Oleh : Ustaz Shauqi
Amalan yang biasa dilakukan sempena menyambut bulan muharram ialah bacaan doa akhir tahun dan doa awal tahun. Walaupun terdapat perbincangan dan kekhilafan tentang bacaan doa ini, namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya baik untuk umat islam. Namun, apakah hanya sekadar berdoa sahaja yang perlu dilakukan untuk mengiringi kedatangan Muharram?. Apakah kelebihan yang terdapat dalam bulan Muharram?
Bulan Muharram merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah al-Taubah ayat 9 bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul dan lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa."
Menurut Tafsir al-Jalalain, yg dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di hormati" ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Allah swt telah mengurniakan kepada manusia empat bulan haram. Umat Islam diharamkan pergi berperang dalam bulan-bulan ini, kecualilah jika mereka diperangi.
Manakala hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Bakrah pula bermaksud : '… (Satu) tahun itu ada dua belas bulan, di antaranya ada empat bulan yang dihormati , tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharram, satu lagi Rejab berada antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban'
Antara kemulian bulan-bulan haram ini ialah disunatkan berpuasa. Daripada Abu Hurairah dalam hadis marfu' telah berkata : Nabi ditanya : Apakah solat yang lebih afdhal selepas solat fardhu? dan apakah puasa yang lebih afdhal selepas bulan Ramadhan?. Maka jawab nabi s.a.w. : Sebaik-baik solat selepas solat yang telah difardhukan ialah solat pada pertengahan malam dan sebaik-baik puasa selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan-bulan Allah al-Muharram (bulan-bulan haram). Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim, Abu Daud, al-Tirmidhi, al-Nasai'e dan Ibnu Majah.
Di samping itu, disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Ini kerana tarikh 10 Muharram (atau dinamakan hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh) mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri. Manakala disunatkan juga berpuasa pada 9 Muharram sebagai mukhalafah (membezakan) di antara kaum Yahudi yang turut berpuasa pada 10 Muharram.
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. – Hadis diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan al-Tirmidhi.
Dalam hadis yang lain, Ibnu Abbas berkata : Apabila Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah s.a.w. berkata, “Pada tahun hadapan – Insya Allah- kita berpuasa pada hari kesembilan.” Maka tidak tibanya tahun hadapan itu sehingga wafatlah Rasulullah s.a.w.. – Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud.
Mungkin timbul persoalan, mengapakah Nabi s.a.w mencontohi kaum Yahudi berpuasa pada 10 Muharram padahal baginda sendiri melarangnya di dalam sabdanya yang bermaksud: '… Berbezalah kamu dengan Yahudi serta Nasrani… berbezalah dengan Musyrikin'.?
Sebenarnya amalan berpuasa pada hari asyura' (10 Muharram) telah dilaksanakan oleh Rasulullah sebelum baginda berhijrah ke Madinah lagi. Ini berdasarkan hadis yang dinyatakan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud: 'Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Rasulullah s.a.w. juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Sesiapa yang ingin berpuasa, teruskan, Sesiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan)'. – Muttafaq ‘Alaih
Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat ini, sesuatu yang sewajarnya dijadikan pengiktibaran pada peristiwa yang berlaku pada 10 Muharram ialah Allah menenggelamkan Firaun ke dalam laut akibat keengkaran dan keangkuhannya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Yunus, ayat 90 bermaksud : Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah)".
Peristiwa lain yang dikatakan berlaku pada 10 Muharram ialah mendaratnya kapal Nabi Nuh a.s di atas bukit Judiy sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Nabi Nuh kemudiannya berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t. – (Rujuk Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam www.islamonline.net).
Selain itu, bagaimana pula dengan program membuat bubur asyura yang sering diadakan oleh masyarakat Melayu? Perlulah dijelaskan bahawa program membuat bubur tersebut tidak lebih dari program gotong-royong dan jamuan makan yang sememangnya digalakkan di dalam Islam. Sebaliknya menjadi suatu kesalahan sekiranya menganggap bahawa membuat bubur tersebut adalah sebagai suatu sunnah daripada nabi. Begitu juga dakwaan yang menyatakan bahawa Nabi Nuh a.s. membuat bubur tersebut apabila turun dari kapal. Ia adalah satu dakwaan yang tidak bersandarkan kepada hujah yang jelas daripada agama.
