Tuesday, February 21, 2012
Tuesday, February 14, 2012
Jangan Jadi Abu Lahab 'Sambut' Maulid
KEPUTERAAN bayi yang diberi nama, Muhammad bukan sahaja disambut dengan penuh kegembiraan oleh ibu bapanya, Abdullah bin Abdul Mutalib dan Aminah binti Wahb tetapi juga sanak saudara termasuk Abu Lahab. Kegembiraan Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi Muhammad itu terbukti apabila dia memerdekakan hambanya, Suaibah. Namun, semua itu tidak bermakna kerana Abu Lahab enggan menerima dan menyahut seruan Rasulullah SAW supaya memeluk Islam sehinggalah dia mati dalam kufur.
"Sebab itu, kita jangan jadi seperti Abu Lahab. Dia antara orang yang merai dan paling gembira dengan kelahiran nabi SAW tetapi dia mengingkari seruan baginda. "Apabila nabi SAW menyeru penduduk Mekah memeluk Islam di atas Bukit Safa, maka Abu Lahablah yang mencela baginda sehingga Allah menurunkan surah al-Masad," kata Dr. Mohd. Sukki Othman. Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia itu berkata demikian dalam ceramah Maulidur Rasul di Masjid An-Nur di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Ahad lalu.
Mohd. Sukki berkata, menyambut maulid tidak cukup hanya dengan mengadakan perarakan atau berselawat ke atas junjungan nabi SAW. "Tidak ada gunanya seseorang itu paling kuat suaranya semasa berselawat atau paling banyak keluar peluh semasa berarak tetapi tidak menunaikan solat zuhur. "Sebaliknya, asas dalam memahami sunnah Rasulullah SAW adalah melalui ilmu. Malam ini kita menghidupkan sunnah baginda yang wajib iaitu menuntut ilmu," jelas beliau.
Menyingkap Sambutan Valentine's Day
Oleh: Ustaz Shauqi
Setiap tahun, tanggal 14 Februari merupakan tarikh 'keramat' dan 'bersejarah' bagi sesetengah orang terutamanya golongan belia dan beliawanis termasuk remaja Islam. Tarikh 'keramat' ini diingati sebagai Valentine's Day atau Hari Kekasih yang dirasakan amat rugi sekiranya ia dilupakan. Biasanya, ia disambut dengan pelbagai acara yang dianggap oleh pasangan kekasih sebagai paling istimewa.
Ada yang saling bertukar-tukar bunga, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, saling meluahkan perasaan cinta di taman-taman bunga dan sebagainya. Pada hari inilah ucapan kasih sayang dilafazkan sebagai bukti ketulusan cinta mereka. Pada hari ini juga pelbagai hadiah dibeli untuk diberikan kepada yang orang yang dicintai dan disayangi.
Budaya menyambut Hari Kekasih ini semakin popular dari semasa ke semasa. Anak-anak muda yang baru mencecah usia baligh pun sudah tahu apa itu Valentine, sedangkan pada masa yang sama mereka masih terpinga-pinga apabila ditanya tentang tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w. dan seumpamanya. Malahan ada yang sanggup bersusah payah mengumpul wang bertujuan untuk membeli hadiah kepada 'kekasih hati' sempena menyambut hari yang dianggap penuh romantik ini.
Tuesday, February 7, 2012
Sunday, February 5, 2012
Mengenali Rasulullah SAW
Imam Abu 'Isa Muhammad Ibn Isa al-Tirmidhi telah menyatakan bahawa adalah di luar kemampuan manusia untuk melukis gambaran mengenai rupa bentuk Rasulullah saw. Namun begitu, para sahabat yang amat kasih dan cinta kepada Rasulullah telah sedaya upaya menggambarkan kepada kita tentang perawakan Rasulullah saw ini. Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa keseluruhan kekacakan Rasulullah tidaklah dizahirkan, sekiranya dizahirkan manusia tidak dapat menoleh sedikit pandangan pun ke arah baginda.
