Monday, July 30, 2012

Mencari Lailatul Qadr



Ulamak berselisih pendapat tentang bilakah berlakunya Lailatul Qadr. Di dalam Kitab Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari menyebutkan ada 46 pendapat ulamak berhubung bilakah berlakunya Lailatul Qadr. Ada yang menyatakan ianya berlaku setiap 7 tahun sekali sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muhammad bin al-Hanifah, ada yang menyatakan ianya berlaku pada setiap bulan, ada yang menyatakan ianya berlaku pada awal Ramadhan, sebahagian lagi mengatakan ianya berlaku pada setengah bulan Ramadhan yang kedua, ada mengatakan ianya berlaku pada malam ke-17 Ramadhan dan jumhur mengatakan ianya berlaku pada 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan.

Imam Syafie mengatakan Lailatul Qadr itu terkandung dalam 10 hari yang terakhir Ramadhan pada malam yang ganjil iaitu malam ke 21 dan malam ke 23.

Formula Ulamak Tafsir Yang Semasa,

Lailatul Qadr berlaku pada malam ke 27 Ramadhan. Hal ini berdasarkan kepada 2 perkara dalam Surah al-Qadr iaitu:

                      i          Allah mengulang-ulangkan perkataan   لَيْلَةُ القَدْرِ (    ) pada 3 tempat dan perkataan (  لَيْلَةُ القَدْرِ  ) terdapat 9 huruf. Sehubungan dengan itu 3 x 9 = 27.

                    ii       Surah al-Qadr mengandungi 30 patah perkataan. Perkataan  هِيَ pada ayat yang terakhir surah ini berada di kedudukan yang ke 27.


Formula Imam Ghazali,

Malam Lailatul Qadr ditentukan berdasarkan bilakah hari awal Ramadhan itu jatuh.

Bil
1 Ramadhan
Lailatul Qadr
1
Isnin
Mlm 21 Ramadhan
2
Sabtu
Mlm 23 Ramadhan
3
Khamis
Mlm 25 Ramadhan
4
Selasa/Jumaat
Mlm 27 Ramadhan
5
Ahad/Rabu
Mlm 29 Ramadhan


Justeru, al-Syeikh Yusuf Khattar Muhammad menyatakan hikmah tidak ditentukan Lailatul Qadr secara yakin adalah supaya kita sentiasa melakukan ibadah kepada Allah pada setiap malam dalam bulan Ramadhan khususnya pada 10 malam yang terakhir. Sabda Nabi S.A.W,

فَالتَـمِسُوهَا فِى العَشْرِ الأَوَاخِرِ فِى الوِتْرِ

 Yang bermaksud, Maka kamu carilah ia (Lailatul Qadr) pada 10 malam terakhir (bulan Ramadhan) iaitu pada malam yang ganjil.

Sumber:  http://www.muftins.gov.my/

antara iblis, syaitan dan jin




Oleh: Ustaz Shauqi

Para ulama’ berbincang panjang tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan lain-lain. Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin merupakan makhluk Allah yang diberi tanggun jawab memperhambakan diri kepada Allah seumpama manusia. Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

            Justeru, jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu, terdapat dalam kalangan jin golongan  yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya. Firman Allah dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27 bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.”

            Manakala iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa  Iblis  adalah daripada jenis jin. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud:  Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.

            Manakala syaitan pula adalah golongan yang engkar dari kalangan jin dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.

            Menurut al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan manusia  yang cuba menjauhkan serta menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh dikatakan bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’ yang engkar dan sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan berusaha melakukan ‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas pengusiran nenek moyang mereka iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud pada nabi Adam.

            Firman Allah dalam surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;  "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur". Menurut Ibn Qayyim maksud "jalan yang lurus" di dalam ayat di atas  ialah Islam ialah jalan yang membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.     

Ibn Qayyim menyatakan lagi: "Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan, kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan melakukannya". 

