Pada hari Jumaat ini tanggal 10 Zulhijjah 1433
Hijrah bersamaan 26 Oktober 2012 Masihi, umat Islam di Malaysia akan
sama-sama merayakan Hari Raya 'Idul Adha atau lebih dikenali sebagai
'Hari Raya Haji' atau 'Hari Raya Korban'. Aidiladha disebut sebagai Hari
Raya Korban adalah ekoran ibadah 'korban' yang disyariatkan pada hari
tersebut iaitu dengan menyembelih haiwan seperti kambing, lembu, kerbau
atau unta.
Penyembelihan korban dilakukan
setelah selesai solat 'Idul Adha pada 10 Zulhijjah dan masih diteruskan
pada hari-hari Tasyrik iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. Kaedah
pembahagian daging korban ialah sepertiga disedekahkan kepada fakir
miskin, sepertiga untuk jiran dan sahabat handai walaupun kaya, dan
sepertiga lagi adalah untuk kegunaan orang yang melakukan korban. Daging
korban disunatkan agar diberi dan disedekahkan secara mentah tanpa
dimasak.
Ibadah korban telah disyariatkan
pada tahun kedua hijrah. Antara tujuan ibadat ini dilakukan ialah untuk
mengingati semangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi
Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Ismail a.s.. Nabi Ibrahim a.s. telah
mendapat wahyu melalui mimpinya bahawa Allah s.w.t. memerintahkannya
untuk menyembelih anaknya Ismail. Ini merupakan perintah yang amat berat
bagi nabi Ibrahim, apatah lagi Ismail merupakan anak kesayangannya yang
dilahirkan setelah baginda melewati usia lanjut, hasil perkongsian
hidupnya dengan Hajar.
Namun, kekuatan
iman dan semangat pengorbanan yang tinggi yang dimiliki oleh nabi
Ibrahim menyebabkan baginda bertekad dengan sepenuh hati untuk
melaksanakan perintah Allah ini. Allah s.w.t. telah merakamkan dalam
al-Quran kata-kata nabi Ibrahim kepada anaknya, dalam surah al-Saffat
ayat 102 yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku
melihat dalam mimpiku, bahawa aku (diperintahkan) untuk menyembelihmu,
maka apakah pendapatmu". Walaupun Nabi Ismail a.s. ketika itu masih
muda, tetapi baginda tidak teragak-agak dalam memberikan persetujuan
terhadap perintah Allah ini. Allah telah menyatakan dalam al-Quran
tentang jawapan yang diberikan oleh nabi Ismail kepada bapanya, dalam
surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa
yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan mendapati
(menyaksikan sendiri) daku dari orang yang sabar"
Berbekalkan
semangat pengorbanan yang tinggi kepada Allah, Nabi Ibrahim a.s. dan
nabi Ismail a.s. bersedia untuk melaksanakan perintah Allah ini. Lalu,
Nabi Ibrahim a.s. pun meletakkan pisau yang tajam di leher anaknya untuk
menyembelihnya. Pada saat itu juga, Allah s.w.t menunjukkan Kekuasaan
dan KeagunganNya dengan menggantikan nabi Ismail dengan kibasy untuk
disembelih oleh nabi Ibrahim a.s.
Bermula
dari sejarah inilah, ibadah korban dilaksanakan. Nabi Muhammad s.a.w.
meneruskan ibadah korban ini, dan ia menjadi satu amalan Islam yang
dilaksanakan pada setiap hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyrik.
Firman Allah dalam surah al-Kawthar ayat 2 bermaksud: "… tunaikanlah
solat kerana Tuhan-Mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai tanda
bersyukur)".
Dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan al-Hakim, Nabi s.a.w. bersabda
yang bermaksud: "Tidak melakukan seorang anak Adam sesuatu amalan pada
hari raya Adha yang lebih disukai oleh Allah Taala daripada menumpahkan
darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang
pada hari kiamat nanti dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan
sesungguhnya darahnya jatuh di sisi Allah pada satu tempat kemuliaan
lebih dahulu dari jatuh kebumi. Maka berkiralah diri kamu dengan
korban".
Ibadah korban yang dilakukan
pada hari raya haji dan pada hari-hari Tasyrik ini bukanlah semata-mata
untuk menyembelih binatang dan disedekahkan dagingnya kepada fakir
miskin, akan tetapi ia juga merupakan simbolik ke arah semangat
pengorbanan dan semangat jihad yang perlu ada pada diri setiap individu
muslim. Orang yang akan memperoleh keredhaan Allah, dan yang akan
mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat ialah mereka yang sanggup
berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan jiwa raga di jalan Allah
s.w.t.
Akan tetapi, yang menjadi
persoalannya ialah mengapakah terdapat di kalangan umat Islam yang
sanggup melakukan ibadah korban dengan menumpahkan darah binatang yang
disembelih sebagai tanda taat kepada Allah, namun tidak sanggup
'berkorban' dalam mentaati perintah Allah dalam perkara yang berkait
dengan hukum hakam agama yang lain? Mengapakah masih terdapat di
kalangan umat Islam yang tidak melaksanakan perintah Allah seperti
menunaikan solat lima waktu dengan sempurna, menutup aurat, menghadiri
majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid dan surau dan sebagainya?
Mengapakah juga masih terdapat di kalangan umat Islam yang bergelumang
dengan maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah seperti
menipu, rasuah, judi, dan sebagainya?
Justeru,
dengan semangat pengorbanan yang ada di musim perayaan Aidiladha ini,
marilah sama-sama kita bermuhasabah dan menilai kembali tindak tanduk
dan perbuatan kita seharian agar ia selari dengan kehendak dan ajaran
islam. Kita hendaklah bersedia melakukan pengorbanan semata-mata mencari
keredhaan Allah. Korbankanlah waktu yang ada dengan dimanfaatkan untuk
mentaati segala perintah dan suruhan Allah. Korbankanlah juga keinginan
nafsu syahwat yang mendorong ke arah kejahatan, dengan meninggalkan
segala larangan Allah.
Musuh utama kepada
pengorbanan yang hendak dilakukan ialah syaitan dan hawa nafsu. Ia
berusaha menipu manusia dengan perasaan sayang yang berlebihan kepada
wang ringgit, takut rugi atau membuang masa apabila melakukan sesuatu
kebajikan dan amalan soleh, dan bermacam-macam godaan dan tipu dayanya
lagi. Allah berfirman dalam surah al-Fatir ayat 6, maksudnya:
"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh.
Kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya
supaya menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala".
Mudah-mudahan,
'Idul Adha pada tahun ini memberikan sinar pengorbanan yang sejati pada
diri setiap individu muslim. Kita akan berusaha apa sahaja demi
melakukan pengorbanan dalam mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan yang
hakiki di dunia dan di akhirat. Firman Allah dalam surah al-Nisa’, ayat
175 bermaksud: "Adapun orang yang beriman kepada Allah dan berpegang
teguh kepada agamanya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat
yang besar darinya (Syurga). Dan limpah kurnianya yang tidak terkira,
dan Allah akan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (agama Islam)
untuk sampai kepadaNya (Allah)"
No comments:
Post a Comment