Oleh: Ustaz Shauqi
Puasa yang disyariatkan oleh Allah
S.W.T bukanlah sekadar memerintahkan umat Islam meninggalkan makan dan minum di
siang hari semata-mata, tetapi tujuan difardhukan puasa itu mempunyai matlamat
yang jelas untuk melahirkan manusia yang bertakwa kepada Allah. Firman
Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 telah menjelaskan tujuan disyariatkan
ibadat puasa. Ayat tersebut bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan
kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat-umat terdahulu agar
kamu bertakwa”.
Justeru, pensyariatan puasa
adalah untuk melahirkan muslim yang bertakwa. Sehubungan dengan itu, untuk
mendapat ketakwaan, umat Islam hendaklah berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’
sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, bukan sekadar berpuasa daripada
makanan dan minuman sahaja sebagaimana yang masih berlaku pada hari ini. Puasa
hendaklah dilakukan secara 'ibadat', bukannya secara 'adat'.
Untuk
mendapatkan ketakwaan daripada ibadah puasa, mata, telinga, lidah, tangan,
kaki, hati dan seluruh anggota badan hendaklah turut ‘berpuasa’. Inilah
peringkat puasa yang sebenar-benarnya yang patut ada pada setiap individu
muslim. Puasa yang seumpama ini telah dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam
kitabnya yang masyhur iaitu ‘Ihya’ Ulumiddin’.
Imam Ghazali menamakan puasa yang seumpama ini sebagai puasa ‘khusus
al-khusus’.
Namun, apa yang menyedihkan
kita ialah ramai yang berpuasa perut sahaja, tetapi matanya tidak berpuasa.
Mata tetap digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat seperti melayari
laman pornografi dalam internet, meggunakan masa yang terluang sementara
menunggu tibanya waktu berbuka puasa dengan menonton filem bollywood dengan
aksi-aksi hero dan heroinnya yang menggiurkan!. Telinga pula digunakan untuk
mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan sama ada yang berbentuk sentimental,
heavy metal, rock atau thrash. Lidah digunakan untuk mengumpat, menipu,
mengeluarkan perkataan keji dan lucah atau sekurang-kurangnya membuang masa
dengan sembang dan omongan kosong semata! Manakala tangan dan kaki masih
digunakan untuk perkara maksiat seperti memberi rasuah dan melangkah ke pub dan
disko. Tambah menyedihkan lagi ialah, keletihan menahan lapar sanggup digagahi,
tetapi amat sukar untuk bertakbir dan
sujud menyembah Ilahi dalam menunaikan kewajipan solat fardhu lima
waktu!.
Sewajarnya
setiap umat Islam yang berpuasa merenung sedalam-dalamnya hadis nabi yang
diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Nasae’i dan al-Hakim yang bermaksud: “Terdapat
orang yang berpuasa yang hanya memperoleh lapar semata-mata”. Puasa yang
memenatkan badan, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak memperoleh ganjaran
yang disediakan oleh Allah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan
bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri
dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)"- Hadis riwayat
Imam Bukhari.
Sesungguhnya Allah telah menyediakan ganjaran
yang besar dan tidak ternilai harganya kerpada orang yang benar-benar berpuasa.
Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala
dosa yang dilakukannya sebelum itu”. Dalam hadis lain yang diriwayatkan
daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan.
Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak.
Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada
pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk
melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk,
pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya".
Itulah
antara ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi mereka yang berpuasa dengan
cara 'ibadat' yang dikehendaki oleh syara’. Di samping itu, banyak lagi
ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi orang yang berpuasa
sebagaimana yang termaktub dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith. Oleh itu,
janganlah kita berlengah lagi untuk berusaha mempastikan agar puasa kita pada
tahun ini merupakan puasa yang dilakukan dengan ‘cara yang sebenar’ bukan lagi
puasa ikut-ikutan yang tiada matlamat yang jelas selain menahan lapar dan
dahaga sahaja!
Gunakanlah mata untuk memandang
wajah ibubapa dengan perasaan kasih sayang, memandang ayat-ayat al-Quran serta
memandang alam ciptaan Allah dengan rasa kagum kepadaNya. Gunakanlah telinga
untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, kuliah ilmu, dan nasihat yang
berguna. Gunakanlah lidah untuk berzikir dan memuji Allah serta menyampaikan
nasihat yang baik dan bermanfaat. Gunakanlah tangan untuk menghulurkan derma
dan sedekah demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang yang kurang
berkemampuan. Gunakanlah kaki untuk melangkah ke masjid dan surau, bukan sahaja
untuk menunaikan solat sunat Tarawih, tetapi apa yang lebih utama ialah untuk
menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjamaah di sana. Gunakanlah hati
untuk menginsafi diri, bermuhasabah serta menghargai nikmat yang Allah
kurniakan. Jelasnya, gunakanlah seluruh anggota untuk mengabdikan diri kepada
Allah yang Maha Esa
No comments:
Post a Comment