Sempena menyambut
bulan Ramadan yang mulia tahun 1433 Hijrah ini, Multaqa Asatizah dan Du’at
(MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin mengucapkan tahniah
kepada semua umat Islam yang diberi anugerah rezeki oleh Allah s.w.t bagi menyambut
bulan Ramadan pada tahun ini.
Dengan itu, kami
menyeru seluruh umat Islam agar menyambut bulan Ramadan yang mulia ini dengan
kesedaran bahawa ia adalah suatu bulan mujahadah bagi mencapai taqwa melalui
latihan kerohanian dan ketahanan terhadap dugaan syahwat yang pelbagai serta
peningkatan ilmu terhadap inti Al-Quran serta menambahkan bacaannya. Allah s.w.t
menyebut :
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Ertinya: Bulan Ramadan yang diturunkan
padanya Al-Quran sebagai pentunjuk bagi manusia dan bukti keterangan dari
petunjuk dan pembeza (di antara yang benar dan salah). (Al-Baqarah: 185)
Sempena bulan Ramadan, bulan
tarbiah dan perjuangan ini, kami ingin menegaskan beberapa hal berikut :-
1.
Menyeru para ilmuan Islam dan masyarakat awam
agar kembali memikirkan dan berusaha memberikan fokus serta penelitian terhadap
amalan dan isu-isu yang paling utama di bulan Ramadan seperti :-
a) Meraih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Hal ini ternyata dengan sangat jelas melalui arahan Allah dan RasulNya. Perbincangan
berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang seseorang dari
mencapai sasaran ini perlu diberikan perhatian yang lebih utama.
b) Bulan Mengingati Fungsi Al-Quran : Allah menyebut bahawa
Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran
petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan
berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya
formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu
diperhebatkan.
c) Amaran Terhadap Pengikis
Pahala Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam
berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti
bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji. Ia perlu
dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala
puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
d) Kaedah Penambah Pahala &
Redha Allah di Bulan Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu
‘alaihi wa sallam yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini
juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke
Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa
ingin mengajak kepada kemaksiatan.
2.
Mengajak seluruh umat Islam agar
mempergandakan amalan kebaikan, ketaatan, dan menghulurkan bantuan kebendaan dan doa
kepada faqir miskin dan semua yang memerlukan sama ada di Malaysia atau di luar
negara, khususnya di negara-negara yang sedang bergolak seperti di Syria dan Rohingya,
Burma. Mereka sedang menderita di tangan orang-orang zalim dan pihak pelampau
sehingga menghadapi penderitaan dan kesukaran mempertahankan nyawa dan maruah
selain penderitaan mendapatkan sesuap makanan, turut terganggu peluang untuk menyempurnakan
ibadah di bulan Ramadan ini. Tidak ketinggalan juga menyeru agar kita mempergandakan
doa bagi pembebasan bumi Palestin dan Al-Quds Al-Syarif yang diberkati.
3.
Kami juga mengajak semua pemerintah dan
ketua di peringkat masing-masing untuk melakukan penelitian terhadap amanah
masing-masing dan keadaan semua yang di bawah tanggungjawab mereka,
mengenalpasti punca kelemahan dan masalah serta penyelesaian dengan ilmu dan
keinsafan. Justeru, tingkatkanlah amalan syura melalui konsultansi dan
perbincangan dengan mereka yang di bawah agar keadilan dapat ditegakkan dan mkanura dengan melakukan konsultansi dengan
merekayang diap makananengembalikan keharmonian.
4.
Mendesak dan menyeru pihak berwajib di
Malaysia agar menyatakan teguran kepada pihak kerajaan Burma atas kezaliman
terhadap masyarakat Muslim di Burma dapat ditamatkan dengan segera. Tindakan
seperti ancaman menyekat hubungan diplomasi di antara negara juga wajar
dilakukan jika hal tersebut dibiarkan berterusan.
5.
Menyeru diri kami sendiri, para ulama,
golongan ilmuan agama dan masyarakat awam agar menghormati perbezaaan pandangan
dan ijtihad dengan menjauhi perdebatan secara melampau dan cercaan dalam
membincangkan hal-hal seperti perkara-perkara yang membatalkan puasa, jumlah
rakaat solat terawih dan lain-lain hal yang diperbezakan halnya di kalangan
ulama sejak dahulu. Ini adalah kerana dibimbangi, perdebatan dan kekasaran
kata-kata mampu mencarikkan tuntutan penjagaan ukhuwwah, lidah, mulut dan mengundang
kemarahan di bulan yang mulia ini.
6.
Menyeru kepada seluruh masyarakat agar
mempertingkatkan kualiti diri di bulan Ramadan dan bukan dijadikan alasan untuk
tidak produktif. Ramadan bukan sama sekali suatu bulan yang patut dijadikan
alasan penghalang produktiviti kerja. Begitu juga amat perlu menjauhi
pembaziran dan pemborosan dalam makanan dan penggunaan masa.
7.
Menyeru masyarakat awam mengambil peluang
gandaan pahala di bulan ini dengan memperbanyakkan amalan ibadah khusus serta
peluang nasihat menasihati dengan cara yang terbaik dan disenangi melalui
akhlak mulia. Menjauhi sangkaan buruk dan mendahulukan sangkaan baik terhadap
sesama Muslim.
8.
Bagi memastikan kita mampu mencapai
keampunan Allah dan rahmat apabila tamat Ramadan nanti, kami menyeru diri kami
dan semua umat Islam agar menginsafi apa jua hak orang lain yang dirampas,
tubuh yang dipukul, harta yang diambil tanpa izin, hutang yang sengaja dilewat
dan tidak dibayar, maruah yang dicorek melalui perkataan dan fitnah, sihir yang
dikenakan ke atas orang lain serta apa jua kezaliman yang dilakukan agar segera
ditamatkan atau dipulang semula harta yang diambil.
9.
Kami turut menyeru umat islam agar
menjauhi hutang tanpa keperluan di bulan mulia ini semata-mata untuk
menunjuk-nunjuk atau bermewah dengan harta yang dipunyai. Membebankan diri
dengan hutang tanpa keperluan mendesak boleh membawa kemudaratan di kemudian
hari.
Sekian,
Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)
1 Ramadan 1433 H
Ahli-ahli MURSHID :
1. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Penasihat)
2. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malik
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Mohd Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohamed
10. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin
11. Ustaz Muhammad Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Muhammad Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Mohd Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisyam Tuan Padang
18. Ustaz Muhd Ramadhan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Abd Naser Abd Rahman