Oleh: Ustaz Shauqi
Puasa di bulan Ramadhan mendidik diri ke arah menginsafi nasib saudara seIslam yang lain, lantas
mengukuhkan lagi perasaan kasih sayang dan persaudaraan sesama Islam. Kasih
sayang dan persaudaraan sesama Islam dapat digambarkan melalui kata-kata yang telah diungkapkan oleh
Huzaifah : “ Aku telah bertolak ke tempat
berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan
kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku
dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu
hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh
kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku
dapati dia adalah Hisyam Bin al-As . Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air
tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain
mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air
kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku
memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan
aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku
tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid “ .
Di antara
kesan yang akan dapat di peroleh bagi mukmin yang benar-benar menghayati
erti Ramadhan ialah:-
(a) Menimbulkan
perasaan belas kasihan dan kasih sayang kepada fakir miskin, anak yatim dan orang yang kurang upaya.
(b)
Menimbulkan kekuatan untuk
menghadapi penderitaan dan kepayahan hidup seharian.
(c)
Menerbitkan kesedaran, keinsafan, keadilan dan
timbang rasa dalam kehidupan seharian.
(d) Mewujudkan semangat persaudaraan Islam dan
membentuk perpaduan serta kekuatan ummah.
Ibadah
puasa di bulan Ramadhan mempunyai peranan yang besar untuk memupuk persaudaraan
di antara sesama manusia, terutamanya di
antara golongan kaya dan miskin. Ibn Qayyim al-Jauzi dengan tegas menyatakan
bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda
orang miskin. Syeikh Muhammad Abduh pula
ketika mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa dalam Tafsir al-Manar
menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan
antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan
rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa
iaitu melaksanakan kewajipan berpuasa, sama dalam merasakan lapar dan dahaga.
Dr Wahbah al-Zuhaily dalam bukunya al-Fiqh
al-Islamiy wa Adillatuh, menyatakan bahawa puasa dapat menumbuhkan naluri kasih
sayang, ukhuwwah, dan perasaan keterikatan dalam tolong-menolong yang dapat
menjalin rasa persaudaraan sesama umat Islam. Seandainya setiap orang yang berpuasa
merasakan penderitaan orang lain dan berlapang dada untuk memberikan makanan
kepada orang yang memerlukan dan yang
berada dalam kelaparan, nescaya kesengsaraan dan kemiskinan yang dialami oleh umat
Islam yang lain dapat diringankan.
Wahai orang yang berpuasa, sesungguhnya anda dapat
menghiasi meja makan dengan beraneka jenis makanan, justeru apa salahnya anda
memberikan sedikit makanan untuk orang yang kelaparan itu, bahkan anda mampu
membahagiakan keluarga lain yang sedang kelaparan itu, anda juga mampu menghapus
air mata kesengsaraan mereka. Oleh itu, mengapakah anda berlengah lagi untuk
memupuk persaudaraan dan membantu mereka? Ayuh, sama-sama kita berusaha menuju
keredhaan Allah dengan mengukuhkan persaudaraan sesama Islam sempena Ramadhan
yang penuh berkat ini!.
No comments:
Post a Comment