Tuesday, August 14, 2012

Selamat Bersabar Semasa Balik Kampung



Masyarakat kita memang terkenal dengan masyarakat yang beradab sopan, berbudi-pekerti mulia serta berakhlak tinggi. Akhlak mulia yang menjadi ’aset’ penting masyarakat kita ini merupakan hasil didikan ajaran Islam yang begitu meresap dalam jiwa dan diri masyarakat dan bangsa kita. Akan tetapi, menjadi sesuatu yang amat malang   apabila adab sopan yang sudah diwarisi turun-temurun dan dari generasi ke generasi ini kian pudar mengikut peredaran zaman. Adab sopan dan budi pekerti mulia yang dimiliki oleh ’orang kita’ ini akan bertukar serta-merta apabila mereka berada di jalanraya!

            Masyarakat kita mudah lupa diri apabila berada di jalanraya. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah kemalangan jalanraya semakin bertambah dari semasa ke semasa. Sikap tidak sabar semakin menjadi-jadi terutamanya apabila berada dalam kesesakan jalanraya. Orang kita seolahnya sudah hilang nilai persaudaraan apabila berada di jalanraya. Mengapakah terjadi sedemikian? Di manakah silapnya? Di manakah penghayatan terhadap hadis nabi saw yang bermaksud: ”Tidak sempurna iman seseorang sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dia kasihi bagi dirinya sendiri”.

            Kerakusan berada di jalanraya menyebabkan mereka berbuat apa sahaja demi memuaskan hati sendiri sehingga sanggup menyakiti saudara sendiri dan kelihatannya seolah sanggup untuk melupakan nilai keimanan yang sudah terpahat di dalam jiwa. Walau pelbagai kempen telah dijalankan untuk beradab sopan di jalanraya, namun malangnya kempen-kempen tersebut seolah ’masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri’.

            Antara perkara yang amat jelek dan buruk yang biasa sangat dilakukan oleh masyarakat kita di jalan raya ketika memandu kenderaan ialah membuang sampah dari tingkap kenderaan yang dipandu! Terdapat mereka yang begitu selamba tanpa berasa bersalah sedikit pun membuang plastik, kulit kacang, kertas, dan pelbagai sampah yang lain melalui tingkap kenderaan yang sedang dipandu laju!. Tidakkah perbuatan tersebut merupakan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan bercanggah juga dengan budaya Melayu serta warisan budi pekerti orang Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun? Inikah sikap yang akan diperturunkan kepada generasi yang akan datang?.

No comments:

Post a Comment