Followers

Tuesday, October 23, 2012

Kenyataan MURSHID Sempena Aidil Adha



Alhamdulillah, sempena dengan sambutan Aidil Adha 1433 Hijrah yang jatuh pada hari Jumaat, 26 Oktober 2012 ini,  Pihak Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya kepada semua calon haji dan hajjah yang sedang mengharungi kemuncak penghambaan dan ibadah kepada Allah di Makkah al-Mukaramah.

Dalam masa yang sama, pihak MURSHID juga mengajak seluruh umat Islam dan masyarakat Malaysia supaya menyelami falsafah atau hikmah di sebalik pensyariatan ibadah haji dan ibadah korban sebagaimana yang dituntut oleh Islam dalam penghayatan sesuatu ibadah.

Paling tidak dua ibadah besar telah disyariatkan dalam bulan Zulhijjah iaitu ibadah haji itu dan ibadah korban sesuai dengan tuntutan syarak. Keduanya adalah merupakan simbolik kepada suatu maksud yang lebih besar dan mendalam serta mampu memberikan kesan kepada umat Islam andai didalami dan difahami.

Ibadah haji adalah ibadah yang menjadi kesinambungan kepada sebuah sejarah agung sebagaimana yang dititipkan oleh Allah dalam al-Quran mengenai perjuangan, pengabdian dan ujian antara hamba-Nya yang salih dengan Tuhan mereka. Ibadah haji dan korban juga boleh dikatakan adalah satu perlambangan kepada penyerahan, pengabdian dan pengharapan yang total kepada Allah.

Aktor-aktor atau watak penting dalam sejarah dan falsafah haji serta korban ini tidak lain tidak bukan adalah Bapa Segala Nabi, Nabi Ibrahim a.s., isterinya Siti Hajar a.s. dan anak mereka Nabi Islmail a.s. Nabi Ibrahim seorang hamba yang taat dan dikasihi Allah SWT diuji dengan ujian yang sangat besar iaitu:



1.    Baginda diminta untuk membawa dan meninggalkan Siti Hajar bersama anak mereka yang baru lahir di sebuah lembah padang pasir yang tiada apa-apa:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya..” (Surah Ibrahim, ayat 37).
2.    Apabila anak tersebut sudah besar, datang perintah daripada Allah SWT melalui mimpi untuk menyembelih anaknya:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar.” (Surah Saffat, ayat 102-108).
Dapat kita lihat dalam sejarah bagaimana Siti Hajar menerima ujian tersebut dengan taat, sabar dan reda meskipun ia adalah tindakan yang zalim pada pandangan kasar manusiawi. Meninggalkan seorang wanita yang berstatus isteri bersama dengan anak yang baru dilahirkan tanpa sebarang kemudahan asas termasuk makanan dan minuman sekalipun. Akhirnya segala ritual kesusahan, keperitan dan kepayahan Siti hajar dimuliakan oleh Allah dengan mengangkat ritual tersebut sebagai ibadah rukun kepada umat akhir zaman.

Ismail yang masih muda remaja, apabila diberitahu oleh ayahnya, Nabi Ibrahim bahawa beliau diperintahkan oleh Allah untuk menyembelihnya, anak itu tidak memberontak malah mendesak dan memotivasikan ayahnya untuk melaksanakan perintah Allah itu dengan segera. Meskipun ada gangguan dan bisikan yang kemudian menjadi ritual simbolik kepada pelontaran batu di Jamrah, namun kesemuanya diatasi oleh mereka berdua sehingga penyembelihan berlangsung dan diganti dengan seekor kibas oleh Allah dengan kuasa-Nya.


Ibrah daripada sejarah Haji dan Korban dan signifikasinya kepada umat Islam pada hari ini

1.    Memahami keutamaan dan maqasid kepada pensyariatan ibadah haji dan korban iaitu sebuah manifestasi penghambaan, penyerahan dan pengharapan yang mutlak kepada Allah serta mendahulukan reda Allah atas segala kecintaan kepada manusia, termasuk isteri, suami, anak dan harta. Jadikan reda Allah sebagai sasaran kehidupan nescaya semua cinta yang lain akan bersama kita (lihat Surah al-Maidah, ayat 27).

2.    Tidak menjadikan ibadah haji dan korban sebagai platform untuk bermegah dan mencari keutamaan duniawi seperti nama, pengaruh dan seumpamanya sehingga mengabaikan rukun dan matlamat pensyariatannya.

