Sunday, February 5, 2012

Mengenali Rasulullah SAW



Imam Abu 'Isa Muhammad Ibn Isa al-Tirmidhi telah menyatakan bahawa adalah di luar kemampuan manusia untuk melukis gambaran mengenai rupa bentuk Rasulullah saw. Namun begitu, para sahabat yang amat kasih dan cinta kepada Rasulullah telah sedaya upaya menggambarkan kepada kita tentang perawakan Rasulullah saw ini. Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa keseluruhan kekacakan Rasulullah tidaklah dizahirkan, sekiranya dizahirkan manusia tidak dapat menoleh sedikit pandangan pun ke arah baginda.

Telah dinyatakan dalam kitab al-Syifa Bita'rif Huquq al-Mustafa oleh al-Qadi 'Iyad al-Andalusi bahawa terdapat hadis-hadis dan athar-athar sahih yang banyak didatangkan oleh para sahabat tentang perawakan nabi saw. Antara sahabat yang menceritakan tentang rupa bentuk Rasulullah ialah Ali Bin Abu Talib, Anas Bin Malik, Abu Hurairah, al-Barra' Bin 'Azib, Aisyah Ummul mukminin, Ibnu Abbas, Abu Tufail dan lain-lain lagi. Antara gambaran Rasulullah yang telah dinyatakan oleh para sahabat ialah kulitnya yang putih, mata yang cantik, rambut yang lebat, wajah yang bersinar, bulu kening halus memanjang hingga ke penghujung mata, hidung yang mancung, janggut yang tebal hingga ke dada, dada yang bidang, sederhana tinggi iaitu tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, apabila bercakap seolah-olah cahaya keluar dari gigi baginda dan lain-lain lagi (Sila rujuk kitab al-Syifa oleh al-Qadi 'Iyad, 1986, cetakan Dar al-Faiha', Amman, juzuk 1 halaman 147-149).



Al-Barra' Bin 'Azib berkata bahawa beliau tidak pernah melihat sesiapa yang terlebih tampan daripada Rasulullah saw. Jabir pula telah meriwayatkan bahawa pada suatu ketika semasa malam bulan purnama terang-benderang, beliau melihat kepada wajah Rasulullah dan juga melihat ke arah bulan, dan mengikut pandangannya wajah Rasulullah terlebih cantik dan berseri daripada bulan dan cahayanya.

Anas pernah berkata bahawa: 'Rasulullah saw tidaklah tersangat tinggi dan tidak juga tersangat rendah, dan warna wajah Rasulullah tidaklah terlalu putih seumpama air kapur dan tidak pula pucat pudar (warna kulit putih kemerahan), rambut Rasulullah tidaklah terlalu lurus dan tidak pula terlalu kerinting (rambut ikal mayang)….dan uban yang ada pada rambut dan janggutnya tidak melebihi dua puluh helai'.

Manakala Saidina Ali pula ketika menceritakan perawakan Rasulullah saw, beliau berkata: 'Rasulullah tidaklah tersangat tinggi dan tidak juga tersangat rendah tetapi memiliki tubuh badan sederhana, rambut baginda tidak terlampau lurus dan tidak juga terlampau berketak-ketak tetapi berkeadaan berombak (ikal). Badannya tidak gemuk. Wajahnya tidak bulat tetapi bujur. Warna wajah Rasulullah putih dengan sedikit kemerah-merahan. Matanya tersangat hitam dan bulu keningnya panjang. Tulang-tulang sendi di badannya tebal (besar)- (pergelangan tangan, siku, lutut). Bahagian di antara kedua-dua bahu dipenuhi daging-daging (berisi). Badan Rasulullah tidak berbulu di seluruh tubuh badan, walau bagaimanapun terdapat suatu garisan bulu daripada dada terus ke pusat. Tangannya yang mulia penuh dengan isi-isi daging. Apabila Rasulullah berjalan, baginda akan melangkah ke hadapan dengan kukuhnya, seoalah-olah baginda berjalan menuruni tanah curam, iaitu menuruni dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Apabila baginda menumpukan perhatian kepada seseorang, baginda melakukannya dengan seluruh jasadnya (memusingkan seluruh tubuh dan menoleh mukanya). Di antara dua bahunya terdapat tanda kenabian. Pangkat kenabian berakhir padanya. Baginda terlebih dermawan daripada segala makhluk dan paling dipercayai percakapannya dan terlebih lembut hatinya daripada semua manusia. Baginda adalah daripada golongan keluarga yang paling mulia'. (Sila rujuk kitab Insan Teladan Sepanjang Zaman oleh Mufti Ahmed Ibrahim Bemat, 1996, cetakan Dar al-Nu'man, halaman 10-11).

