkan Islam ramai yang mati dibunuh dan menghabiskan sisa hidup di dalam penjara. Siapalah kita berbanding mereka? Adakah masalah yang kita hadapi selama ini lebih besar daripada ujian mereka? Kita hanya perlukan sedikit kesabaran berbanding mereka. Kesabaran dalam menempuh karenah dunia untuk hidup sebagai seorang muslim yang bahagia di dunia dan juga tentunya di akhirat nanti.

Firman Allah SWT bermaksud:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). (Surah al-Baqarah 2: 214)

No comments:

Post a Comment