3.    Membawa semangat haji dan korban ke dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim bagi dipraktikkan sebagai contoh, sejauh mana kita sanggup berkorban dengan mendahulukan urusan kewangan, pendapatan, pelaburan yang halal berbanding yang menguntungkan tetapi haram. Berkorban mendahulukan makanan yang halal berbanding restoran yang lebih enak yang haram. Berkorban mendahulukan gaji kerjaya yang sederhana tetapi halal berbanding lumayan yang haram, begitu seterusnya. Berkorban kekal dengan gaji yang halal berbanding menerima rasuah yang lumayan. Berkorban tidak mengambil keuntungan secara salah melalui jawatan awam yang disandang berbanding menggunakannya untuk mengkayakan diri secara cepat, hasil jawatan yang disandang.

4.    Mengutamakan yang utama dalam isu pembahagian daging korban, iaitu kepada fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan jiran tetangga. Agar dapat disemai ikatan kasih sayang dan ukhuwah antara mereka yang kekurangan dengan mereka yang berada.

5.    Mereka yang sudah beberapa kali menunaikan haji dan umrah disarankan agar membiayai pula ahli keluarga terdekat seperti emak dan ayah serta mertua atau datuk dan nenek atau pakcik dan makcik serta saudara terdekat yang tidak berkemampuan, ini adalah kerana kewajipan haji adalah sekali sahaja seumur hidup bagi setiap orang. Atau boleh disalurkan wang tersebut kepada sedekah jariah seperti membiayai pelajar, membiayai pembinaan masjid, membantu pergerakan dakwah (seperti MURSHID) dan lainnya yang mana pahala akan berkekalan berbanding melakukan haji kali kedua dan berkali-kali tetapi pahala hanya terhenti sesudah melaksanakannya.

6.    Sangat mengesyorkan orang muda yang masih sihat dan bertenaga untuk merancang dan beriltizam menunai haji pada usia muda khususnya kepada pelajar-pelajar yang sedang belajar di rantau Asia Barat supaya mengambil peluang menunaikan haji sebelum pulang ke tanah air.

7.    Berikhtiar selain daripada menunaikan haji melalui Tabung Haji, bagi mereka yang muda, masih ada beberapa cara untuk menunaikan haji sebagai contoh dengan menggunakan visa antarabangsa bagi mereka yang mampu dari segi perbelanjaan dan kekuatan zahir tubuh badan.

8.    Disarankan mengutamakan ibadah korban berbanding ibadah aqiqah kerana ibadah korban sekali sahaja dalam setahun dengan masa yang khusus manakala ibadah aqiqah boleh dilaksanakan sepanjang tahun.

9.    Membudayakan aktviti penyembelihan korban sebagai aktiviti berjemaah yang membawa kepada kemuafakatan dan kesalingan bahu membahu dengan mengenepikan ideologi jemaah, kumpulan, NGO dan parti politik. Juga mendahulukan korban dilakukan sendiri berbanding diwakil kepada pihak lain kerana itu akan mengurangkan penghayatan syiar-syiar haji dan korban.

10. Memberikan penerangan kepada bukan Islam mengenai ibadah korban yang sering disalah anggap sebagai satu bentuk penyeksaan kepada binatang. Perlu difahamkan, penyembelihan dilakukan dalam cara yang terbaik, dapat mengeluarkan darah paling maksima dan paling cepat, berbanding sebahagian teknik sembelihan moden yang menyeksa binatang.

Sekian, terima kasih.

Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)

Disediakan oleh:
Dr. Hj. Zaharuddin Abd Rahman                          Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi
Pengerusi MURSHID                                                   Setiausaha Kerja MURSHID

Ahli-ahli MURSHID :
  1. Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Penasihat)
  2. Dr Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
  3. Dr Zahazan Mohamed
  4. Ustaz Roslan Mohamed
  5. Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahman (Al-Hafiz)
  6. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
  7. Dr Abdul Basit Abdul Rahman
  8. Dr Maszlee Malik
  9. Dr Ahmad Wifaq Mokhtar
  10. Dr Mohd Sukki Othman
  11. Ustaz Mohd Asyraf Mohd Ridzuan
  12. Ustaz Fauwaz Fadzil
  13. Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
  14. Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
  15. Ustaz Mohd Aizam Mas’od
  16. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim
  17. Ustaz Mohd Zamri bin Haji Mohd Zainuldin
  18. Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang
  19. Xifu Abdul Naser Abdul Rahman
  20. Ust Muhd Ramadhan Fitri Ellias

No comments:

Post a Comment