            Jelaslah bahawa posisi depan dan belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada padanya

Sunday, July 29, 2012

KENYATAAN MURSHID SEMPENA BULAN RAMADAN 1433



Sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia tahun 1433 Hijrah ini, Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam yang diberi anugerah rezeki oleh Allah s.w.t bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini. 
Dengan itu, kami menyeru seluruh umat Islam agar menyambut bulan Ramadan yang mulia ini dengan kesedaran bahawa ia adalah suatu bulan mujahadah bagi mencapai taqwa melalui latihan kerohanian dan ketahanan terhadap dugaan syahwat yang pelbagai serta peningkatan ilmu terhadap inti Al-Quran serta menambahkan bacaannya. Allah s.w.t menyebut :
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Ertinya: Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai pentunjuk bagi manusia dan bukti keterangan dari petunjuk dan pembeza (di antara yang benar dan salah). (Al-Baqarah: 185)
Sempena bulan Ramadan, bulan tarbiah dan perjuangan ini, kami ingin menegaskan beberapa hal berikut :-
1.     Menyeru para ilmuan Islam dan masyarakat awam agar kembali memikirkan dan berusaha memberikan fokus serta penelitian terhadap amalan dan isu-isu yang paling utama di bulan Ramadan seperti :-

a) Meraih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Hal ini ternyata dengan sangat jelas melalui arahan Allah dan RasulNya. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang seseorang dari mencapai sasaran ini perlu diberikan perhatian yang lebih utama.

b) Bulan Mengingati Fungsi Al-Quran : Allah menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebatkan.

c) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

d) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

2.     Mengajak seluruh umat Islam agar mempergandakan amalan kebaikan, ketaatan,  dan menghulurkan bantuan kebendaan dan doa kepada faqir miskin dan semua yang memerlukan sama ada di Malaysia atau di luar negara, khususnya di negara-negara yang sedang bergolak seperti di Syria dan Rohingya, Burma. Mereka sedang menderita di tangan orang-orang zalim dan pihak pelampau sehingga menghadapi penderitaan dan kesukaran mempertahankan nyawa dan maruah selain penderitaan mendapatkan sesuap makanan, turut terganggu peluang untuk menyempurnakan ibadah di bulan Ramadan ini. Tidak ketinggalan juga menyeru agar kita mempergandakan doa bagi pembebasan bumi Palestin dan Al-Quds Al-Syarif yang diberkati.
3.     Kami juga mengajak semua pemerintah dan ketua di peringkat masing-masing untuk melakukan penelitian terhadap amanah masing-masing dan keadaan semua yang di bawah tanggungjawab mereka, mengenalpasti punca kelemahan dan masalah serta penyelesaian dengan ilmu dan keinsafan. Justeru, tingkatkanlah amalan syura melalui konsultansi dan perbincangan dengan mereka yang di bawah agar keadilan dapat ditegakkan dan mkanura dengan melakukan konsultansi dengan merekayang diap makananengembalikan keharmonian.
4.     Mendesak dan menyeru pihak berwajib di Malaysia agar menyatakan teguran kepada pihak kerajaan Burma atas kezaliman terhadap masyarakat Muslim di Burma dapat ditamatkan dengan segera. Tindakan seperti ancaman menyekat hubungan diplomasi di antara negara juga wajar dilakukan jika hal tersebut dibiarkan berterusan.
5.     Menyeru diri kami sendiri, para ulama, golongan ilmuan agama dan masyarakat awam agar menghormati perbezaaan pandangan dan ijtihad dengan menjauhi perdebatan secara melampau dan cercaan dalam membincangkan hal-hal seperti perkara-perkara yang membatalkan puasa, jumlah rakaat solat terawih dan lain-lain hal yang diperbezakan halnya di kalangan ulama sejak dahulu. Ini adalah kerana dibimbangi, perdebatan dan kekasaran kata-kata mampu mencarikkan tuntutan penjagaan ukhuwwah, lidah, mulut dan mengundang kemarahan di bulan yang mulia ini.
6.     Menyeru kepada seluruh masyarakat agar mempertingkatkan kualiti diri di bulan Ramadan dan bukan dijadikan alasan untuk tidak produktif. Ramadan bukan sama sekali suatu bulan yang patut dijadikan alasan penghalang produktiviti kerja. Begitu juga amat perlu menjauhi pembaziran dan pemborosan dalam makanan dan penggunaan masa.
7.     Menyeru masyarakat awam mengambil peluang gandaan pahala di bulan ini dengan memperbanyakkan amalan ibadah khusus serta peluang nasihat menasihati dengan cara yang terbaik dan disenangi melalui akhlak mulia. Menjauhi sangkaan buruk dan mendahulukan sangkaan baik terhadap sesama Muslim.
8.     Bagi memastikan kita mampu mencapai keampunan Allah dan rahmat apabila tamat Ramadan nanti, kami menyeru diri kami dan semua umat Islam agar menginsafi apa jua hak orang lain yang dirampas, tubuh yang dipukul, harta yang diambil tanpa izin, hutang yang sengaja dilewat dan tidak dibayar, maruah yang dicorek melalui perkataan dan fitnah, sihir yang dikenakan ke atas orang lain serta apa jua kezaliman yang dilakukan agar segera ditamatkan atau dipulang semula harta yang diambil.
9.     Kami turut menyeru umat islam agar menjauhi hutang tanpa keperluan di bulan mulia ini semata-mata untuk menunjuk-nunjuk atau bermewah dengan harta yang dipunyai. Membebankan diri dengan hutang tanpa keperluan mendesak boleh membawa kemudaratan di kemudian hari.

