Saturday, July 21, 2012

Falsafah Ramadhan



Oleh: Ustaz Shauqi

Puasa yang disyariatkan oleh Allah S.W.T bukanlah sekadar memerintahkan umat Islam meninggalkan makan dan minum di siang hari semata-mata, tetapi tujuan difardhukan puasa itu mempunyai matlamat yang jelas untuk melahirkan manusia yang bertakwa kepada Allah. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 telah menjelaskan tujuan disyariatkan ibadat puasa. Ayat tersebut bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat-umat terdahulu agar kamu bertakwa”.

            Justeru, pensyariatan puasa adalah untuk melahirkan muslim yang bertakwa. Sehubungan dengan itu, untuk mendapat ketakwaan, umat Islam hendaklah berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, bukan sekadar berpuasa daripada makanan dan minuman sahaja sebagaimana yang masih berlaku pada hari ini. Puasa hendaklah dilakukan secara 'ibadat', bukannya secara 'adat'.

            Untuk mendapatkan ketakwaan daripada ibadah puasa, mata, telinga, lidah, tangan, kaki, hati dan seluruh anggota badan hendaklah turut ‘berpuasa’. Inilah peringkat puasa yang sebenar-benarnya yang patut ada pada setiap individu muslim. Puasa yang seumpama ini telah dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu ‘Ihya’ Ulumiddin’.  Imam Ghazali menamakan puasa yang seumpama ini sebagai puasa ‘khusus al-khusus’.



            Namun, apa yang menyedihkan kita ialah ramai yang berpuasa perut sahaja, tetapi matanya tidak berpuasa. Mata tetap digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat seperti melayari laman pornografi dalam internet, meggunakan masa yang terluang sementara menunggu tibanya waktu berbuka puasa dengan menonton filem bollywood dengan aksi-aksi hero dan heroinnya yang menggiurkan!. Telinga pula digunakan untuk mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan sama ada yang berbentuk sentimental, heavy metal, rock atau thrash. Lidah digunakan untuk mengumpat, menipu, mengeluarkan perkataan keji dan lucah atau sekurang-kurangnya membuang masa dengan sembang dan omongan kosong semata! Manakala tangan dan kaki masih digunakan untuk perkara maksiat seperti memberi rasuah dan melangkah ke pub dan disko. Tambah menyedihkan lagi ialah, keletihan menahan lapar sanggup digagahi, tetapi amat sukar untuk bertakbir dan  sujud menyembah Ilahi dalam menunaikan kewajipan solat fardhu lima waktu!.

            Sewajarnya setiap umat Islam yang berpuasa merenung sedalam-dalamnya hadis nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Nasae’i dan al-Hakim yang bermaksud: “Terdapat orang yang berpuasa yang hanya memperoleh lapar semata-mata”. Puasa yang memenatkan badan, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak memperoleh ganjaran yang disediakan oleh Allah. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)"- Hadis riwayat Imam Bukhari. 

            Sesungguhnya Allah telah menyediakan ganjaran yang besar dan tidak ternilai harganya kerpada orang yang benar-benar berpuasa. Dalam sebuah hadis sahih yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,  Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu”. Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya".

            Itulah antara ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi mereka yang berpuasa dengan cara 'ibadat' yang dikehendaki oleh syara’. Di samping itu, banyak lagi ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi orang yang berpuasa sebagaimana yang termaktub dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith. Oleh itu, janganlah kita berlengah lagi untuk berusaha mempastikan agar puasa kita pada tahun ini merupakan puasa yang dilakukan dengan ‘cara yang sebenar’ bukan lagi puasa ikut-ikutan yang tiada matlamat yang jelas selain menahan lapar dan dahaga sahaja!

            Gunakanlah mata untuk memandang wajah ibubapa dengan perasaan kasih sayang, memandang ayat-ayat al-Quran serta memandang alam ciptaan Allah dengan rasa kagum kepadaNya. Gunakanlah telinga untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, kuliah ilmu, dan nasihat yang berguna. Gunakanlah lidah untuk berzikir dan memuji Allah serta menyampaikan nasihat yang baik dan bermanfaat. Gunakanlah tangan untuk menghulurkan derma dan sedekah demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang yang kurang berkemampuan. Gunakanlah kaki untuk melangkah ke masjid dan surau, bukan sahaja untuk menunaikan solat sunat Tarawih, tetapi apa yang lebih utama ialah untuk menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjamaah di sana. Gunakanlah hati untuk menginsafi diri, bermuhasabah serta menghargai nikmat yang Allah kurniakan. Jelasnya, gunakanlah seluruh anggota untuk mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa

No comments:

Post a Comment