Friday, August 31, 2012

Selamat Menyambut Merdeka ke 55




Oleh: Ustaz Shauqi

Pada   tanggal 31 Ogos 2012, masyarakat Malaysia  merayakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke-55. Sambutan penuh meriah ini dibuat sebagai tanda kebanggaan kita mencapai kemerdekaan serta bebas daripada penjajahan British. Rakyat yang berjiwa patriotik tidak akan lupa tarikh keramat iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957. Pada tarikh tersebut, berkumandanglah gema merdeka di seluruh pelusuk tanahair, sekaligus memberikan sinar baru dalam kehidupan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sudah boleh menentukan hala tuju sendiri, tanpa kongkongan dan acuan daripada penjajah lagi.

Namun sebagai masyarakat Melayu yang beragama Islam, kita sewajarnya memikirkan sejenak, apakah selama 55 tahun sejak merdekanya bumi Malaysia daripada penjajahan, rakyatnya terutama masyarakat Melayu turut merdeka dari sudut tuntutan Islam?. Sebagai seorang Muslim, adakah kita sudah merdeka dalam erti kata yang sebenarnya ?. Atau apakah kita masih terjajah lagi dengan ‘penjajahan bentuk moden’ iaitu penjajahan pemikiran barat yang merosakkan serta penjajahan budaya ‘hedonisme’ yang menghancurkan?

Polemik Tentang Hudud




Polemik Tentang Hudud

Oleh:
Ustaz Shauqi


Terdapat segelintir masyarakat  Islam yang masih sangsi dan ragu-ragu terhadap perlunya undang-undang jenayah Islam dilaksanakan. Keraguan dan kesangsian ini timbul disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah krisis keyakinan terhadap undang-undang Islam ekoran racun-racun berbisa daripada musuh-musuh Islam yang telah berjaya menguasai pemikiran sebilangan umat Islam pada zaman moden ini. Benarlah firman Allah dalam al-Quran:

Maksudnya: “ Orang Yahudi dan Nasrani selama-lamanya tidak akan redha dengan kamu sehinggalah kamu mengikuti agama (jejak langkah) mereka”.(Surah al-Baqarah: ayat 120)

Berbeza dengan orang yang beriman, keyakinan kepada al-Quran dan Hadis menyebabkan mereka tidak memandang ringan terhadap hukum hakam Allah swt. Sebagaimana umat Islam dapat menerima kefardhuan solat, puasa, zakat dan haji, begitu juga umat Islam sewajarnya dapat menerima undang-undang jenayah Islam kerana semuanya datang daripada Allah swt bahkan ia merupakan arahan Allah kepada manusia.

Terdapat pula dalam kalangan masyarakat yang memang menerima perlaksanaan undang-undang jenayah Islam seperti undang-undang hudud, namun malangnya mereka masih terpesong dengan racun pemikiran barat dengan menyatakan bahawa belum tiba masanya untuk dilaksanakan. Bahkan bukan sedikit ‘tokoh pemikir’ yang terkeliru dan terikut dengan rentak orientalis tanpa mereka sedari, lalu mereka pun mengalunkan lagu dan menari mengikut rentak golongan orientalis dengan mencadangkan bahawa ‘hudud’ bukan keutamaan bahkan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

Ketakutan pada hudud amat menjadi-jadi, seolahnya ia akan membawa fitnah pada hukum Islam dan pelbagai lagi polemik yang timbul. ‘Pahat’ sudah pun berbunyi sedangkan bangunan belum lagi didirikan. Malu kita pada generasi Malaysia sebelum merdeka yang menerima hukum Islam tanpa sebarang keraguan sebagaimana yang termaktub dalam Hukum Kanun Melaka dan sebagainya.

Tuesday, August 28, 2012

Tanda Kiamat




Monday, August 27, 2012

Program di Masjid Jarak Atas






Puasa Enam Syawal


Oleh: Ustaz Shauqi

Diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansariy bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

 Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal adalah seperti puasa setahun penuh. ( Hadis Riwayat Muslim)
Hadis di atas menunjukkan betapa beristiqamah dalam melakukan ibadah puasa menghasilkan ganjaran dan pahala yang banyak di sisi Allah. Justeru, apabila selesai menunaikan puasa di bulan Ramadhan, tidak wajar terhenti amalan puasa setakat itu sahaja, bahkan amat digalakkan untuk meneruskan amalan puasa dalam bulan Syawal sebagai suatu kesinambungan daripada puasa Ramadhan. 

