Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan,
penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu
menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya
dalam hal-hal yang boleh diwakilkan. Hukum wakalah adalah harus berdasarkan
Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah
mempunyai empat rukun iaitu:
I.
Muwakkil (orang yang berwakil)
II.
Wakil /Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)
III.
Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)
IV.
Shighah (ijab dan qabul).
Syarat-syarat wakil dalam ibadah korban:
1.
Hendaklah seorang Muslim dan bukan ahli kitab kerana sembelihan ahli
kitab adalah makruh. Tambahan pula tujuan sembelihan adalah untuk mendekatkan
diri kepada Allah. Adapun majusi adalah diharamkan sembelihannya.
2.
Hendaklah mendapat keizinan orang yang berkorban.
3.
Memenuhi syarat-syarat mukallaf.
Hukum upah bagi wakil:
1.
Ulama’ sepakat mengatakan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh
mengambil bahagian daripada sembelihan korban sebagai upah kerana terdapat
larangan yang keras daripada Nabi SAW di dalam hadis Sayyidina Ali:
“Rasulullah telah
memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan
supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak
memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. (Muttafaqun Alaih).
Oleh itu, boleh
disimpulkan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh menetapkan bahagian
daripada binatang korban itu sebagai upahnya.
2.
Jika hendak memberi upah hendaklah menggunakan peruntukkan lain selian
dari daging korban. Ali r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah
menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik Baginda kemudian menyedekahkan
daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan
seumpamanya) serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih
tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri”. (riwayat Muslim di
dalam Sahihnya)
Hujjah lain, pada dasarnya upah untuk ibadah adalah diharuskan seperti
upah haji dan umrah. Adapun ibadah-ibadah yang tidak memerlukan belanja dan
usaha yang keras maka tidak diharuskan padanya sebarang upah.
Larangan dijadikan upah sebahagian daripada daging Korban adalah kerana
daging daripada penyembelihan korban adalah bertujuan untuk ibadah korban dan
kebajikan. Dengan itu ia tidak boleh dijadikan balasan/upah kepada kerja
(pengurusan penyembelihan).
Kaedah Kaedah Wakalah di dalam Ibadah Korban:
1.
Wakalah berbentuk penyerahan binatang korban:
Penyerahan binatang korban kepada wakil
haruslah melalui pernyataan yang jelas dalam jenis korbannya samaada sunat atau
wajib dan urusan yang diserahkannya samada menyembelih saja atau juga
membahagikan dagingnya kepada pihak ketiga. Oleh kerana itu harus ada shighah
yang jelas antara orang yang berkorban dengan wakil tersebut dan kedua-dua
pihak harus memenuhi rukun-rukun wakalah iaitu Muwakkil (orang yang berwakil),
Muwakkal (orang yang dijadikan wakil), Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)
dan Shighah (ijab dan qabul )
أركانها اربعة موكل
ووكيل وموكل فيه وصيغة ويكفى فيها اللفظ من أحدهما وعدم الرد من الأخر كقول الموكل
وكلتك بكذا او فوضته إليك ولو بمكاتبة او مراسلة (الباجورى جزء 1 ص : 296 )
2.
Wakalah berbentuk penyerahan wang:
Dengan cara ini
urusan ibadah korban dapat dilakukan dengan mudah. Melalui cara ini orang yang
ingin melakukan ibadat korban akan menyerahkan sejumlah wang yang sama nilai
dengan sebahagian atau seekor binatang korban kepada wakil. Wakil tersebut akan
menguruskan segala urusan ibadah korban bagi pihaknya. Dalam hal ini menurut
pandangan ulama hukumnya adalah harus.
Penjelasan tentang keharusan wakalah
melalui penyerahan wang dijelaskan dalam kitab I’anah al-Talibin:
للصواب: في فتاوي العلامة الشيخ محمد بن سليمان
الكردي محشي شرح ابن حجر على المختصر ما نصه: (سئل) رحمه الله تعالى: جرت عادة أهل
بلد جاوى على توكيل من يشتري لهم النعم في مكة للعقيقة أو الأضحية ويذبحه في مكة،
والحال أن من يعق أو يضحي عنه في بلد جاوى فهل يصح ذلك أو لا؟ أفتونا. (الجواب)
نعم، يصح ذلك، ويجوز التوكيل في شراء الأضحية والعقيقة وفي ذبحها، ولو ببلد غير
بلد المضحي والعاق كما أطلقوه فقد صرح أئمتنا بجواز توكيل من تحل ذبيحته في ذبح
الأضحية، وصرحوا بجواز التوكيل أو الوصية في شراء النعم وذبحها، وأنه يستحب حضور
المضحي أضحيته. ولا يجب. وألحقوا
العقيقة في الاحكام بالأضحية، إلا ما استثني، وليس هذا مما استثنوه، فيكون حكمه
حكم الأضحية في ذلك. وبينوا تفاريع هذه المسألة في كل من باب الوكالة والإجارة فراجعه.
