Oleh: Ustaz Shauqi
Iblis adalah makhluk Allah yang
derhaka dari keturunan jin. Al-Quran telah menyatakan dengan jelas bahawa Iblis adalah
daripada jenis jin. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahf ayat 50,
bermaksud: Dan (ingatkanlah
peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada
Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan
jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu
hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang
menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amat
buruklah Iblis itu sebagai pengganti bagi orang-orang yang zalim.
Menurut
Syeikh al-Turayhi, perkataan iblis berasal daripada ablasa yang
bermaksud putus asa daripada rahmat Allah. Ibn `Abbas dan Qatadah menyatakan
bahawa nama Iblis dalam bahasa Ibrani ialah `Azazil. Manakala dalam tafsir Ibn
Kathir menyebut bahawa nama iblis dalam bahasa Arab adalah al-Harith. Dalam
kitab Hayah al-Hayawan al-Kubra disebut bahawa kunyah atau nama
panggilan bagi iblis ialah Abu Murrah.
Perkataan
‘Iblis’ telah disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali. Manakala kisah Adam a.s bersama Iblis pula disebut
oleh Allah SWT sebanyak tujuh tempat di dalam al-Quran al-Karim. Surah-surah yang
mengandungi kisah-kisah tersebut ialah; Surah al-Baqarah, al-A'raf, al-Hijr,
al-Isra', al-Kahf, Taha dan Sad. Dalam surah al-Baqarah ayat 34, Allah
berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada
malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka
sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan
menjadilah ia dari golongan yang kafir.
Di
dalam ayat ini Allah SWT telah menceritakan bermulanya kesesatan Iblis dengan
keengganannya menurut perintah Allah iaitu sujud kepada Adam. Sujud yang
dimaksudkan di sini adalah sujud sebagai tanda kemuliaan bukan sujud sebagai
pengabdian. Iblis mengungkit asal kejadiannya daripada api yang kononnya lebih
mulia daripada asal kejadian Adam a.s iaitu tanah. Api mampu melonjak tinggi
dan bercahaya lebih mulia daripada tanah yang bersifat pasif pada sudut
pandangan Iblis.
Inilah
analogi (qiyas) yang telah dilakukan oleh Iblis menurut pemikirannya. Malangnya
analogi tersebut adalah salah. Dalam al-Tafsir al-Munir karangan Syeikh
Wahbah al-Zuhayli disebut bahawa kebaikan tidak boleh dinilai berdasarkan
unsur-unsur material sebaliknya ia dinilai berdasarkan unsur-unsur maknawi yang
lebih berfaedah iaitu ilmu dan pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah SWT
kepada Adam a.s. Akibat kesombongan dan kesesatan Iblis, Allah telah
mengusirnya dari syurga yang penuh dengan kemuliaan dan kebahagiaan. Namun
Iblis telah memohon supaya dia diberi tempoh hayat sehingga berlaku kiamat
kerana mahu menyesatkan manusia.
Menurut
al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur, pada suatu ketika, Allah SWT telah memerintahkan
jin yang bernama Iblis untuk mengepalai para malaikat untuk memerangi para jin
yang melakukan kerosakan di bumi. Lalu, mereka berjaya diusir ke pulau-pulau
dan bukit bukau. Iblis merasa bangga dan bongkak atas kejayaannya itu. Namun
kebongkakannya itu tidak sedari oleh para malaikat. Justeru, punca yang
menghalangi Iblis itu untuk sujud kepada
Adam tidak lain adalah sifat bongkak, sombong dan riak. Dia merasa dirinya jauh
lebih baik daripada Adam. Allah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 12 bermaksud : " Allah berfirman:
"Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku
perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau
(Wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang Dia Engkau jadikan dari tanah.".
Seterusnya
Iblis dengan angkuhnya mengisytiharkan permusuhan yang abadi dengan manusia.
Allah berfirman dalam surah Sad ayat 82-83 bermaksud: “Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu
(Wahai Tuhanku), Aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu di
antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan
penyelewengan".
Allah
telah memberikan keizinan kepada iblis untuk mempunyai usia yang panjang. Oleh
yang demikian, boleh dikatakan bahawa ciri yang paling utama daripada Iblis
adalah dia kekal hidup hingga ke hari kiamat. Dan penangguhan usianya itu
memang telah diberikan oleh Allah SWT.
Dalam surah Sad ayat 79-81, Allah SWT menyatakan yang bermaksud: Iblis
berkata: "Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke
hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) ". Allah berfirman: " Dengan
permohonanmu itu, maka Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi
tempoh hingga ke hari masa yang
termaklum ". Begitu juga dalam surah al-A`raf ayat 14-15, Allah SWT
berfirman yang bermaksud: Iblis berkata: berilah tempoh kepadaku hingga hari
mereka dibangkitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Sesungguhnya
engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)".
assalamualaikum, jadi iblis hanya seekor di dunia ini?
ReplyDelete