Followers

Wednesday, November 7, 2012

Dakwah Tanggungjawab Siapa?




Soalan:  Apakah kewajipan menyeru makruf dan mencegah kemungkaran itu merupakan  tanggung jawab golongan tertentu sahaja, dan apakah ia wajib atau sunat?


Jawapan:

 Amar makruf dan nahi munkar yang bermaksud menyeru makruf dan mencegah kemungkaran merupakan suatu tanggung jawab yang diwajibkan kepada umat Islam dan ia merupakan antara syiar agama yang paling utama. Oleh yang demikian, Allah SWT berfirman dalam surah Ali `Imran ayat 104 bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

            Menurut Ibn Kathir, maksud ayat al-Quran ini ialah hendaklah ada segolongan umat Islam yang malaksanakan kewajipan amar makruf nahi munkar. Walaupun begitu, ia tetap tidak menafikan bahawa tanggung jawab amar makruf nahi munkar ini adalah merupakan tanggung jawab setiap individu muslim sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, nabi SAW bersabda yang bermaksud: ” Sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mencegahnya dengan tangannya, sekiranya tidak mampu berbuat demikian, maka hendaklah ia mencegah dengan lidah, dan sekiranya tidak mampu juga, maka hendaklah ia mencegah dengan hati, dan mencegah dengan hati itu merupakan selemah-lemah iman”.

            Dalam hadis yang lain, daripada Huzaifah bin Yaman bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud: ”Demi zat yang jiwaku dalam genggaman-Nya, hendaklah kalian benar-benar menyuruh kepada yang ma’ruf serta mencegah   perbuatan yang munkar atau (kalau tidak) Allah akan benar-benar memberikan siksa untuk kalian dari sisi-Nya kemudian kalian berdo’a dengan sungguh-sungguh kepada-Nya, tapi Dia tidak mengabulkan do’a kalian.”( Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmidzi).

            Selain itu, Allah SWT telah berfirman dalam surah Ali `Imran ayat 110, bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Meneliti ayat ini, Allah SWT telah mendahulukan menyeru makruf dan mencegah munkar daripada beriman kepada Allah. Justeru, para ulama menyatakan bahawa maksudnya ialah iman itu perlu disuburkan dan dikawal serta dipelihara dengan amar makruf dan nahi munkar. Analoginya ialah iman itu umpama sepohon pokok. Maka pokok ini perlu disurkan dengan siraman dan baja iaitu ‘amar makruf’. Di samping itu, bagi menjamin pokok ini tumbuh dengan baik dan sempurna hendaklah dijaga dan dikawal dengan memagari pokok tersebut dan menyembur racun perosak agar pokok tersebut tidak dihinggapi oleh parasit. Itulah yang dinamakan sebagai ‘Nahi Munkar’.

Baru-baru ini ketika saya dalam suatu penerbangan... saya sempat berbual dengan penumpang yang duduk di sebelah saya. Beliau bersama kumpulannya baru sahaja hendak pulang ke England setelah membuat kerja 'kebajikan' di Rwanda selama dua minggu. Kerja 'kebajikan' mereka itu disokong kuat oleh pihak Gereja Kristian. Dia menyatakan kepada saya bahawa bila mereka balik... akan ada kumpulan lain pula silih berganti akan pergi ke sana membuat perkara-perkara 'kebajikan'. Pendakwah Kristian begitu gigih berdakwah ... apa sahaja ruang untuk berdakwah ke agama mereka ... mereka akan buat walau hanya dengan membantu orang susah...menziarahi orang sakit di hospital dan sebagainya. Mereka begitu gigih berdakwah sedangkan dakwah mereka itu adalah batil.

Jadi, bagaimana pula dengan orang Islam yang berpegang dengan kebenaran ajaran Islam... mengapakah usaha dakwah amat sedikit sedangkan kewajipan dakwah adalah wajib dan ia terletak pada tanggung jawab semua orang. Sabda nabi saw bermaksud : 'Sampaikan daripadaku walau satu ayat'. Tapi berapa ramai daripada kita yang berusaha menyampaikan kebenaran dan mencegah kemungkaran?

No comments:

Post a Comment