Puasa enam hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan secara berturutan atau pun tidak. Hal ini kerana ungkapan hadis itu bersifat mutlak iaitu boleh memilih mana-mana enam hari dalam bulan Syawal untuk melaksanakan puasa sunat. Namun begitu,  bersegera dalam melaksanakan puasa enam adalah lebih utama. Begitu juga tidak diwajibkan untuk melaksanakan puasa enam dalam bulan Syawal secara terus menerus akan tetapi hal itu adalah lebih utama. Kata Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj, puasa enam elok dilaksanakan secara berturut-turut tetapi sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan. 

Antara fadilat puasa enam ialah mereka yang melaksanakan puasa enam akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."

Manakala di dalam kitab Sabil al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.

Tambahan daripada itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan ini kita teruskan juga pada bulan Syawal, walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana terpaksa atau kewajipan semata-mata tetapi kita melakukannya kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan menundukkan hawa nafsu.

Antara manfaat puasa enam hari pada bulan syawal juga adalah sebagai kesinambungan amalan yang dikerjakan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Rabbnya pada bulan Ramadhan tidak terputus dengan berlalunya bulan mulia ini. 

Oleh kerana itu sebaiknya orang yang memiliki hutang puasa Ramadhan memulai membayarnya di bulan Syawal, kerana hal itu mempercepat proses pembebasan dirinya daripada tanggungan hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa Syawal, dengan demikian ia telah melakukan puasa ramadhan dan mengikutinya enam hari di bulan Syawal. 

Namun begitu, dalam hal mana yang perlu diutamakan sama ada berpuasa qada' terlebih dahulu atau berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, terdapat 3 pandangan mengenainya, iaitu:

 1. Pandangan Pertama : Qadha dahulu , kemudian barulah kerjakan puasa sunat. Dalilnya ialah hadis nabi "sesiapa yangg berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka akan mendapat pahala sepanjang tahun". Jadi, dalam hadis ni menyatakan kena selesaikan puasa ramadhan dahulu, kemudian dilengkapkan dengan puasa sunat syawal. Oleh yang demikian, hendaklah diqadha terlebih dahulu puasa Ramadhan yang ditinggalkan, kemudian barulah sambung dengan puasa sunat.   
 2.  Pandangan Kedua: Laksanakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu, kemudian baru qadha'. Hal ini disebabkan  puasa sunat Syawal waktunya terhad hanya dalam bulan Syawal sahaja, manakala qada' puasa boleh dibuat dalam jangka masa yang lebih panjang. Ia berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim). Ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, iaitu Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan. 

 3. Pandangan Ketiga: hendaklah berniat puasa qada' dan apabila puasa qada' tersebut berbetulan dgn hari-hari yang disunatkan, maka akan mendapat pahala puasa sunat sekali. Ia berdasarkan Ijtihad dan pandangan yang telah dikemukakan oleh para ulama fiqh seperti Syeikh Zakariyya al-Ansoriy, Syeikh 'Atiyyah Saqr dan kebanyakan ulama' Syafi'yyah.  Apabila amalan wajib dilakukan bertepatan dengan waktu yang disunatkan, maka pahala sunat akan turut diperoleh. Contohnya apabila masuk ke dalam masjid dan didapati solat fardu sedang dikerjakan maka hendaklah terus menunaikan solat fardu berjemaah dan pahala sunat tahiyyatul masjid juga akan terhasil. Syeikh Zakariyya al-Ansoriy menyatakan apabila berpuasa qada' dalam bulan Syawal, maka pahala puasa enam akan turut diperoleh kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.   
Kesimpulannya,  hendaklah  diqada' terlebih dahulu puasa untuk membayar hutang yang wajib terlebih dahulu, dan sekiranya ada kesempatan lagi... boleh diteruskan pula dgn puasa sunat. Akan tetapi kalau tidak berkesempatan, maka moga-moga puasa qada' yg dilakukan pada bulan Syawal itu akan mendapat pahala puasa enam sekali.

Thursday, August 16, 2012

Kenyataan MURSHID


Ceramah

Bergambar selepas ceramah di Ambank
Ceramah di Matrade



Tuesday, August 14, 2012

Selamat Bersabar Semasa Balik Kampung



Masyarakat kita memang terkenal dengan masyarakat yang beradab sopan, berbudi-pekerti mulia serta berakhlak tinggi. Akhlak mulia yang menjadi ’aset’ penting masyarakat kita ini merupakan hasil didikan ajaran Islam yang begitu meresap dalam jiwa dan diri masyarakat dan bangsa kita. Akan tetapi, menjadi sesuatu yang amat malang   apabila adab sopan yang sudah diwarisi turun-temurun dan dari generasi ke generasi ini kian pudar mengikut peredaran zaman. Adab sopan dan budi pekerti mulia yang dimiliki oleh ’orang kita’ ini akan bertukar serta-merta apabila mereka berada di jalanraya!

