Wednesday, November 9, 2011

Imam Syafie dan Karya Sastera


Oleh: Ustaz Shauqi

Tidak diragui lagi bahawa Imam al-Shafie memiliki bakat puisi yang tinggi. Sekiranya beliau mahu, beliau boleh menjadi salah seorang pemuisi yang unggul pada zamannya. Walaupun tidak memberikan tumpuan kepada bidang ini, namun beliau telah menghasilkan puisi-puisi yang baik. al-Mubarrid berkata: “Semoga Allah merahmati Imam al-Shafie. Beliau ialah seorang pemuisi terbaik, paling mahir tentang kesusasteraan dan paling arif tentang al-Quran.” Kebanyakan tema puisi beliau menyentuh sama ada mengenai sesuatu peristiwa yang berlaku, pengajaran kemasyarakatan, hikmat keagamaan atau pengalaman hidup beliau sendiri. Kebanyakannya sesuai untuk dijadikan panduan dan contoh bagi mewakili tema masing-masing. Antara terjemahan puisi yang telah diungkapkan oleh Imam Shafei adalah seperti berikut :-


Peringatan mati

Adakah aku boleh menikmati kehidupan selepas pipiku ditumbuhi
Uban yang dengan sapuan warna tidak dapat ditutupi
Apabila kulit seseorang berubah pucat dan putih rambutnya
Keseronokan menjadi tawar dalam kehidupannya
Oleh itu, tinggalkanlah perkara-perkara buruk kerana ia

Haram ke atas orang bertaqwa melakukannya


Redha dengan qadar

Biarkan masa melakukan apa yang ia mahu
tenang dan redhalah apabila qadha’ itu berlaku

Janganlah bersedih dengan musibah yang berlaku

tiada musibah dunia yang kekal

Jadilah dalam menghadapi malapetaka lelaki yang cekal

dan akhlakmu adalah berlapang dada dan kesetiaan

Rezekimu tidak akan kurang kerana kesabaran

dan tidak bertambah kerana kesedihan

Sesiapa yang kematian turun di halamannya

maka tidak ada bumi atau langit yang dapat melindunginya

Bumi Allah adalah luas, tetapi

apabila turun qadha’, ruangnya menjadi sempit sekali

Biarkanlah masa mengkhianati segala kebaikan

tiada ubat yang dapat menghalang kematian


Sikap memaafkan dan lemah lembut

Apabila aku memaafkan seseorang dan tidak berdendam
diriku direhatkan daripada kegelisahan permusuhan

Sesungguhnya aku menyapa musuhku ketika bertemu

dengan menegurnya kejahatan terbuang daripada jiwaku


Sahabat ketika kesusahan


Sahabat yang tidak berguna ketika kesusahan
seperti musuh secara perbandingan

Adanya sahabat pada setiap zaman

dan juga saudara adalah untuk berkongsi duka kesedihan

Sekian lama dengan bersungguh-sungguh aku mencari
sahabat sejati, tetapi sia-sia sahaja pencarianku ini
negeri ini dan telah berubah orang di dalamnya
seolah-olah orangnya bukan lagi manusia

1 comment:

  1. السلام عليكم و رحمة الله : جزاكم الله خيرا على نشر تلك الأبيات للإمام الشافعي رحمه الله

    ReplyDelete