Di samping melaksanakan ibadah puasa sunat pada bulan Muharram, sesuatu yang amat penting untuk diingati dan dihayati ialah peristiwa hijrah nabi s.a.w. Justeru, tidak hairanlah apabila Khalifah Umar al-Khattab menetapkan peristiwa hijrahnya Nabi Muhammad s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke Madinah sejauh kira-kira 450 km itu sebagai tahun pertama dalam Islam yang dinamakan dengan tahun Hijrah.
Penggunaan Takwim Hijrah yang digunakan pada masa sekarang telah bermula pada tahun ke 17 Hijrah, iaitu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Penetapan permulaan tarikh bagi Takwim Hijriyah ini, diambil sempena peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang bermula pada tanggal 2 Rabiulawal bersamaan 14 September 622 Masihi. Baginda sampai di Quba' pada tanggal 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622 Masihi pada hari Isnin. Jika dihitungkan kembali, maka 1 Muharram bagi tahun pertama Hijrah jatuh pada 16 Julai 622 Masihi iaitu pada hari Jumaat berdasarkan kiraan rukyah.
Peristiwa hijrah perlu dikenang oleh umat Islam setiap tahun apatah lagi ketika menyambut sambutan awal Muharram, untuk menjadi pengajaran dan peringatan tentang pengorbanan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya menegakkan Islam. Mudah-mudahan dengan kenangan itu dapat menimbulkan kesedaran di kalangan umat Islam bahawa kemuliaan Islam dan kewujudan negara Islam bukanlah diperoleh dengan mudah. Sebaliknya ia perlu melalui perjuangan yang gigih dan pengorbanan yang tinggi.
Sesungguhnya sifat pengorbanan yang dimiliki dan diperlihatkan oleh Rasulullah s.a.w. dan umat Islam pada zaman baginda merupakan bukti kesungguhan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap akidah Islam dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap perintah Allah s.w.t. Sifat seperti inilah yang sepatutnya ada dan diikuti oleh generasi umat Islam hari ini.
Oleh yang demikian, apakah yang harus dilakukan oleh umat Islam ketika menyambut tahun baru hijrah ini? Adakah sudah memadai ia disambut dengan hanya mengirimkan ucapan selamat tahun baru, melalui sms atau email?
Sambutan awal Muharram dan tahun baru hijrah ini hendaklah diikuti dengan usaha melakukan perubahan pada diri dan masyarakat agar penyelewengan akidah dan keruntuhan akhlak dapat diperbetulkan dan Islam sebagai agama yang mulia dan tinggi dapat didaulatkan dan diletakkan di tempat yang sewajarnya. Sehubungan dengan itu, sambutan Tahun Baru Hijrah tahun ini hendaklah disambut dengan lebih meriah dan bermakna, agar kecemerlangan dan kegemilangan Islam dapat dihayati dan dikembalikan kepada umat zaman ini.
salam.nice post.
ReplyDeletebesarlah harapan saya untuk admin blog ini supaya me'link'kan blog saya pada blog ini.cukuplah sekadar pautan itu.dan saya sendiri pun sudah linkkan blog ini di dalam blog saya.
moga sama2 dpt kongsi ilmu utk menegakkan Islam dan meneruskan hunusan pena2 dakwah.
apa2 pun semuanya tertakluk kepada admin blog ini sama ada handak bersetuju dgn perkongsian ini atau tidak.
sama2 dpt manfaat.
boleh lawati saya di
http://nuruddinazrizulkifli.blogspot.com/
thank post
ReplyDeletefree fall backgrounds,fall backgrounds desktop,fall wallpaper,fall myspace wallpaper,wallpaper,desktop backgrounds | Wallpaper | best fall backgrounds | fall backgrounds