Followers

Thursday, October 18, 2012

Hukum Ibadah Korban


Sabda Rasulullah S.A.W, bermaksud:
“Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih binantang korban), kerana ia (binatang Korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah Korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan.”
(Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib). 
 
Para ulama’ telah bersepakat bahawa ibadah Korban merupakan satu ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah S.W.T ke atas hamba-hambaNya. Ianya merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS berdasarkan maksud firman Allah di dalam surah al-Soffat ayat 107:

“Dan Kami tebus anak itu (Ismail) dengan seekor sembelihan (kibash) yang besar”. 

Selain itu, ibadah korban merupakan ibadah yang paling Allah sukai di Hari-Hari ‘Eidul Adha, di mana binatang yang dikorbankan akan didatangkan di Hari kiamat sepertimana keadaan dan sifatnya ketika disembelih dan diletakkan darahnya yang telah diterima di sisi Allah sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Ibadah ini mengandungi banyak hikmah antaranya ia merupakan  satu tanda kesyukuran kepada Allah di atas nikmatnya yang tidak terkira, dan sebagai kaffarah (penutup) dosa-dosa. Selain itu, ibadah ini dapat mengenang dan mencontohi pengorbanan besar yang tidak ada tolok bandingnya, yang dilakukan oleh Nabi ibrahim as yang sanggup mengorbankan anaknya Ismail sebagai kemuncak dalam melaksanakan ketaatannya di atas perintah Allah SWT. Ianya juga dianggap sebagai simbolik kesediaan hamba untuk mengorbankan apa sahaja demi kerana Allah, termasuklah sanggup mengorbankan dirinya demi menegakkan agama Allah yang tercinta. Di samping itu ia dapat melatih diri kita supaya sentiasa ikhlas dalam beribadah serta melatih diri agar sentiasa bersedia untuk berkorban bila-bila masa diperlukan demi menegakkan agama Allah. 

HUKUM IBADAH KORBAN

Para ulama’ telah sepakat bahawa ibadah korban merupakan ibadah yang telah disyariatkan. Namun, mereka berselisih pendapat bekaitan hukum ibadah ini. Ada yang mengatakan ibadah ini wajib dan ada pula yang mengatakan ibadah ini sunat. Pendapat-pendapat mereka disokong dengan hujah-hujah yang kuat. Antara ulama’ yang berpendapat bahawa ibadah ini wajib ialah Imam Abu Hanifah dan beberapa pengikutnya. Beliau berpendapat bahawa ibadah Korban ini wajib sekali setiap tahun ke atas orang yang bermukim (tetap). Pendapat mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: 

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berKorban, akan tetapi dia tidak mahu berKorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid)” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).  

Namun, Abu Yusuf dan Muhammad dari Mazhab Hanafi mengatakan ibadah korban tidak wajib tetapi sunat muakkad.[1] 

Adapun selain daripada Mazhab Hanafi, mereka berpendapat bahawa ibadah korban adalah sunat dengan berpandukan hadis Nabi SAW maksudnya:

“Aku diperintah untuk melakukan korban dan korban itu adalah sunat bagi kamu.” (Hadis riwayat at-Tirmizi). 

Dalam hadis yang lain Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tiga perkara ianya fardhu ke atasku, dan sunat ke atasmu: solat witir, menyembelih korban dan solat dhuha”.[2] (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim). 

Berdasarkan hadis di atas, ibadah atau amalan Korban adalah wajib ke atas diri Rasulullah SAW, akan tetapi hanya dianggap sunnah ke atas umatnya. Menurut pandangan Imam Syafie dan Malik, hukum melakukan ibadah korban ini adalah sunat muakkadah iaitu ibadah sunat yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang merdeka, berakal, baligh serta berkemampuan melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Pendapat mereka dikuatkan lagi dengan sabda Rasululluah SAW: 

“Aku telah diperintahkan supaya berkorban dan ianya adalah sunat bagimu”
(Riwayat Imam al-Tirmizi).[3]

Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa ulama’-ulama’ mazhab berpendapat ibadah Korban dikira sama ada sunat muakkad atau wajib. Namun begitu jumhur ulama’ berpendapat bahawa ibadah korban adalah amalan yang sunat mu’akkad. 



[1]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, (Dimasyq: Dar al-Fikr, Edisi ke-6. 2008),  jil. 3, ms. 597
[2]. Ibid, 598
[3]. Ibn Rushd, Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, (Al-Qahirah: Dar al-Hadis, 2004), jil. 2, ms 192

 Rujukan: http://akademimamsyafie.blogspot.com/2012_10_01_archive.html

No comments:

Post a Comment