Dalam kitab Fatawa Syeikh Sulaiman al-Kurdi
Muhasyyi Syarah Ibni Hajar ‘ala al Mukhtashar terdapat suatu pertanyaan: Beliau
telah ditanya:
“Telah berlaku
kebiasaan penduduk Jawi mewakilkan kepada seseorang agar membelikan haiwan
ternakan untuk mereka di Makkah sebagai aqiqah atau korban dan agar
menyembelihnya di Makkah, sementara orang yang melakukan ibadat tersebut berada
di Jawa. Apakah hal demikian itu sah atau tidak? Mohon diberikan fatwa. Jawabannya
“Ya, demikian itu sah. Diperbolehkan mewakilkan dalam pembelian binatang korban
dan aqiqah dan juga penyembelihnya sekalipun tidak dilaksanakan di negara orang
yang berqorban atau beraqiqah itu.”..
Di antara kesilapan yang biasa berlaku ialah tidak dinyatakan akad
perwakilan (wakalah) ketika mengambil tempahan. Tidak juga dibezakan antara
wakalah secara mutlak ataupun secara khusus. Perwakilan secara khusu berlaku
apabila mereka yang melakukan ibadat korban mewakilkan seseorang tukang
sembelih yang dikenalpasti untuk melakukan penyembelihan, di samping ditentukan
haiwan sembelihan. Bagi wakil yang akan mewakili pihak ketiga untuk menguruskan
ibadah korban terutamanya di luar negara, perlu dinyatakan dengan jelas
perwakilan adalah secara mutlak.
Wakalah Bersama Dengan Upah (wakalah bi al-ajr)
Apabilah wakalah disertakan dengan upah, hukumnya bertukar kepada
ijarah, iaitu upah kepada sesuatu pekerjaan. Ini dianggap sebagai aqad mu‘awadah
seperti jual beli. Di antara kesan fiqh ialah ia berubah daripada kontrak yang
tidak mengikat (non binding/ghair lazim) kepada kontrak yang mengikat
(binding/lazim), dengan erti kata pembatalannya mestilah dengan
persetujuan kedua dua pihak (muwakkil dan wakil). Jumlah upah juga mestilah
diketahui kerana gharar (ketidaktentuan) di di dalam aqad mu‘awadah membatalkan
kontrak. Sebagai contoh, sekiranya disebut harga kambing seekor RM500, perlu
dijelaskan berapa upah kepada wakil yang akan melakukan kerja penyembelihan dan
pengurusan ibadah korban. Diantara kesilapan yang kerap berlaku ialah tidak
disebut berapa upah.
Di antara alternatif adalah seperti berikut:
1.
Disebut bahawa RM500 adalah harga sebahagian korban termasuk kos
pengurusan dan upah. Perlu
dinyatakan termasuk upah. Ini boleh diterima sekiranya penyembelihan dan
urususan penyelenggaraan dilakukan sendiri oleh penganjur seperti masjid atau
surau.
2.
Adapun bagi mereka yang mengutip wang penyertaan ibadah Korban, kemudian
mewakilkan pihak lain, dan mengambil upah, perlu dinyatakan jumlah upah.
Contohnya Harga kambing RM450, upah RM50.
3.
Menganggarkan/menentukan nilai seekor kambing atau 1/7 lembu, contohnya
RM500, baki diberikan kepada wakil ataupun kepada masjid/badan
kebajikan/sekolah agama/rumah anak yatim dll. Contoh: “Saya bayar duit RM500
ini untuk sebahagian lembu korban, yang selebihnya/baki adalah untuk kamu.”
atau “Saya bayar duit RM500 ini untuk sebahagian lembu korban, yang
selebihnya/baki adalah untuk masjid.”
Konsep ini disebut oleh fuqaha sebagai:
إذا قال الموكل للوكيل: بع العين
بكذا، فما زاد فهو لك
“Apabila berkata pewakil kepada wakil: “Juallah
barang ini dengan sekian-sekian, apa yang lebih adalah untukmu”
Di antara ulama yang
yang mengharuskan konsep ini (upah bersyarat) ialah Ibn Abbas, Al-Zuhri, Qotadah, Ayub al-Sakhtiyani, Ibn Sirin, Al-Sya’bi, Hassan
al-Basri, Ishaq Ibn Rahawaih, Ahmad bin Hanbal,dan juga ulama mazhab Hanbali.
Ulama yang membenarkan kaedah ini juga mengharuskan membeli dengan harga
sekian, sekian, sekiranya harga yang diperolehi lebih rendah, maka perbezaan
harga itu deberikan kepada wakil. Contoh, “Belikan saya sebahagian lembu korban
dengan harga RM500, sekiranya kamu boleh dapatkan harga yang lebih rendah,
perbezaan harga saya berikan kepada kamu.”
Perlu diingatkan
supaya tidak berlaku ghubn iaitu kerugian disebabkan penipuan bagi
muwakkil iaitu pelaku ibadah korban di mana, kadang kadang lembu yang
disembelih adalah yang kurus atau tidak cukup sharat sah sembelih, kerana
dibeli dengan harga yang begitu rendah disebabkan pengambilan upah yang
tinggi.
Dicadangkan bagi
mereka yang menganjurkan ibadat korban secara komersial, agar mengabil upah
secara berpatutan menurut uruf, sebagaimana Al-Quran membenarkan penjaga anak
yatim mangambil upah di atas kerjanya sekiranya tidak ada kemampuan dengan
syarat ianya berpatutan menurut uruf semasa dan tempat pengurusan korban “bi
al-makruf”. Aktiviti ini juga perlu kepada pamatauan pihak berkuasa supaya
tidak berlaku penipuan.
No comments:
Post a Comment