Thursday, October 18, 2012

ISU ISU BERKENAAN IBADAH KORBAN


.    

     1. Berkenaan Daging Korban

Para fuqaha’ bersepakat mengatakan bahawa seekor kambing atau kibasy tidak termasuk di kalangan binatang yang boleh dibahagikan dagingnya kepada beberapa bahagian iaitu hanya mencukupi sebagai korban untuk satu bahagian sahaja. Seekor unta atau lembu pula mencukupi untuk menjadi korban bagi tujuh orang.([1]) Ini berdasarkan hadith Jabir:

“Kami berkorban bersama Rasulullah SAW semasa di Hudaybiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.” (diriwayatkan oleh jama’ah).

Dan hujah ini dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Muslim:

“Kami keluar bersama Rasulullah SAW dan kami berniat Haji. Maka Rasulullah SAW telah memerintahkan kami supaya berkongsi mengurbankan seekor unta atau seekor lembu. Setiap tujuh orang berkongsi seekor unta.”

1.2  Hukum memakan daging korban oleh orang yang melakukan ibadat korban:

1.     Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa harus bagi orang yang berkorban untuk memakan daging korban miliknya.
2.     Adapun mengikut Mazhab Hanafi korban nazar iaitu korban wajib adalah dilarang untuk dimakan oleh orang yang berkorban sepertimana memakan anak yang lahir dari binatang sembelihan itu yang lahir sebelum disembelih. ([2])
3.     Mengikut pandangan Mazhab Maliki dan Hanbali adalah harus daging sembelihan korban nazar dimakan oleh orang yang berkorban seperti daging sembelihan korban sunat. Namun, yang paling dituntut adalah dagingnya dimakan sebahagiannya, disedekahkan dan diberi makan kepada fakir miskin. Di sisi Mazhab Maliki dan Hanafi jika daging itu dimakan semuanya oleh orang yang berkorban atau disimpan selama 3 hari hukumnya adalah harus tetapi dibenci (makruh). Manakala Mazhab Hanbali mengharuskan untuk memakan sebahagian besar dagingnya. ([3])
4.     Mazhab Syafi’e berpandangan bahawa korban wajib atau nazar atau yang telah dinyatakan tujuannya dengan lafaz seperti ‘ini adalah sembelihan korban’ atau ‘aku menjadikannya sebagai sembelihan korban’ maka tidak harus dimakan dagingnya oleh orang yang berkorban dan tanggungannya (ahli keluarganya). Bahkan adalah wajib untuk disedahkan kesemuanya. ([4])
5.     Adapun korban sunat di sisi Mazhab Syafi’e adalah harus bahkan digalakkan kepada orang yang berkorban untuk memakan daging korbannya. Diriwayatkan dari Baihaqi: “Bahawa Rasulullah SAW makan daripada hati sembelihan korbannya”.
 
 

1.3 Pembahagian Daging Korban
1.     Dalam masalah pembahagian daging korban, adapun yang paling dituntut disisi Mazhab Hanafi dan Hanbali ialah dibahagikan daging itu kepada 3 bahagian. 1/3 untuk dimakan oleh orang yang berkorban, 1/3 untuk dihadiahkan kepada saudara maranya atau sahabat-sahabatnya dan 1/3 lagi untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 36 bermaksud:

“Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.”

Dan Allah berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 28 bermaksud:
“Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang Korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”
Berdasarkan ayat 28 ini Mazhab Hanbali mewajibkan memberi makan kepada orang orang fakir miskin kerana perkataan ‘berilah makan’ adalah ayat perintah.([5])

2.     Dalil yang digunakan oleh selain daripada Mazhab Maliki tentang kadar pembahagian daging sebanyak 1/3 bahagian ialah riwayat Ibn Abbas pada menyifatkan sembelihan Nabi SAW: “Dan baginda memberi makan ahli keluarganya 1/3, dan memberi makan di kalangan jiran-jirannya yang miskin 1/3, dan memberi sedekah kepada yang memerlukan/yang meminta 1/3”. (riwayat al-Hafiz Abu Musa al-Asfahani).
3.     Manakala Mazhab Maliki berpandangan bahawa tiada pembahagian daging dalam ibadah korban bersandarkan kepada hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah, Jabir, Abu Said, Buraidah dan selain mereka yang mana pada hadis-hadis tersebut Nabi ada menyatakan: “Makanlah kamu, dan simpanlah kamu dan bersedekahlah kamu”, atau pada riwayat lain: “Makanlah kamu, dan berilah makan, dan simpanlah kamu”.([6])
4.     Daging korban adalah harus untuk diberikan kepada orang-orang kaya mengikut pandangan Mazhab Syafi’e sebagai hadiah kepada mereka tanpa bertujuan untuk berjual beli dengannya.
5.     Mengikut pandangan lama Mazhab Syafi’e orang yang berkorban boleh makan separuh dan separuh yang lain disedekahkan. Namun, pandangan yang baru pula mengharuskan orang yang berkorban untuk makan 1/3 daripada sembelihan korbannya. Namun yang paling tepat ialah wajib disedekahkan sebahagian walaupun sedikit daripada dagingnya. Paling afdal adalah memberi sedekah kesemua daging korban kecuali sedikit sekadar untuk mengambil berkat dari ibadah korban.([7])
6.     Orang yang berkorban sunat mengikut pendapat Mazhab Syafi’e boleh menyedekahkan kulit binatang sembelihannya ataupun untuk memanfaatkannya seperti harusnya memanfaatkan dagingnya. Paling afdal adalah disedekahkan kesemuanya. Adapun korban wajib maka orang yang berkorban tidak harus untuk memanfaatkan kulitnya.([8])

