Thursday, January 12, 2012

Bid'ah ke baca Yasin Masuk Rumah Baru?

 
Baru-baru ini ada yang memberitahu saya bahawa apabila beliau menyuarakan kepada rakannya untuk membaca surah Yasin ketika hendak berpindah rumah, maka rakannya itu terus menegah perbuatan membaca Yasin tersebut dengan alasan nabi tidak pernah melakukan sedemikian, dan ia merupakan perkara bid'ah! Persoalannya, benarkah membaca Yasin ketika mendiami rumah baru itu satu perbuatan bid'ah yang sesat yang akan menghumbankan pembacanya itu ke dalam neraka??

Sebenarnya, perlu difahami dengan jelas apakah itu bid'ah. Bid'ah menurut istilah syara' ialah sesuatu perbuatan, perkataan atau pegangan yang tidak mendapat keizinan syara' sama ada daripada al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan dasar umum bagi Islam (iaitu yang bercanggah dengan dasar ajaran Islam). Oleh itu, apabila berlaku sesuatu perkara atau amalan, hendaklah dilihat sama ada amalan tersebut ada dalam al-Qur'an, Sunnah, Ijma' atau Qiyas. Sekiranya tidak ada, maka hendaklah dilihat pula sama ada amalan tersebut menepati kaedah umum ajaran Islam atau tidak. Sekiranya amalan tersebut termasuk dalam kaedah umum Islam, maka ia tidak dinamakan bid'ah...tetapi kalau sebaliknya iaitu amalan yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, barulah dianggap bid'ah.

Apakah setiap amalan atau ibadah yang tidak dilakukan oleh nabi terus dianggap bid'ah? Sesuatu yang perlu difahami juga dalam persoalan bid'ah ini ialah ibadah yang dilakukan oleh nabi saw boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1. amalan nabi yang dikaitkan (dikhususkan) dengan masa, tempat, bilangan tertentu dan sebagainya seperti bilangan rakaat solat, waktu solat , hari yang diwajibkan berpuasa, cara ibadah haji dan sebagainya. Amalan seumpama ini hendaklah dilaksanakan tanpa menambah atau mengurang kadar yang telah ditetapkan. Sekiranya sengaja menambah bilangan rakaat solat maghrib umpamanya daripada 3 rakaat kepada 4 rakaat, maka inilah amalan yang dikatakan sebagai bid'ah.

2. amalan nabi atau apa yang datang daripada nabi dalam bentuk suruhan, galakan, wasiat dan sebagainya yang tidak dikaitkan (dikhususkan) dengan waktu-waktu tertentu untuk melakukannya dan tidak pula ada larangan nabi terhadap waktu-waktu tertentu untuk melakukannya, maka dengan itu umat Islam bebas untuk memilih waktu yang disukai olehnya untuk melaksanakan amalan tersebut dengan syarat tidak menyandarkan kepada nabi dengan mengatakan bahawa nabi menyuruh melakukan amalan tersebut pada waktu yang telah dibuat itu. Bahkan amalan itu boleh dilakukan berasaskan bahawa ia merupakan sesuatu yang termasuk dalam dasar ajaran Islam. Oleh itu, tidak ada salahnya membaca al-Quran ketika berpindah ke rumah baru kerana nabi tidak pernah menetapkan atau mengkhususkan waktu-waktu tertentu sahaja untuk membaca al-Quran, bahkan bacaan al-Quran memang digalakkan pada setiap masa dan ketika tanpa terikat dengan waktu. Allah telah menyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 bermaksud: 'Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang...". Wallahu'alam

8 comments:

  1. Satu perkongsian ilmu yang bagus...

    ReplyDelete
    Replies
    1. ada bid'ah hasanah dan bid'ah saiyyiah..buat bid'ah hasanah dapat pahala..

      Delete
  2. Ust, boleh tak ust berikan sumber kepada isitlah ini: Bid'ah menurut istilah syara' ialah sesuatu perbuatan, perkataan atau pegangan yang tidak mendapat keizinan syara' sama ada daripada al-Qur'an, Sunnah, Ijma' dan Qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan dasar umum bagi Islam (iaitu yang bercanggah dengan dasar ajaran Islam). Siapakah yang memberikan istilah bid'a ini? Apakah rujukan ust dalam memberikannya? Jazakallah khairan kathira ust.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Menurut istilah syara’ bid’ah ialah sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan masalah agama (untuk mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ada contoh sebelumnya daripada Nabi SAW, tidak disuruh oleh nabi untuk melakukannya, juga tidak dipersetujui dan tidak diakui oleh nabi SAW dan tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda (Jum’at Amin Abdul Aziz. 1991. Fahmul Islam fi Zilal Usul al-‘Isyrin lil Imam Hasan al-Banna. Iskandariah: Dar al-Da’wah. Hlm. 195) . Bid’ah juga ditakrifkan sebagai mewujudkan sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak datang keizinan daripada syarak di dalam al-Qur’an, sunnah, ijma’, atau qiyas dan tidak termasuk dalam kaedah dan asas umum ajaran Islam (Al-Sa’di, Abdul Malik Abdul Rahman, 2008. Al-Bid’ah fi al-Mafhum al-Islamiy al-Daqiq. Jordan: Matba’ah al-Azhar, hlm. 8) . Oleh itu, bid'ah merupakan perbuatan yang bertentangan dengan sunnah kerana sunnah itu petunjuk sedangkan bid'ah adalah perbuatan yang dilakukan tanpa landasan wahyu (Al-Quran) atau sunnah Nabi SAW dan Ijma' ulama

      Delete
    2. Jazakallah ust.

      Delete
  3. Ada orang kata: Sunnah masuk rumah baru baca surah al-Baqarah. Betul ke ustaz?

    ReplyDelete
  4. Salam ustaz mohon keterangan amalan berpindah masuk rumah baru

    ReplyDelete