Followers

Friday, August 31, 2012

Selamat Menyambut Merdeka ke 55




Oleh: Ustaz Shauqi

Pada   tanggal 31 Ogos 2012, masyarakat Malaysia  merayakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke-55. Sambutan penuh meriah ini dibuat sebagai tanda kebanggaan kita mencapai kemerdekaan serta bebas daripada penjajahan British. Rakyat yang berjiwa patriotik tidak akan lupa tarikh keramat iaitu pada tanggal 31 Ogos 1957. Pada tarikh tersebut, berkumandanglah gema merdeka di seluruh pelusuk tanahair, sekaligus memberikan sinar baru dalam kehidupan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sudah boleh menentukan hala tuju sendiri, tanpa kongkongan dan acuan daripada penjajah lagi.

Namun sebagai masyarakat Melayu yang beragama Islam, kita sewajarnya memikirkan sejenak, apakah selama 55 tahun sejak merdekanya bumi Malaysia daripada penjajahan, rakyatnya terutama masyarakat Melayu turut merdeka dari sudut tuntutan Islam?. Sebagai seorang Muslim, adakah kita sudah merdeka dalam erti kata yang sebenarnya ?. Atau apakah kita masih terjajah lagi dengan ‘penjajahan bentuk moden’ iaitu penjajahan pemikiran barat yang merosakkan serta penjajahan budaya ‘hedonisme’ yang menghancurkan?



Merdeka bererti bebas, bebas daripada penjajahan barat dan bebas daripada ideologi mereka. Apa yang lebih penting ialah bebas daripada `jahiliah'. Kemerdekaan menurut Islam juga, ialah apabila seseorang itu berjaya memperolehi kebahagiaan di dunia dan di Akhirat. Untuk memperolehinya, al-Quran dan Sunnah hendaklah dijadikan panduan. Justeru, Imam Malik meriwayatkan, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud : “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan  sesat  selagi kamu berpegang teguh  dengan kedua-duanya ; Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulnya ».  Sekiranya seseorang muslim itu tidak menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai panduan dalam kehidupan, bermakna dia belum lagi merdeka dari sudut yang sebenarnya.

Sesungguhnya, Allah Taala telah menyempurnakan agama Islam bagi umat manusia. Dengan demikian, umat Islam memiliki sandaran untuk meraih kebahagiaan dari kesempatan ini yang tidak memerlukan apa-apa lagi tambahan. Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Ma’idah yang bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu " .

Rasulullah SAW wafat setelah selesai menyampaikan petunjuk-petunjuknya untuk diamalkan dan memberi peringatan kepada umatnya daripada terjebak dalam segala macam kehinaan. Abu Hurairah r.a seorang sahabat Nabi SAW menjelaskan:  "Kami diajar oleh Rasulullah SAW segala macam persoalan hingga (bagaimana cara) membuang kotoran (najis). " (Riwayat Imam Bukhari). 

Sesungguhnya, Allah SWT telah menurunkan syariat dan menyediakan sistem di bumi ini adalah untuk kebahagiaan manusia itu sendiri. Syariat itu ditentukan oleh Allah Taala dengan menetapkan beberapa tuntutan yang akan menghasilkan sesuatu yang sesuai dengan tujuan penciptaannya. Umpamanya, api diciptakan Allah untuk membakar, besi untuk memotong, makanan untuk mengenyangkan dan air untuk menyegarkan. Begitu juga, ibadah-ibadah yang disyariatkan Allah baik berupa perbuatan hati, lisan atau anggota badan, selama dilaksanakan oleh seorang mukmin sesuai dengan pimpinanNya, ia akan dapat memberikan hasil yang sesuai dengan ibadah yang disyariatkan, baik untuk membersihkan diri, memuliakan akhlak dan memperbaiki rohani.

Namun, sesuatu yang mengecewakan ialah mengapakah konsert hiburan dan budaya hedonisme kadang-kala sudah menjadi acara 'wajib' ketika berlangsungnya sambutan kemerdekaan? Kalau setakat lagu-lagu patriotik ... tidaklah menjadi suatu masalah... tetapi apa yang berlaku ialah konsert yang diadakan itu kebanyakannya adalah untuk hiburan semata-mata yang langsung tidak mempunyai nilai patriotik dan kecintaan kepada negara apatah lagi disusuli dengan berlakunya pergaulan bebas yang amat menggerunkan! Akhirnya... remaja serta muda-mudi kita tidak lagi menghayati perjuangan kemerdekaan sebaliknya bagi mereka kemerdekaan itu adalah hiburan dan berseronok semata-mata. Lalu Persoalannya... apakah sambutan kemerdekaan 'tidak jadi' kalau tiada budaya hedonisme dan konsert hiburan??

Apa yang mendukacitakan mutakhir ini juga ialah apabila terdapat umat Islam yang menyambut ulangtahun kemerdekaan dengan begitu gembira dan meriah sekali, akan tetapi dalam masa yang sama jiwanya belum merdeka daripada penjajahan.  Sesetengahnya masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah yang merosakkan, lantas dia mengenepikan tuntutan Islam dengan begitu mudah.   Terdapat di kalangan umat Islam    yang masih selesa untuk melakukan perkara-perkara bid’ah. Antara perkara bid’ah yang masih dilakukan pada zaman moden ini ialah menolak dan memperlekehkan perintah dan arahan yang diturunkan oleh Allah. Sesetengahnya, masih mahu menerima  ideologi, pemikiran dan budaya  penjajah barat yang merosakkan dengan menolak sistem lengkap yang ada pada Islam.

Umat Islam yang merdeka jasadnya, tetapi masih terjajah pemikirannya, belum lagi mencapai kemerdekaan yang hakiki, apatah lagi apabila dia lebih yakin dengan sesuatu yang datang daripada manusia lebih baik daripada yang datang daripada Allah. Islam menegaskan bahawa riba itu haram, aurat itu wajib, solat itu tiang agama, dan Islam itu ‘is a complete way of life’. Namun begitu, terdapat di kalangan umat Islam yang masih tidak menunaikan solat, berurusan dengan riba, tidak menutup aurat, gemar melakukan maksiat dan sebagainya. Kalau maksiat terus bermaharajalela dalam diri, ini bererti belum dicapai kemerdekaan hakiki. Justeru, marilah sama-sama kita berusaha untuk merdeka dengan cara yang sebenar mengikut acuan yang disediakan oleh Islam agar sambutan ulangtahun kemerdekaan pada tahun ini dapat disambut dengan lebih bermakna.


1 comment:

  1. I really appreciate the fact that you approach these topics from a stand point of knowledge and information. This is the first time, I visited at your site and became your fan. You are bookmarked. Please keep on posting.advertising | advertisement | advertising agencies in Karachi

    ReplyDelete