            Masyarakat kita mudah lupa diri apabila berada di jalanraya. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah kemalangan jalanraya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sikap tidak sabar semakin menjadi-jadi terutamanya apabila berada dalam kesesakan jalanraya. Orang kita seolahnya sudah hilang nilai persaudaraan apabila berada di jalanraya. Mengapakah terjadi sedemikian? Di manakah silapnya? Di manakah penghayatan terhadap hadis nabi saw yang bermaksud: ”Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dia kasihi bagi dirinya sendiri”.

            Kerakusan berada di jalanraya menyebabkan mereka berbuat apa sahaja demi memuaskan hati sendiri sehingga sanggup menyakiti saudara sendiri dan kelihatannya seolah sanggup untuk melupakan nilai keimanan yang sudah terpahat di dalam jiwa. Walau pelbagai kempen telah dijalankan untuk beradab sopan di jalanraya, namun malangnya kempen-kempen tersebut seolah ’masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri’.

            Antara perkara yang amat jelek dan buruk yang biasa sangat dilakukan oleh masyarakat kita di jalan raya ketika memandu kenderaan ialah membuang sampah dari tingkap kenderaan yang dipandu! Terdapat mereka yang begitu selamba tanpa berasa bersalah sedikit pun membuang plastik, kulit kacang, kertas, dan pelbagai sampah yang lain melalui tingkap kenderaan yang sedang dipandu laju!. Tidakkah perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan bercanggah juga dengan budaya Melayu serta warisan budi pekerti orang Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun? Inikah sikap yang akan diperturunkan kepada generasi yang akan datang?.

Thursday, August 9, 2012

Iftar Perdana


Perbahasan Lailatul Qadr


Menurut Ibnu Kathir, Ramadhan bukan sahaja mendapat kemuliaan dengan penurunaan al-Quran, bahkan ia juga merupakan bulan turunnya pelbagai kitab samawi yang lain. Kemudian beliau menukilkan satu riwayat daripada Imam Ahmad bin Hanbal yang menukilkan daripada Wa’ilah bin al-Asqa` bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Diturunkan suhuf Ibrahim pada malam pertama bulan Ramadhan, diturunkan kitab Taurat pada hari keenam bulan Ramadhan, diturunkan kitab Injil pada hari ketiga belas bulan Ramadhan dan diturunkan al-Quran pada hari kedua puluh empat bulan Ramadhan”.[i]

Selain itu, Allah SWT memuliakan orang beriman dengan Lailatul Qadr. Lailatul Qadr merupakan saat yang menjadi ‘buruan’ penting bagi orang soleh di dalam kalendar harian Ramadhan mereka. Ini lantaran keberkatan dan kemuliaan Lailatul Qadr yang amat besar sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran:
Maksud: Dan bukankah engkau (Muhammad) sudah mengetahui apakah kebesaran malam Lailatul Qadr itu?[ii] Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara.
(Surah al-Qadr 97: 2-3)

Dalam merungkaikan maksud ‘lebih baik daripada seribu bulan’, al-Tabariy telah menukilkan beberapa tafsir ulama terhadapnya. Beliau memilih tafsiran yang mengatakan bahawa amalan pada malam Lailatul Qadr adalah lebih baik berbanding amalan selama seribu bulan yang tidak terdapat padanya Lailatul Qadr. Beliau menukilkan daripada Mujahid katanya, “Dahulu di kalangan Bani Isra’il terdapat seorang lelaki melakukan ibadat malam hari sehingga menjelang pagi, kemudian dia berperang melawan musuh Allah sehingga menjelang malam. Lelaki tersebut melakukan perkara tersebut selama seribu bulan. Kemudian Allah pun menurunkan ayat al-Quran (ليلة القدر خير من ألف شهر).[iii]

Ibnu Kathir dan al-Suyutiy menukilkan daripada Abu Hatim yang menukilkan daripada `Urwah katanya, diceritakan kepada Rasulullah berkenaan empat lelaki dari kaum Bani Isra’il. Mereka beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa melanggar perintah-Nya walau sekelip mata. Mereka ialah Ayyub, Zakariyya, Hazqil ibn al-`Ajuz dan Yusha` ibn Nun. `Urwah berkata, lalu para sahabat Rasulullah pun merasa kagumdengan ketekunan mereka. Lalu Jibril pun datang dan berkata, wahai Muhammad, umatmu kagum dengan lelaki-lelaki tersebut yang beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa pernah melanggar perintah Allah walau sekelip mata. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kmepada kamu perkara yang lebih baik daripada itu. Jibril pun membacaإِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ . Perkara ini lebih utama dikagumi olehmu dan umatmu. `Urwah berkata, perkara tersebut telah mengembirakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang bersamanya.[iv]

