Followers

Thursday, March 29, 2012

Ibn al-Jawzi: Pemidato Hebat




Oleh: Ustaz Shauqi

Beliau ialah 'Abdul Rahman Bin 'Ali Ibn Muhammad Abu al-Faraj Ibnu al-Jawzi. Dilahirkan pada tahun 509 Hijrah bersamaan tahun 1126 Masihi di Baghdad.  Beliau telah menjadi yatim ketika berumur 3 tahun lagi apabila bapanya meninggal dunia. Ibunya menghantar beliau belajar dengan seorang ahli hadith terkenal pada zaman itu iaitu yang bernama Ibn Nasir. Dia juga menghafaz al-Quran sejak kecil.  Ibnu Jawzi telah menceritakan kisah persekolahannya:

"Saya dimasukkan ke sekolah rendah ketika berumur 6 tahun. Saya tidak menghabiskan masa dengan bermain, sebaliknya menghadiri majlis syarahan ilmu hadith di masjid. Saya menghafaz serta mencatatkan Hadith dan maklumat mengenai sirah nabi apabila pulang ke rumah. Saya sentiasa membawa buku walau ke mana sahaja saya pergi".

Ibnu Jawzi merupakan seorang yang banyak membaca sejak kecil. Pada zamannya, kota Baghdad mempunyai banyak perpustakaan, lalu beliau banyak menghabiskan masanya di perpustakaan untuk membaca buku. Beliau amat seronok bila berjumpa buku baru. Beliau telah membaca lebih daripada 20,000 buah buku. 

Sunday, March 25, 2012

Sekitar Beirut, Lubnan

Tempat pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafiq Hariri. Rafik Hariri ditembak mati pada 14 Februari 2005 apabila bom TNT seberat 1000 kg meletupkan kenderaannya di Hotel St George , Beirut ,tengah Lubnan  

air laut yang jernih di persisiran bandar Beirut

Ramai yang berjoging di persisiran laut ini

bersih dan terpelihara

pemandangan dari tingkat 8 hotel Monroe, Beirut

pemandangan dari tingkat 8 hotel Monroe, Beirut

pemandangan dari tingkat 8 hotel Monroe, Beirut

Masjid Muhammad Amin, Beirut

Masjid Muhammad Amin, Beirut

Friday, March 23, 2012

Persidangan Antarabangsa Bahasa Arab, Beirut Lubnan

  pentas perasmian seminar

Ketika majlis perasmian

Penganjur bersama persidangan

penganjur bersama persidangan

Membentangkan kertas kerja

Persidangan Antarabangsa Bahasa Arab telah berlangsung di Beirut, Lubnan dari 19-23 Mac 2012. Ia telah dihadiri oleh ramai  tokoh bahasa Arab terutamanya dari negara Timur Tengah. Kertas kerja yang dibentangkan telah dibukukan dalam bentuk prosiding sebanyak 4 jilid. Tema persidangan ialah 'Tanggungjawab Individu, Masyarakat dan Negara' dalam memartabatkan bahasa Arab, bukan sekadar ia sebagai bahasa bagi orang Arab dan bahasa antarabangsa , tetapi ia adalah bahasa bagi orang Islam secara khususnya yang perlu memahami bahasa Arab untuk memperkukuhkan kefahaman kepada al-Quran, hadis dan dalam melakukan ibadat.

Friday, March 2, 2012

Berlumba Ke Belakang?



Oleh: Ustaz Shauqi

Seringkali didapati orang Melayu Islam apabila berkunjung ke masjid atau ke surau akan mengambil tempat di saf belakang. Apabila terdapat ruang kosong di saf hadapan umpamanya, masing-masing bertolak-tolak untuk memberikan ruang kepada rakan yang lain untuk ke hadapan. Sekali imbas, seolahnya ini merupakan suatu perbuatan yang baik kerana mengutamakan orang lain tanpa mementingkan diri sendiri. Namun apabila difikirkan dengan teliti, ia menggambarkan mentaliti kita yang tidak berwawasan tinggi ke hadapan. Apatah lagi merebut saf hadapan merupakan satu keutamaan bagi setiap individu muslim.

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seandainya orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada Jabir bin Samirah ia berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tidakkah kalian ingin berbaris, sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabb?’ Baginda menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf.” (Hadis Riwayat Muslim)

            Bukan sekadar dalam saf solat sahaja didapati ’orang kita’ tidak mahu ke hadapan, bahkan kalau dilihat dalam apa-apa majlis atau program yang diadakan sekalipun iaitu sama ada majlis ilmu, seminar, forum dan sebagainya, pasti kedapatan mereka yang akan memilih tempat di belakang terlebih dahulu walaupun tempat di hadapan masih kosong. Mengapakah situasi ini berlaku? Apakah budaya dalam masyarakat kita mengajar atau mendidik kita untuk menjadi sebegitu?

Sistem Pajak Gadai Islam


Sistem pajak gadai konvensional telah mendominasi masyarakat Melayu Islam di negara kita sejak sekian lama terutama sejak pemerintahan British di Tanah Melayu. Tambahan pula, perniagaan pajak gadai juga banyak diusahakan oleh masyarakat Cina yang bukan Islam. Sehubungan dengan itu, orang Melayu Islam di negara ini yang memerlukan perkhidmatan mudah tunai telah berurusan dengan kedai-kedai pajak gadai konvensional yang kebanyakannya diusahakan oleh pengusaha-pengusaha Cina itu. Hal ini telah menyebabkan berlakunya transaksi perniagaan yang bertentangan dengan hukum syarak.

            Sistem pajak gadai konvensional adalah haram menurut ajaran Islam kerana ia mengandungi elemen-elemen yang diharamkan seperti riba, penindasan dan sebagainya. Dalam sistem pajak gadai konvensional, unsur riba amat jelas berlaku apabila ia diasaskan kepada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Oleh itu, pinjaman kewangan tersebut akan dikenakan ‘bunga’ atau faedah. Jelasnya, pajak gadai konvensional menjadikan ‘faedah’ sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya adalah riba yang diharamkan oleh Islam. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 275 bermaksud: “Orang yang makan (mengambil) riba  tidak dapat berdiri (di akhirat) melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila, keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”.    

Thursday, March 1, 2012

Fenomena Ajaran Sesat



Oleh: Ustaz Shauqi

Realiti  yang berlaku dalam masyarakat kita, ialah pencemaran akidah dan ajaran sesat yang semakin menjadi-jadi. Namun yang amat menghairankan ialah bagaimana terdapat umat Islam yang begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sesat? Pencemaran akidah suci umat Islam bukanlah sesuatu yang baru di Malaysia. Malah, pencemaran dan resapan ajaran sesat ke dalam sistem kepercayaan umat Islam di nusantara ini, semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa.  

Ajaran sesat ialah sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam; sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dengan ajaran Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah.  

             Kemunculan kebanyakan ajaran sesat ini dipercayai berpunca daripada pengaruh, kebudayaan, adat dan kepercayaan lama yang mengandungi unsure-unsur animisme dan dinamisme serta dicampur aduk dengan doktrin-doktrin lain seperti Kristianiti, Hinduisme, Budhisme, Neo Platonisme dan lain-lain lagi yang meresap dalam ajaran Islam.  Adalah dipercayai ajaran sesat yang paling lama usianya di Malaysia ialah ajaran Taslim yang dibawa oleh Mohammad Bin Shafie atau dikenali sebagai Mohamad Matahari pada awal abad ke-19, di Kampung Seronok, Bayan Lepas, Pulau Pinang.