Wednesday, January 25, 2012

Manusia dan Harta



Suka kepada harta merupakan tabiat semulajadi manusia. Firman Allah .Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Ali ‘Imran ayat 14 bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)”.

            Firman Allah Ta‘ala yang lain dalam surah al-Fajr ayat 20 bermaksud: ”Kamu pula sayangkan harta secara bersungguh-sungguh!”. Walaupun sifat tamak sudah menjadi tabiat semulajadi manusia, namun ia hendaklah diasuh dan dididik supaya  menjadi positif. Sifat tersebut sewajarnya dijadikan sebagai motivasi untuk bekerja dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mencari rezeki secara halal serta membelanjakannya di jalan Allah SWT.

Thursday, January 12, 2012

Bid'ah ke baca Yasin Masuk Rumah Baru?

 
Baru-baru ini ada yang memberitahu saya bahawa apabila beliau menyuarakan kepada rakannya untuk membaca surah Yasin ketika hendak berpindah rumah, maka rakannya itu terus menegah perbuatan membaca Yasin tersebut dengan alasan nabi tidak pernah melakukan sedemikian, dan ia merupakan perkara bid'ah! Persoalannya, benarkah membaca Yasin ketika mendiami rumah baru itu satu perbuatan bid'ah yang sesat yang akan menghumbankan pembacanya itu ke dalam neraka??

Sebenarnya, perlu difahami dengan jelas apakah itu bid'ah. Bid'ah menurut istilah syara' ialah sesuatu perbuatan, perkataan atau pegangan yang tidak mendapat keizinan syara' sama ada daripada al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan dasar umum bagi Islam (iaitu yang bercanggah dengan dasar ajaran Islam). Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Qur'an, Sunnah, Ijma' atau Qiyas. Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bid'ah...tetapi kalau sebaliknya iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bid'ah.

Apakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bid'ah? Sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bid'ah ini ialah ibadah yang dilakukan oleh nabi saw boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat , hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat maghrib umpamanya daripada 3 rakaat kepada 4 rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bid'ah.

2. amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas untuk memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut dengan syarat tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang telah dibuat itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam. Oleh itu, tidak ada salahnya membaca al-Quran ketika berpindah ke rumah baru kerana nabi tidak pernah menetapkan atau mengkhususkan waktu-waktu tertentu sahaja untuk membaca al-Quran, bahkan bacaan al-Quran memang digalakkan pada setiap masa dan ketika tanpa terikat dengan waktu. Allah telah menyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud: 'Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...". Wallahu'alam

Antara Wang Hantaran & Mahar



Prinsip ajaran Islam itu mudah dan sederhana. Wang hantaran bukanlah sesuatu yang wajib diberikan kepada pengantin perempuan tetapi ianya dibenarkan di dalam Islam sebagai bantuan kewangan untuk majlis perkahwinan dengan syarat selagi tidak melampau. Maksud melampau ialah sehingga membebankan bakal pengantin atau mereka yang berkaitan. Contohnya hingga terpaksa berhutang untuk menyediakan jumlah hantaran tersebut.

Berbeza dengan mas kahwin (mahar) yang merupakan satu pemberian wajib daripada seorang suami kepada isterinya. Malahan isteri dibenarkan menolak permintaan suami pada 'malam pertama' sekiranya bayaran mas kahwin masih belum diberikan.


Tuesday, January 3, 2012

Jangan Pandang Remeh Ucapan Salam


Nabi saw bersabda:
والَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ لاَ تَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوْا وَلاَ تُؤْمِنُوْا حَتَّى تَحَابُّوْا، أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلىَ شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشوا السَّلاَم بَيْنَكُمْ – رواه مسلم
Maksudnya: ‘Demi Allah yang diriku berada dalam genggamanNya, kamu tidak masuk syurga selagi kamu tidak beriman, dan kamu tidak dianggap beriman selagi kamu tidak berkasih sayang, mahukah kamu aku ajarkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya akan membawa kasih sayang di antara kamu ? Tebarkanlah salam sesama kamu’.

Dalam hadis yang lain nabi saw bersabda:
يا أيها الناس، أفشوا السلام، وأطعموا الطعام، وصلوا الأرحام، وصلوا والناس نيام، تدخلوا الجنة بسلام رواه ابن ماجه
Maksudnya: ‘Wahai manusia, tebarkanlah ucapan salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), hubungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera’.