Kitab-kitab sirah juga menggambarkan Rasulullah sebagai insan yang paras mukanya manis dan indah, tidak terlampau tinggi, juga tidak pendek, dengan bentuk kepala yang besar, berambut hitam antara keriting dan lurus. Dahinya lebar dan rata di atas sepasang alis yang lengkung lebat dan bertaut, sepasang matanya lebar dan hitam, di tepi-tepi putih matanya agak kemerah-merahan, tampak lebih menarik dan kuat, pandangan matanya tajam, dengan bulu-mata yang hitam pekat. Hidungnya halus dan merata dengan barisan gigi yang bercelah-celah. Jambangnya lebar sekali, berleher panjang dan indah. Dadanya lebar dengan kedua bahu yang bidang. Warna kulitnya terang dan jernih dengan kedua telapak tangan dan kakinya yang tebal. Bila berjalan badannya agak condong ke depan, melangkah cepat-cepat dan pasti. Air mukanya membayangkan renungan dan penuh fikiran, pandangan matanya menunjukkan kewibawaan, membuat orang patuh kepadanya.

Ringkasnya perawakan Rasulullah adalah seperti yang berikut:
  • Seorang yang kacak.
  • Rasulullah saw jauh lebih cantik daripada sinaran bulan, Rasulullah saw juga seumpama matahari yang bersinar.
  • Apabila Rasulullah saw berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama . Kali pertama memandangnya, sudah tentu akan terpesona
  • Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat. Wajahnya seperti bulan purnama
  • Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
  • Mata Baginda hitam dengan bulu mata yang panjang. Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya.
  • Hidungnya agak mancung
  • Mulut baginda sederhana luas dan cantik
  • Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan. Apabila berkata-kata cahaya kelihatan memancar dari giginya
  • Janggutnya penuh dan tebal menawan
  • Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak yang sangat indah.
  • Kepalanya besar tapi elok bentuknya
  • Rambutnya sedikit ikal. Rambutnya tebal sehingga kadang-kala menyentuh pangkal telinga dan kadang-kala mencecah bahu, namun ia disisir rapi. Rambutnya juga terbelah di tengah
  • Di tubuhnya tidak banyak bulu kecuali satu garisan bulu menganjur dari dada ke pusat
  • Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa. Kedudukan kedua-dua bahunya adalah seimbang.
  • Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya , jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik. Tapak tangan Rasulullah saw amat lembut
  • Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
  • Kakinya berisi, di tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
  • Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran antara coklat dan putih. Warna putihnya lebih banyak. Warna kulit Baginda putih kemerah-merahan.
  • Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh
  • Badannya tidak gemuk. Perutnya tidak buncit
  • Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak. Namun begitu, badannya cenderung kepada tinggi. Semasa berada di kalangan orang ramai, baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka
  • Sekalipun baginda miskin dan lapar tapi tubuhnya lebih gagah dan sihat daripada orang yang cukup makan.

2 comments:

  1. salam ustaz info yang bermanfaat minta izin ustaz saya share di blog saya ya, beserta link ustaz sekali syukran ...:)

    ReplyDelete
  2. Aswt Ustaz. Saya tercari2 perihal Nabi Saw dlm bab perkahwinan:
    • mengapa perlu dia ada 11 isteri. Apa tujuan2 Rasullulah saw berkahwin. Apakah tujuan2 yg diguna Nabi Saw bolih kita guna utk. berkahwin masakini?
    • mengapa Nabi Saw berkahwin dgn Aisha r.a ketika umur nya 6 tahun? Apa kah message yg nak di sampaikan kpd umat Islam dari tindakan ini? Adakah umatnya digalak utk berbuat demikian masakini demi sunnah nya. Adakah anak perempuan mahupun lelaki baru baligh itu dianggap bersedia menempuh alam rumah tangga yg bagitu mencabar masakini?? Adakah ia bawa lebih kebaikkan masakini jika umat Islam ikut contoh Nabi Saw?
    • tujuan berkahwin : apakah tujuan2 yg d benarkan dlm Islam? Kerana kesian, nak tolong, strategi persahabatan, berdakwah, etc??
    Saya rasa tindakan Nabi saw dalam isu perkahwinan perlu umat memahami nya dgn jelas dan betul secara terperinci supaya contoh2 yg hendak di sampaikan Nabi Saw yg agung itu tidak di salah ertikan olih mana2 pihak. Jika ada rujukan buku, harap Ustaz dapat halakan kearahnya.
    TKasih.

    ReplyDelete