Itulah kemuliaan Lailatul Qadr. Sesiapa yang berjaya menghidupkannya dia diberi ganjaran seumpama ahli ibadat dan mujahid yang beribadat dan berjihad hampir lapan puluh tiga tahun empat bulan. Satu ganjaran yang hampir mustahil diperoleh oleh kita pada zaman ini. Kemuliaan yang sebegitu sesuailah dirakamkan satu surah daripada 114 surah yang terdapat di dalam al-Quran.

Selain itu, kelebihan Ramadhan dan juga Lailatul Qadr juga dapat dilihat pada keampunan yang ditawarkan oleh Allah SWT khusus kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menghidupkan kedua-duanya. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ   عَنِ النَّبِىِّ قَالَ مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ[v]
رواه البخاري

Maksud: Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah r.a. daripada Nabi SAW sabda baginda, "Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan  penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu, barangsiapa yang yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu."
(Riwayat al-Bukhari)


[i] Ibnu Kathir. Tafsir al-Qur’an al-`Azim. Jilid 1. Hlm. 501.
[ii] Ibn `Uyaynah berkata jika dinyatakan di dalam al-Quran (ما أدراك) maka ia bermaksud Allah telah memberitahunya tetapi jika dinyatakan di dalam al-Quran (وما يدريك) maka ia bermaksud Allah belum memberitahunya lagi. Lihat al-Bukhari. Sahih al-Bukhari, kitab salat al-tarawih, bab fadl laylat al-qadr. Jilid 2. Hlm. 708.
[iii] Al-Tabariy, Jami` al-Bayan fi ta’wil al-Quran. Jilid 24. Hlm. 533-534.
[iv] Ibnu Kathir. Tafsir al-Qur’an al-`Azim. Jilid 8. Hlm. 443; al-Suyutiy, Jalal al-Din `Abd al-Rahman ibn al-Kamal. 1993M.  al-Durr al-Manthur. Jilid. 8. Beirut: Dar al-Fikr. Hlm. 568.
[v] Al-Bukhari. Sahih al-Bukhari, kitab al-sawm, babman sam ramadhan iman wa ihtisab. Jilid 2. Hlm. 672.

Saturday, August 4, 2012

Tafsir Surah al-Qadr





Tafsir Surah al Qadar.
Maksudnya:
1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.
2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan
4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.
5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).

TAFSIRNYA
Lailatul Qadr juga dikenali dengan Lailatul Mubarakah sebagaimana yang disebut dalam firman Allah yang berbunyi, “Innaa anzalnahu fi lailatin mubaarakah.” yg maksudnya, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya(al Qur’an) pada malam yang penuh keberkatan”. Dan malam tersebut sudah pastinya di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al Qur’an.” Ibn Abbas berkata: Allah telah menurunkan al Qur’an dalam jumlah yang satu (sekaligus) daripada lauh mahfuz ke baitul ‘Izzah di Langit Dunia. Kemudian ia diturunkan secara beransur-ansur berdasarkan kejadian yang berlaku sepanjang kehidupan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah selama tempoh 23 tahun.

Ayat 2 & 3-ASAL USUL SERIBU BULAN
Diriwayatkan daripada Ibnu Abi Hatim daripada Mujahid bahawa ada seorang lelaki dari Bani Israil, namanya Syam’un. beliau merupakan seorang pahlawan Islam yang berjuang di jalan Allah selama seribu bulan. Selama perjuangannya seribu bulan, beliau tidak pernah dikalahkan oleh musuhnya.

Ada pula riwayat Ibnu Jarir daripada Mujahid juga, mengatakan beliau (lelaki Bani Israil) itu pada malam harinya sentiasa mendirikan ibadah malam sehingga subuh, manakala pada siang harinya berjihad menentang musuh sehinggalah menjelang petang selama seribu bulan.

