Followers

Monday, June 4, 2012

Terkenang al-Marhum Hj Abu Bakar Ismail



Saya agak lama menulis dalam majalah Milenia Muslim.... sejak tahun 2003... boleh dikategorikan sebagai ’orang lama’ dalam majalah tersebut. Kiranya... cukuplah kot, apatah lagi  sekarang ni ... dah ramai penulis baru dalam majalah tersebut... kira oklah... pihak editorial pun kerap-kali bertukar.... setiap editor mempunyai misi dan visinya tersendiri..... Milenia Muslim mengingatkan saya kepada al-Marhum Hj Abu Bakar Ismail.

Masih terbayang di ruang mata keramahan al-marhum Hj Abu Bakar Ismail ketika menceritakan tentang visi dan misinya ketika menghasilkan artikel dan penulisan ilmiah bercorak agama di Majalah Milenia Muslim keluaran MMP Communications. Beliau menegaskan dengan begitu bersemangat bahawa inilah medium yang akan digunakan oleh beliau dengan sebaik-baiknya untuk mengetengahkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan pemahaman agama dalam masyarakat. Beliau juga begitu kritis dalam membincangkan sikap ’taqlid buta’ dan amalan agama yang dibuat secara ’pak turut’ dan membuta-tuli tanpa berasaskan pemahaman dan ilmu.


Ketika majalah Milenia Muslim baharu sahaja dilancarkan, al-marhum Haji Abu Bakar Ismail yang ketika itu ditugaskan untuk menjadi perunding editorial bagi majalah baharu ini begitu sibuk memikirkan cara dan kaedah yang terbaik untuk menampilkan isu-isu yang bermanfaat dalam majalah ini bagi mengisi kekosongan ’pemahaman agama’ dalam masyarakat’ di samping untuk melawan gelombang besar majalah-majalah hiburan yang berlambak di pasaran.  Keunikan majalah Milenia Muslim yang diketengahkan pada masa itu ialah menampilkan artikel-artikel di dalam bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam satu majalah. Ia merupakan sesuatu yang amat unik yang jarang diketengahkan oleh majalah-majalah lain.

Apatah lagi kehadiran majalah Milenia Muslim ini sebenarnya bukan berorientasikan keuntungan, tetapi ia adalah merupakan amal jariah yang disumbangkan oleh Datuk Jamaluddin Mansor. Datuk Jamaluddin pernah menyatakan dalam salah satu mesyuarat yang saya turut hadiri, bahawa beliau tidak mengharapkan sebarang keuntungan daripada keluaran majalah ini, akan tetapi ia adalah lebih kepada sumbangan ilmu  terhadap  masyarakat ke arah pembinaan masyarakat yang mempunyai wawasan dunia dan akhirat.

Ketika peringkat awal penerbitan majalah Milenia Muslim, al-Marhum Haji Abu Bakar Ismail merupakan orang penting yang bertanggung jawab untuk memastikan isu-isu atau idea-idea yang diketengahkan oleh majalah relevan dengan kehendak masyarakat serta dapat membina kefahaman golongan ’pertengahan’ dalam masyarakat agar selari dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah. Al-Marhum merupakan seorang yang aktif dan pro-aktif ke arah usaha menampilkan isi kandungan majalah dengan cara yang terbaik. Apatah lagi, pengalaman al-marhum selama 30 tahun dengan akhbar Berita Harian telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk memberikan sumbangan yang amat bernilai terhadap Milenia Muslim.

