Oleh: Ustaz Shauqi
Para ulama’ berbincang panjang
tentang perbezaan yang wujud di antara iblis, syaitan dan jin. Kita boleh
merujuk perbincangan tersebut dalam kita tafsir al-Tabari, al-Qurtubi dan
lain-lain. Namun, secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa jin merupakan
makhluk Allah yang diberi tanggun jawab memperhambakan diri kepada Allah
seumpama manusia. Firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 56 bermaksud: Dan
(ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
menyembah dan beribadat kepadaKu.
Justeru,
jin adalah seumpama manusia dari sudut keimanan dan kekufuran. Oleh itu,
terdapat dalam kalangan jin golongan
yang Islam, soleh, kafir, fasik, munafik dan sebagainya. Firman Allah
dalam surah al-Jinn ayat 11 bermaksud: Dan sesungguhnya di antara kami (jin)
ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada yang tidak demikian halnya.
Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. Jin merupakan makhluk Allah
yang diciptakan daripada api. Firman Allah dalam surah al-Hijr ayat 27
bermaksud: Dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang
sangat panas.”
Manakala
iblis pula ialah makhluk Allah yang derhaka dari kalangan jin. Al-Quran telah
menyatakan dengan jelas bahawa
Iblis adalah daripada jenis jin.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50, bermaksud: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka
sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka
terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan
keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain
daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat buruklah Iblis itu
sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Manakala syaitan pula adalah golongan yang engkar dari kalangan jin
dan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am ayat 112 bermaksud: Dan
demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan
manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata
dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika
Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. oleh itu, biarkanlah
mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.
Menurut
al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat Alfaz al-Quran, perkataan syaitan
bermaksud ‘menjauhkan’. Oleh itu, syaitan terdiri daripada golongan jin dan
manusia yang cuba menjauhkan serta
menyesatkan hamba Allah daripada memperhambakan diri kepada-Nya dengan digunakan
pelbagai cara dan tipu daya. Syaitan dalam kalangan jin ialah anak cucu kepada
iblis, dan mereka sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Boleh dikatakan
bahawa syaitan anak cucu iblis ini merupakan golongan ‘mafia’ yang engkar dan
sesat serta berusaha untuk menyesatkan orang lain. Syaitan berusaha melakukan
‘peperangan’ dengan anak cucu Adam sebagai balas dendam atas pengusiran nenek
moyang mereka iblis dari syurga ekoran keengganan untuk sujud pada nabi Adam.
Firman Allah dalam
surah al-A`raf ayat 16-17 bermaksud: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau
(Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan
mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari
hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari
kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
Menurut Ibn Qayyim maksud "jalan yang lurus" di dalam ayat di
atas ialah Islam ialah jalan yang
membawa kepada Allah SWT. Ini bersesuaian dengan hadith yang bermaksud: Sesungguhnya
syaitan akan menghalang anak Adam pada semua jalan.
Ibn Qayyim
menyatakan lagi: "Jalan yang dilalui oleh manusia hanya empat; kanan,
kiri, depan atau belakang. Mana-mana jalan yang dilalui, syaitan sentiasa
menunggunya. Jika dia melalui jalan itu untuk melakukan ketaatan, syaitan akan
menghalangnya dan melambat-lambatkannya. Jika dia melalui jalan itu untuk
melakukan maksiat, syaitan akan mengalu-alukan dan membantunya. Kalau perlu
untuk masuk dari bawah (demi menyesatkan manusia), syaitan pun akan
melakukannya".
Jelaslah bahawa posisi depan dan
belakang yang dinyatakan itu memberi gambaran bahawa syaitan akan berusaha
untuk menghasut manusia melakukan kejahatan dan menghalang manusia daripada melakukan
kebaikan dari segenap penjuru yang ada pada manusia. Bahkan di dalam ayat
al-Quran al-Karim yang lain menggambarkan bahawa syaitan akan memerangi
habis-habisan untuk menyesatkan manusia dengan menggunakan keupayaan yang ada
padanya
No comments:
Post a Comment