Telah dinyatakan dalam kitab al-Syifa Bita'rif Huquq al-Mustafa oleh al-Qadi 'Iyad al-Andalusi bahawa terdapat hadis-hadis dan athar-athar sahih yang banyak didatangkan oleh para sahabat tentang perawakan nabi saw. Antara sahabat yang menceritakan tentang rupa bentuk Rasulullah ialah Ali Bin Abu Talib, Anas Bin Malik, Abu Hurairah, al-Barra' Bin 'Azib, Aisyah Ummul mukminin, Ibnu Abbas, Abu Tufail dan lain-lain lagi. Antara gambaran Rasulullah yang telah dinyatakan oleh para sahabat ialah kulitnya yang putih, mata yang cantik, rambut yang lebat, wajah yang bersinar, bulu kening halus memanjang hingga ke penghujung mata, hidung yang mancung, janggut yang tebal hingga ke dada, dada yang bidang, sederhana tinggi iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, apabila bercakap seolah-olah cahaya keluar dari gigi baginda dan lain-lain lagi (Sila rujuk kitab al-Syifa oleh al-Qadi 'Iyad, 1986, cetakan Dar al-Faiha', Amman, juzuk 1 halaman 147-149).
Friday, February 3, 2012
Rancangan Muqaddimah di TV9 - Setiap hari 6.30 pagi
4 Feb (Sabtu) - Hati Yang Hidup
6 Feb (Isnin) _ Kelebihan Selawat
8 Feb (Rabu) - Kasih Sayang Allah
22 Feb (Rabu) - Rumah Di Syurga
3 Mar (Sabtu) - Hilang Perasaan
9 Mar (Jumaat) - Siapa Mukmin Siapa Muslim
21 Mar (Rabu) - Allah Lebih Tahu
Iktibar daripada Maulidur Rasul
SAMBUTAN Maulidur Rasul bukan setakat berarak sambil berselawat dan disertai jamuan makan. Ia tidak habis setakat itu sahaja. Ia juga bukan sekadar suka-suka atau menunjuk-nunjuk, Tetapi ia bertujuan mengimbau kembali perjuangan dan pengorbanan nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam di muka bumi ini.
Rasulullah merupakan contoh yang terbaik kepada setiap umat Islam dalam segala aspek kehidup. Sebab itu, saban tahun hari kelahiran baginda diraikan supaya setiap umat Islam dapat mengambil iktibar daripada setiap sesuatu yang dilakukan dan diamalkan baginda untuk dijadikan panduan dan pedoman. Baginda adalah contoh terbaik yang bersifat universal. Keseluruhan hidup baginda dapat dijadikan ikutan dan contoh sepanjang zaman. Ia merangkumi segala aspek daripada kehidupan harian individu kepada aktiviti sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan negara. Dalam hal ini, Allah SWT menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu menjadi contoh yang paling baik untuk (menjadi ikutan) kamu. (al-Ahzab: 21)
Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, baginda adalah pemimpin ummah yang perlu diikuti dan dicontohi dalam segenap kehidupan.
Memahami Bidaah
Persoalan yang sering timbul dalam masyarakat kita dewasa ini adalah adanya segelintir masyarakat yang tidak memahami dengan sebenar-benarnya persoalan bidaah. Lalu mereka menganggap segala apa jua perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat semuanya bidaah.
Akhirnya wujud dalam kalangan masyarakat yang menyatakan bahawa amalan-amalan seumpama talkin mayat setelah dikebumikan, membaca tahlil, membaca Yasin pada malam Jumaat, berwirid secara berjemaah selepas solat fardu, membaca lafaz usalli atau melafazkan niat sebelum takbir, sambutan maulid nabi dan sebagainya adalah amalan bidaah yang tidak diterima di sisi Allah.
Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Sukki Othman menjelaskan, fahaman seumpama itu adalah fahaman yang tidak benar. Katanya, yang dianggap bidaah itu sebenarnya adalah perkara khilafiah yang para ulama berselisih pandangan terhadapnya.
