Oleh: Ustaz Shauqi
Diriwayatkan
daripada Abu Ayyub al-Ansariy bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud:
Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam
hari pada bulan Syawal adalah seperti puasa setahun penuh. ( Hadis Riwayat
Muslim)
Hadis di atas
menunjukkan betapa beristiqamah dalam melakukan ibadah puasa menghasilkan
ganjaran dan pahala yang banyak di sisi Allah. Justeru, apabila selesai
menunaikan puasa di bulan Ramadhan, tidak wajar terhenti amalan puasa setakat
itu sahaja, bahkan amat digalakkan untuk meneruskan amalan puasa dalam bulan
Syawal sebagai suatu kesinambungan daripada puasa Ramadhan.
Puasa enam hari
dalam bulan Syawal boleh dilakukan secara berturutan atau pun tidak. Hal ini
kerana ungkapan hadis itu bersifat mutlak iaitu boleh memilih mana-mana enam
hari dalam bulan Syawal untuk melaksanakan puasa sunat. Namun begitu, bersegera dalam melaksanakan puasa enam
adalah lebih utama. Begitu juga tidak diwajibkan
untuk melaksanakan puasa enam dalam bulan Syawal secara terus menerus akan
tetapi hal itu adalah lebih utama. Kata Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya,
Mughni Muhtaj, puasa enam elok dilaksanakan secara berturut-turut tetapi
sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan.
Antara fadilat puasa enam ialah mereka
yang melaksanakan puasa enam akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun
sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. Para ulama menghuraikan rahsia
di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda
Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa
pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam
pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."
Manakala
di dalam kitab Sabil al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan
manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan
diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula
diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai
jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
Tambahan
daripada itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya
seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan ini
kita teruskan juga pada bulan Syawal, walaupun sekadar enam hari. Ini
seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata
kerana terpaksa atau kewajipan semata-mata tetapi kita melakukannya kerana rasa
diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk
taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan menundukkan
hawa nafsu.
Antara manfaat puasa enam hari pada bulan
syawal juga adalah sebagai kesinambungan amalan yang dikerjakan seorang hamba
untuk mendekatkan diri kepada Rabbnya pada bulan Ramadhan tidak terputus dengan
berlalunya bulan mulia ini.
Oleh kerana itu sebaiknya orang yang memiliki hutang puasa Ramadhan memulai
membayarnya di bulan Syawal, kerana hal itu mempercepat proses pembebasan
dirinya daripada tanggungan hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa Syawal, dengan
demikian ia telah melakukan puasa ramadhan dan mengikutinya enam hari di bulan
Syawal.
Namun
begitu, dalam hal mana yang perlu diutamakan sama ada berpuasa qada' terlebih
dahulu atau berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, terdapat 3 pandangan
mengenainya, iaitu:
1.
Pandangan Pertama : Qadha dahulu , kemudian barulah kerjakan puasa sunat.
Dalilnya ialah hadis nabi "sesiapa yangg berpuasa Ramadhan dan diikuti
dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka akan mendapat pahala sepanjang
tahun". Jadi, dalam hadis ni menyatakan kena selesaikan puasa ramadhan dahulu,
kemudian dilengkapkan dengan puasa sunat syawal. Oleh yang demikian, hendaklah diqadha
terlebih dahulu puasa Ramadhan yang ditinggalkan, kemudian barulah sambung
dengan puasa sunat.
2.
Pandangan Kedua: Laksanakan puasa sunat
Syawal terlebih dahulu, kemudian baru qadha'. Hal ini disebabkan puasa sunat Syawal waktunya terhad hanya dalam
bulan Syawal sahaja, manakala qada' puasa boleh dibuat dalam jangka masa yang
lebih panjang. Ia berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang
puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah
berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu
mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah
SAW." (Sahih Muslim). Ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah
tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, iaitu Aisyah tidak melaksanakan
puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau
mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat
enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.
3.
Pandangan Ketiga: hendaklah berniat puasa qada' dan apabila puasa qada'
tersebut berbetulan dgn hari-hari yang disunatkan, maka akan mendapat pahala
puasa sunat sekali. Ia berdasarkan Ijtihad dan pandangan yang telah dikemukakan oleh para ulama
fiqh seperti Syeikh Zakariyya al-Ansoriy, Syeikh 'Atiyyah Saqr dan
kebanyakan ulama' Syafi'yyah. Apabila amalan wajib
dilakukan bertepatan dengan waktu yang disunatkan, maka pahala sunat
akan turut diperoleh. Contohnya apabila masuk ke dalam masjid dan
didapati solat fardu sedang dikerjakan maka hendaklah terus menunaikan
solat fardu berjemaah dan pahala sunat tahiyyatul masjid juga akan
terhasil. Syeikh Zakariyya al-Ansoriy menyatakan apabila berpuasa qada'
dalam bulan Syawal, maka pahala puasa enam akan turut diperoleh kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.
Kesimpulannya,
hendaklah diqada' terlebih dahulu puasa untuk membayar
hutang yang wajib terlebih dahulu, dan sekiranya ada kesempatan lagi... boleh diteruskan
pula dgn puasa sunat. Akan tetapi kalau tidak berkesempatan, maka moga-moga
puasa qada' yg dilakukan pada bulan Syawal itu akan mendapat pahala puasa enam
sekali.
No comments:
Post a Comment