Hikayat Sham’un
Imam Al Ghazali menceritakan kisah Sham’un dengan agak terperinci. Kisahnya begini: Sham’un merupakan seorang pahlawan di kalangan Bani Israil dan beliau tidak pernah dikalahkan musuh. Suatu hari, musuh nya berbincang cara untuk menewaskan Syam’un. Lalu mereka menghantar utusan kepada Isteri Syam’un untuk memperdayakannya. Utusan tersebut membawa satu bejana penuh dengan emas dan meminta isteri Syam’un supaya mengikat suaminya pada malam hari. Akibat tamakkan emas, isterinya sanggup mengikat Syam’un pada malam harinya. Keesokkan paginya, apabila Syam’un bangkit dari tidur, dengan mudahnya tali yang mengikatnya terputus satu demi satu. Lalu beliau bertanya kepada isterinya kenapa beliau diikat? Jawab isterinya, dia mahu menguji kekuatan Syam’un. Apabila pihak musuh mengetahui bahawa rancangan tersebut gagal, mereka berputus asa. Kemudian Iblis datang menemui mereka dan menasihati mereka agar meminta isteri Syam’un tanya suaminya itu apakah rahsia kekuatannya? Pada malam nya, si isteri bertanyakan Syam’un tentang perkara itu. Syam’un yang pada awalnya keberatan memberitahu, akhirnya mendedahkan rahsia kekuatannya terletak pada lapan helai janggutnya yang panjangnya hingga ke tanah. Setelah Syam’un terlena, si isteri pun memotong janggut suaminya yang hanya lapan helai itu lalu diikatnya pada kaki dan tangan Syam’un. Pihak musuh datang menangkap Syam’un dan membawanya ke rumah pasung untuk diseksa. Mereka menyeksa Syam’un dengan memotong sedikit demi sedikit anggota tubuh Syam’un seperti telinga, mulut dan lain-lain. Lalu Syam’un yang berada dalam kesakitan , berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk melawan musuhnya. Tiba-tiba Allah memakbulkan doa Syam’un , dan Syam’un menarik ikatan yang mengikatnya pada tiang2 besar di rumah pasung itu hingga menyebabkannya runtuh lalu menimpa musuh2nya sehingga mati.

Sambungan Tafsir
Sufyan as Thauri berkata, “telah disampaikan kepada aku daripada Mujahid bahawa malam al qadr lebih baik daripada seribu bulan (maknanya): amalannya, puasanya, dan mendirikan malamnya adalah lebih baik dari seribu bulan. Dan daripada Mujahid, Malam al qadr lebih baik daripada seribu bulan yang tidak ada malam al qadr padanya.

Daripada Abi Hurairah radhiallahu anhu berkata bahawa Rasulullah bersabda, “ Barangsiapa yang mendirikan malam al qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan dari Allah, diampunkan baginya dosanya yang telah lampau.”

Ayat 4-Malaikat Turun Bawa Rahmat dan Berkat
Malaikat-malaikat yang dimaksudkan dalam ayat ialah malaikat rahmat yang membawa segala rahmat dan keberkatan pada malam itu. Banyaknya malaikat turun menandakan banyaknya keberkatan dan rahmat turun pada malam al qadr. Keadaan ini samalah ketika turunnya Malaikat kepada orang yang sedang membaca al Qur’an atau orang yang duduk dalam majlis /halaqah zikr. Mereka melingkungi orang yang berzikir serta melabuhkan sayap mereka ke atas orang2 yang menuntut ilmu kerana memuliakan penuntut ilmu.

Manakala ar Ruh pula ialah Malaikat Jibril alaihissalam.Adapun “membawa segala urusan” membawa maksud segala taqdir berkaitan ajal dan rezeki, dan ketentuan segala perkara sebagaimana disebut oleh qatadah.

Ayat 5-Sejahtera hingga Subuh
Sejahtera di sini bermaksud Syaitan tidak dibenarkan melakukan perkara   jahat pada malam itu. Kata Qatadah dan Ibn Zaid , Rasulullah bersabda, “ Salaamun hia” bermaksud baik seluruhnya , tidak ada padanya(malam al qadr) kejahatan hinggalah terbitnya fajr(Subuh).

Adapun antara tanda Malam al Qadr ialah berdasarkan kepada hadis2 di bawah:

Dari ‘Ubay Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.
“Artinya : Pagi hari malam Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi” [Hadis Riwayat Muslim 762]

Dari   Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata : Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda. “Ertinya : (Malam) Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan” [Tahayalisi 349, Ibnu Khuzaimah 3/231, Bazzar 1/486, sanadnya Hasan]

PENUTUP
Marilah kita sama2 mencari lailatul qadar pada 10 terakhir Ramadan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “…Maka carilah ia sungguh2 pada 10 malam yang terakhir dari Ramadhan.”