1.4.Hukum memanfaatkan bahagian-bahagian badan binatang Korban

1.     Diharamkan jual beli bulu, lemak, daging, bahagian-bahagian badan, kepalanya, kulit, rambut, dan susu binatang korban yang diperah selepas disembelih korban. Nabi SAW telah memerintahkan supaya kulit binatang korban dibahagikan dan melarang jual beli padanya, sabda Nabi SAW:
“sesiapa yang menjual kulit binatang-binatang korbannya, maka tiada korban baginya”. (riwayat Hakim dan Baihaqi).([9])

2.     Bahagian-bahagian anggota badan binatang korban juga tidak diharuskan untuk diberi kepada penyembelih iaitu sebagai upah untuknya. Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. Dan Ali telah berkata: “kami memberikan upahya (secara berasingan) daripada kutipan sesama kami”. (Muttafaqun Alaih).([10])

3.     Namun, jika pemberian kepada penyembelih itu atas dasar kemiskinan atau sedekah bukan atas dasar upah (upah diberi berasingan) maka hukumnya adalah harus.
4.     Bagi orang yang berkorban pula diharuskan untuk memanfaatkan kulit binatang sembelihannya. Namun di sisi Mazhab Hanafi mengangap ia termasuk dalam bab ‘istihsan’ jika seseorang itu membeli sesuatu menggunakan kulit binatang sembelihan tersebut dengan syarat barang yang dibeli atau barang tukaran tersebut hendaklah sesuatu yang kekal dan bukan sesuatu yang musnah seperti dinar, dirham, makanan atau minuman. Dalil tentang harusnya memanfaatkan kulit binatang sembelihan adalah perbuatan Aisyah yang menjadikan kulit binatang sembelihan sebagai bekas air. Namun Mazhab Maliki menghukumkan makruh jika digunakan sebagai bekas makanan atau minuman orang yahudi dan nasrani.([11])

2.      Hukum Memindahkan Daging Korban/ Melakukan Ibadah Korban ke Tempat Atau Negeri/Negara lain:

1.     Mazhab Hanafi berpendapat bahawa makruh hukumnya memindahkan sembelihan korban ke negeri lain seperti zakat, kecuali jika diberikan kepada saudara maranya yang berada di negeri lain atau kepada penduduk negeri lain yang lebih berhajat kepada daging itu berbanding penduduk di negeri sendiri.([12])
2.     Mazhab Maliki pula berpandangan bahawa tidak diharuskan memindahkannya ke kawasan atau negeri yang jaraknya tidak jauh dari tempat korban tersebut dilaksanakan, kecuali penduduk kawasan tersebut lebih berhajat daripada penduduk di kawasan atau negeri sendiri.
3.     Mazhab Hanbali dan Syafi’e juga berpandangan seperti Mazhab Maliki. ([13]) Hukumnya adalah harus menurut mazhab Shafie berasarkan kaedah qiyas dengan pengeluaran zakat di luar Negara di mana sepatutnya didahulukan tempat sendiri.([14])

4.     Di Malaysia Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-66 yang bersidang pada 25 Nov 2004 telah memutuskan bahawa harus mengagihkan daging Korban ke tempat atau negara lain.([15])

Berkenaan melakukan ibadat Korban di luar negeri/Negara, Sheikh Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Shanqiti berpendapat bahawa ibadah Korban di luar Negara adalah sah dan pelakunya akan mendapat pahala melakukan ibadat Korban. Tetapi yang afdalnya dilakukan di kawasan tempat tinggalnya. Lebih afdal lagi sekiranya dilakukan ibadat Korban di kawasan kediamannya dan juga di luar Negara yang berdepan dengan kesukaran. [16] Dr. Nazim al-Misbah juga menyokong pandangan ini. Beliau menolak pandangan yang mendakwa ibadat Korban di luar Negara adalah sama dengan sedekah biasa[16][17]. Menurutnya lagi pendapat ini tidak ada dalil yang kuat. Bahkan ia bercanggah dengan fakta yang meyatakan bahawa Rasulullah SAW mewakilkan Sayyidina Ali untuk melakukan penyembelihan Korban baginda ketika Haji Wada’.

Kesimpulan, yang afdal dan hukum asal bagi ibadah Korban ialah dilaksanakan di negeri sendiri. Sekiranya dibuat di luar Negara, tidak menjadi kesalahan. Bagi mereka yang mampu, boleh buat dua dua sekali.




 [1]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 615
 [2]. Ibid., 627
 [3]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 627-628
 [4]. Ibid., 630
 (5]. Skheikh Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 628
 6]. Ibid., 628
 [7]. Ibid., 630
 [8]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 631
 [9]. Ibid., 629
 [10]. Ibid., 629
 [11]. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 629
 [12. Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, jil. 3, ms. 630
 [13]. Ibid., 630
 [14] Imam Taqiyuddin al-Husaini, Kifayat al- Akhyar, ms.534.
 16] http://ar.islamway.com/fatwa/5759. Accessed 11/10/2012.
 [17] http://www.alaan.cc/pagedetails.asp?nid=121971&cid=30. 11/10/2012.

Rujukan:  http://akademimamsyafie.blogspot.com/2012_10_01_archive.html

No comments:

Post a Comment