Wednesday, November 7, 2012

Apa itu Makruf?



Soalan:  Boleh ustaz jelaskan dari sudut pandangan Islam tentang apakah yang dimaksudkan dengan makruf dan apakah makruf itu terhad pada perkara-perkara tertentu sahaja?


Jawapan:

Perkara ma’ruf merupakan perkara baik dan amalan soleh yang diperintahkan oleh Allah untuk kita melaksanakannya. Contohnya ialah seperti menunaikan solat, berpuasa, mengeluarkan zakat, menghubungkan silaturahim, berbuat baik terhadap ibu bapa, bersifat benar, amanah dan lain-lain. Mempunyai sifat rahmat terhadap haiwan juga merupakan perkara yang baik. Islam mengajar kita supaya mempunyai sifat rahmat di antara sesama makhluk, termasuk kepada binatang. Walau apa pun persepsi manusia terhadap anjing contohnya, ia merupakan salah satu daripada makhluk yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan pada mana-mana makhluk Allah, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah dan ia dianggap sebagai perbuatan yang makruf.

Dalam sebuah hadis diceritakan bagaimana seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan. Abu Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Ketika seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu, dia pun turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Lantas Allah mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.”Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari). 

Sehubungan dengan itu, apa jua perkara kebaikan yang dibuat yang diterima menurut penilaian hukum syarak, maka ia dikira sebagai perkara makruf yang akan memperoleh pahala bagi pelakunya. Justeru, nabi SAW menunjukkan contoh kepada kita bagaimana kebaikan dan makruf yang dilakukan itu bukan sekadar terhennti pada manusia bahkan ia juga merangkumi makhluk lain termasuk haiwan. Analoginya, sekiranya haiwan pun dituntut kepada kita untuk dilakukan kebaikan padanya, apatah lagi manusia.

            Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik kepada umat sepanjang zaman dengan berbuat  baik terhadap anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang sakit. Rasulullah sentiasa memberikan makanan kepada golongan-golongan ini. Selain itu, Rasulullah juga tidak melepaskan peluang untuk menziarahi orang miskin, terutamanya orang sakit dan orang yang meninggal dunia dalam kalangan mereka.  Begitu juga, Rasulullah amat prihatin terhadap kebajikan anak-anak yatim dan baginda memerintahkan umat Islam agar berbuat baik kepada anak-anak yatim.

            Rasulullah juga berwasiat agar bersikap rahmat terhadap haiwan, dan melarang daripada menyakiti haiwan dengan apa cara sekali pun. Rasulullah juga melarang daripada sengaja duduk di atas tunggangan binatang dalam jangka waktu yang panjang sekiranya tanpa sebarang keperluan.  Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Tunggangilah ia (binatang) dengan baik, dan tinggalkannya dengan baik, dan janganlah kamu menjadikannya sebagai kerusi (tempat duduk) sedangkan kamu berbicara panjang di jalan dan di pasar, mungkin yang ditunggang itu lebih baik dan lebih banyak mengingati Allah daripada yang menunggang’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Ya’la dan al-Tabrani).

            Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘seorang wanita masuk neraka hanya kerana seekor kucing, beliau mengikat dan mengurungnya dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan untuk dimakan’. Rasulullah juga melarang membunuh binatang dengan tidak ada tujuan seperti membunuh burung dengan suka-suka bukan bertujuan untuk makan.  Sabda nabi bermaksud: ‘Sesiapa yang membunuh burung (dengan suka-suka), pada hari Kiamat kelak, burung tersebut akan mengadu pada Allah dengan katanya: Ya tuhan, sesungguhnya si fulan ini membunuhku dengan tanpa tujuan dan tanpa sebarang manfaat’ (Hadis riwayat Imam al-Nasa’ei).

No comments:

Post a Comment