Sekian,
Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)
1 Ramadan 1433 H

Ahli-ahli MURSHID :
1. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Penasihat)
2. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)

3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malik
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Mohd Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohamed
10. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin
11. Ustaz Muhammad Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Muhammad Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Mohd Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisyam Tuan Padang
18. Ustaz Muhd Ramadhan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Abd Naser Abd Rahman

Wednesday, July 25, 2012

Tuesday, July 24, 2012

Pembaziran di Bulan Ramadan




Oleh: Ustaz Shauqi

Fenomena pembaziran yang berlaku dan berleluasa pada setiap kali menyambut Ramadhan merupakan sesuatu yang amat menyedihkan. Sepatutnya bulan Ramadhan mendidik umat Islam berjimat cermat. Akan tetapi yang berlaku ialah sebaliknya apabila masyarakat sanggup berbelanja besar dengan beraneka juadah makanan ketika tibanya waktu untuk berbuka puasa.

Sesuatu yang amat menghairankan juga apabila melihat sesetengah orang yang ketika berpuasa kelihatan amat lesu dan tidak bermaya, namun apabila tiba sahaja waktu petang untuk membeli juadah, badan yang lesu tadi sudah menjadi cergas dan kuat. Lantas, pelbagai juadah dibeli sehingga melebihi keperluan yang sepatutnya. Mereka seolah-olahnya ingin meng'qada' sarapan pagi, makan tengahari, dan makan petang yang ditinggalkan ketika berpuasa, lalu berlakulah pembaziran yang banyak. Terdapat dalam kalangan masyarakat Islam yang menjadikan waktu berbuka tidak ubah seperti suasana ‘pesta makan’. Masyarakat seolah-olah berusaha untuk mengubah bulan puasa kepada 'bulan makan'! Sikap yang lebih pentingkan pesta menjamu selera pada bulan ini menyebabkan kesucian Ramadan sebagai bulan ibadat itu tidak dapat dihayati dengan sempurna.   

            Sebenarnya Islam tidak melarang umatnya untuk membeli makanan. Cuma Islam mengajar kita supaya berbelanja secara sederhana setiap masa, termasuk sewaktu berbuka puasa. Kita sebenarnya bukan 'hidup untuk makan', tetapi 'makan untuk hidup'. Apabila konsep 'hidup untuk makan' dijadikan pegangan, keadaan ini menyebabkan berlakunya kelalaian hingga melampaui batas berbelanja. Tidak cukup dengan juadah yang dimasak di rumah, dibeli lagi makanan di bazar Ramadan secara yang berlebihan.

Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadhan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana tidak mencapai ketakwaan sebagaimana yang diharapkan. Masyarakat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak  hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antara ciri insan bertakwa ialah mereka yang berjaya mengawal nafsu makan. Sehubungan itu, umat Islam hendaklah menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan untuk berpesta makan dan membeli-belah secara berlebihan.

Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras di dalam Islam. Justeru, Allah mengumpamakan orang yang membazir itu ibarat saudara kepada syaitan. Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (Surah al-Isra', ayat 27). Sayyid Qutb di dalam tafsirnya 'Fi Zilal al-Quran' menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah). Oleh itu, berbelanja secara berlebihan juga merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dan membazir.

            Rasulullah saw bersabda dalam hadisnya yang bermaksud: “Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah, katanya: Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (bersedekah) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Hadis riwayat al-Bukhari ).

           Jelasnya, segala perbuatan yang menjurus kepada amalan pembaziran baik dalam apa bentuk sekalipun perlu dihindarkan. Tabiat merokok umpamanya merupakan salah satu pembaziran yang wajib ditinggalkan. Moga bulan Ramadhan tahun ini dapat mendidik jiwa perokok ke arah meninggalkan tabiat merokok agar pembaziran dapat dibasmi sama sekali

Persaudaraan Di Bulan Ramadhan




Oleh: Ustaz Shauqi

Puasa di bulan Ramadhan  mendidik diri ke arah menginsafi nasib saudara seIslam yang lain, lantas mengukuhkan lagi perasaan kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam. Kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam dapat digambarkan  melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh Huzaifah : Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As . Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid .

            Di antara kesan yang akan dapat di peroleh bagi mukmin yang benar-benar  menghayati erti Ramadhan ialah:- 

(a)     Menimbulkan perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan  orang yang kurang upaya.
(b)      Menimbulkan kekuatan untuk menghadapi penderitaan dan kepayahan hidup seharian.
(c)      Menerbitkan kesedaran, keinsafan, keadilan dan timbang rasa dalam kehidupan seharian.
(d)     Mewujudkan semangat persaudaraan Islam dan membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.
      
 Ibadah puasa di bulan Ramadhan mempunyai peranan yang besar untuk memupuk persaudaraan di antara sesama manusia,  terutamanya di antara golongan kaya dan miskin. Ibn Qayyim al-Jauzi dengan tegas menyatakan bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang  kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda  orang miskin. Syeikh Muhammad Abduh pula ketika mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa dalam Tafsir al-Manar menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa iaitu melaksanakan kewajipan berpuasa, sama dalam merasakan lapar dan dahaga.

             Dr Wahbah al-Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, menyatakan bahawa puasa dapat menumbuhkan naluri kasih sayang, ukhuwwah, dan perasaan keterikatan dalam tolong-menolong yang dapat menjalin rasa persaudaraan sesama umat Islam.  Seandainya setiap orang yang berpuasa merasakan penderitaan orang lain dan berlapang dada untuk memberikan makanan kepada  orang yang memerlukan dan yang berada dalam kelaparan, nescaya kesengsaraan dan kemiskinan yang dialami oleh umat Islam yang lain dapat diringankan.  

            Wahai  orang yang berpuasa, sesungguhnya anda dapat menghiasi meja makan dengan beraneka jenis makanan, justeru apa salahnya anda memberikan sedikit makanan untuk orang yang kelaparan itu, bahkan anda mampu membahagiakan keluarga lain yang sedang kelaparan itu, anda juga mampu menghapus air mata kesengsaraan mereka. Oleh itu, mengapakah anda berlengah lagi untuk memupuk persaudaraan dan membantu mereka? Ayuh, sama-sama kita berusaha menuju keredhaan Allah dengan mengukuhkan persaudaraan sesama Islam sempena Ramadhan yang penuh berkat ini!.