Wednesday, February 1, 2012
Budaya Ilmu
Dalam Islam, ilmu hendaklah dituntut sejak 'dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad'. Apabila seseorang bayi dilahirkan, dia segera diperdengarkan dengan ilmu iaitu suara azan pada telinga kanannya dan iqamat pada telinga kirinya. Amalan ini sebenarnya menegaskan hakikat bahawa roh dalam bayi perlu "digerakkan" dan "diperingatkan" tentang perkara yang memang telah diketahuinya di alam rohani. Apabila seseorang individu muslim akan meninggal dunia, dia akan diperingatkan lagi tentang Allah s.w.t seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.: "Ajarkan orang yang akan meninggal dunia di kalangan kamu dengan ucapan Lailahaillallah".
Kisah Abu Rayhan al-Biruni seorang ahli sains, ahli perundangan dan perbandingan agama yang ulung, menunjukkan bagaimana penghayatan terhadap ilmu itu berlaku. Al-Biruni ketika sakit tenat masih mendesak seorang sahabat yang menziarahnya, tentang jawapan kepada satu persoalan fekah. Sahabatnya, dengan nada kasihan bertanya al-Biruni apakah masanya sesuai untuk membangkitkan persoalan itu. Al-Biruni menjawab dengan tegas bahawa beliau tidak mahu meninggalkan alam fana ini dalam keadaan jahil tentang penyelesaian terhadap persoalan tersebut.
Sehubungan dengan itu, semangat ilmu yang diasaskan oleh Islam mestilah disemai dalam diri setiap individu muslim. Kemiskinan, kecatatan dan keadaan persekitaran yang tidak stabil bukanlah alasan untuk gagal mencapai kecemerlangan ilmu. Imam Syafei walaupun merupakan seorang anak yatim dan miskin, telah berjaya menghafaz al-Qur'an ketika berumur tujuh tahun, dan menghafaz pula kitab fekah Imam Malik ketika berumur 10 tahun.
Syeikhul Islam Ibn Taymiyah yang dilahirkan ketika keadaan politik umat Islam kacau bilau di bawah keganasan Mongol dan Perang Salib, tetap mengutamakan ilmu dalam kehidupannya. Beliau mempelajari al-Quran, hadis, fekah, matematik, sejarah, sastera, ilmu kalam, falsafah dan sebagainya dalam suasana yang sukar.
Kesenangan hidup juga tidak harus memanjakan diri seseorang untuk menjadi malas menimba ilmu. Ibn Hazm yang dilahirkan di Cordova, dan Ibn Khaldun yang dilahirkan di Tunis merupakan contoh penuntut ilmu yang tekun walau berada dalam persekitaran keluarga yang berada, berpendidikan dan berpengaruh.
Al-Jahiz seorang yang berbangsa Negro, penjual roti dan ikan, mencapai ketinggian ilmunya bukan sekadar dengan cara menghadiri kuliah sahaja, bahkan dengan cara berdamping dengan para ilmuwan dan cendekiawan di Mirdad, sebuah kawasan terbuka di pinggir Basra. Al-Jahiz juga sering mengunjungi masjid dan mempelajari hal-hal yang bermanfaat di sana. Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupannya yang cintakan ilmu pengetahuan. Beliau yang lumpuh tubuh badannya mati tertindih oleh buku-buku yang selalu berada di sampingnya.
Budaya ilmu yang diberi penekanan oleh Islam, sewajarnya kembali diambil perhatian serius oleh umat Islam di zaman ini. Setiap individu muslim sepatutnya sudah mempersiapkan diri sama ada dari sudut fizikal mahupun mental untuk mendalami ilmu merangkumi ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Amat malang sekali sekiranya umat Islam lebih selesa dengan konsep taqlid dengan mengabaikan kewajipan mendalami ilmu sedangkan agama Islam yang mulia ini merupakan agama ilmu!.