            Marilah sama-sama kita renungkan betapa besarnya fadhilat mengucapkan salam. Mengucapkan salam merupakan di antara sebab yang memungkinkan seseorang itu memasuki syurga Allah yang diimpi-impikan. Akan tetapi, amat malang sekali apabila kita dapati dewasa ini ramai di antara umat Islam yang memandang remeh tentang ucapan salam ini lantas meringan-ringankannya, sedangkan pahala di sisi allah bagi orang yang mengucapkan salam amatlah besar. Justeru, janganlah kita tergolong dalam orang yang rugi, sebaliknya sama-samalah kita berusaha untuk merebut peluang yang disediakan oleh Allah ini dengan kita mengucapkan salam kepada sesiapa sahaja sama ada kepada orang yang kita kenali atau pun tidak, dan kepada orang kaya mahu pun miskin. Ucapkanlah salam dengan penuh keikhlasan dan dengan ucapan yang betul agar kita benar-benar dapat mengambil manfaat daripada salam yang diucapkan. Janganlah kita menjadi seperti sesetengah orang yang juga mengucapkan salam, tetapi sekadar mengucapkannya ibarat melepaskan batuk ditangga iaitu dengan tiada kesungguhan, tiada keikhlasan dan ucapan salam yang tidak betul dan tepat mengikut makhrajnya. Oleh kerana ingin cepat, ada yang sekadar menyatakan ‘samaikum’, samakum’, ‘haikum’, hakum’ dan sebagainya. Apa ertinya ucapan-ucapan ini yang langsung tidak mengandungi ucapan salam sebagaimana yang dikehendaki oleh syara’. Bukannya susah untuk kita mengucapkannya dengan betul iaitu sekurang-kurangnya ‘assalamu ‘alaikum’. Oleh kerana ucapan salam yang telah diucapkan sebelum ini tidak bertepatan dengan kehendak syara’, maka kita dapati ucapan tersebut tidak membawa apa-apa makna, serta tidak dapat menjalinkan kasih sayang di antara sesama muslim.

Mari Berzikir


Nabi saw bersabda:
كَلِمَتَانِ خَفِيْفَتَانِ عَلىَ اللِّسَانِ، ثَقِيْلَتَانِ فِي المِيْزَانِ، حَبِيْبَتَانِ إِلىَ الرَّحْمن: سُبْحَانَ الله وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ متفق عليه
Maksudnya: “Dua perkataan yang mudah dituturkan oleh lidah,  berat timbangannya di dalam mizan (neraca timbangan disisi Allah), dan disukai oleh al-Rahman (Allah) iaitu: Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil ‘azim”.

Sabda nabi saw dalam hadis yang lain:
لأن أقول: سُبْحَانَ الله، والحَمْدُ لِلَّه، وَلاَ إِلهَ إِلاَّ الله، والله أَكْبَرُ أَحَبّ إِلَيَّ مِمَّا طَلعت عليه الشمس – رواه مسلم
Maksudnya: ‘Menyebut subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, dan allahu akbar lebih aku sukai daripada terbitnya matahari’.

Sabda nabi saw lagi:

مَثَل الذي يذكر ربه والذي لا يذكره مَثَل الحي والميت- رواه البخاري

Maksudnya: ‘Bandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati’.

Pada suatu hari nabi saw telah menyatakan kepada para sahabat baginda: ‘Tidak mampukah kamu untuk mendapatkan seribu kebajikan pada setiap hari?. Lalu Rasulullah saw pun ditanya tentang cara untuk mendapatkannya. Lantas Rasulullah menyatakan apabila seseorang itu bertasbih sebanyak seratus kali, maka akan ditulis untuknya seribu kebajikan dan dihapuskan daripadanya seribu dosa. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Sabda nabi saw:
من قال سبحان الله وبحمده، في يوم مائة مرة، حُطَّتْ خطاياه وإن كانت مثل زبد البحر متفق عليه
Maksudnya: ‘Sesiapa yang mengucapkan subhanallah wabihamdihi sehari seratus kali, digugurkan dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan’.

Misi Pendidikan dan Kemanusiaan Kemboja

Restoran Halal City Cat
Berada di hadapan hotel Lux Riverside, Phnom Penh
Melawat sekolah tadika
Sekolah Akademi Imam Syafie, Kg Keh, Kampot
Bersama pelajar akademi Imam Syafie
Melawat sekolah Ummul Qura