Untuk merealisasikan misi dan visi majalah serta untuk memperkasakannya, al-marhum yang ketika itu merupakan perunding editorial Milenia Muslim telah berusaha untuk mencari penulis yang dapat memberikan sumbangan terhadap majalah. Usaha beliau itu telah menemukannya dengan saya pada awal tahun 2003. Melalui Encik Zainal yang juga merupakan salah seorangan kakitangan di MMP Communication, al-marhum Hj Abu Bakar telah dipertemukan dengan saya di pejabat saya di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Dalam pertemuan ‘ilmu’ tersebut, al-marhum Hj Abu Bakar dengan begitu ramah dan ceria menyatakan impian beliau terhadap majalah Milenia Muslim ini. Visi dan misinya amat jelas iaitu untuk ‘berdakwah’ melalui penulisan. Beliau juga telah menyuntik kata-kata semangat kepada saya untuk turut sama menyumbang idea dan penulisan untuk memantapkan lagi isi kandungan Milenia Muslim. Keikhlasan beliau untuk berdakwah melalui medium penulisan dalam Milenia Muslim begitu terserlah sekali. Pertemuan dengan al-marhum Hj Abu Bakar yang penuh bermakna itu, membuatkan saya teruja untuk turut sama menyumbang artikel dalam majalah Milenia Muslim.

Semangat dan wawasan yang ditonjolkan oleh al-marhum, membuatkan saya turut bersemangat untuk menghasilkan penulisan dalam Milenia Muslim. Justeru, untuk penampilan sulung saya dalam Milenia Muslim, saya telah menghasilkan 4 artikel sekaligus. Artikel-artikel itu telah diterbitkan oleh Majalah Milenia Muslim  pada bulan Mei 2003,   bertajuk ‘Rasulullah Contoh Pemimpin Terbaik’, ‘Antara Sunnah dan Sunat’, ‘Justice in Islam’, dan ‘Keruntuhan Akhlak Perlu Ditangani Dengan Bersungguh’. Sejak daripada itu   saya telah menghasilkan lebih daripada 125  artikel untuk Majalah Milenia Muslim. Sesungguhnya kecekalan dan semangat yang ditonjolkan oleh al-marhum Hj Abu Bakar telah menyuntik semangat kepada saya untuk terus menulis ….

Kesungguhan al-marhum untuk mempastikan Milenia Muslim mendapat tempat di hati masyarakat amat jelas sekali. Sehubungan dengan itu, kerap-kali juga beliau mengadakan mesyuarat dengan para penulis dan penyumbang artikel yang turut disertai juga oleh   warga kerja majalah untuk berbincang dari semasa ke semasa ke arah memantapkan majalah sama ada dari sudut isi kandungannya, mahu pun penampilannya. Setelah Milenia Muslim kian mendapat tempat dalam masyarakat, MMP Communications pun mengorak langkah dengan menerbitkan pula majalah ‘Aniqah’ dan majalah ‘Forward’. Sesungguhnya al-marhum juga boleh dikatakan orang yang berperanan penting dalam penerbitan kedua-dua majalah baharu itu.

Hj Abu Bakar Ismail sendiri  tidak pernah berhenti menulis sehinggalah beliau dijemput untuk mengadap ilahi. Allahyarham Hj Abu Bakar Ismail telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 11.30 malam hari Selasa 19 Januari 2010 akibat serangan jantung. Jenazahnya disolatkan di Masjid al-Hidayah berhampiran kediamannya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, Hulu Klang kira-kira jam 11 pagi 20 Januari 2010.

Sesungguhnya ‘pemergian’ beliau merupakan suatu kehilangan yang amat dirasai bukan sahaja dalam kalangan anggota keluarga dan sahabat-handai serta teman sekerja, namun ia turut dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu yang sentiasa mengikuti penulisan beliau khususnya dalam majalah Milenia Muslim. Nama baik beliau juga akan terus diingati sebagai seorang pejuang dakwah melalui penulisan, bak kata pepatah ‘harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’. Semoga keikhlasan beliau dalam berdakwah melalui sumbangan penulisan dapat dijadikan bekalan ketika bertemu Allah SWT sebagaimana hadis nabi SAW yang bermaksud: “Apabila meninggalnya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya di dunia ini kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya, dan anak yang soleh yang mendoakan untuk kedua-dua ibu-bapanya”.  Al-Fatihah

No comments:

Post a Comment