Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi pula, ketika membahaskan perkara ini telah
menyatakan bahawa tidaklah menjadi suatu kesalahan memberikan ucapan
selamat hari raya kepada rakan dan jiran yang musyrikin, kerana Islam
tidak menutup hubungan antara dua kaum yang berlainan agama dan
kepercayaan ini. Keharusan ini adalah berdasarkan firman Allah dalam
surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu
untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak
memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu,
sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil”. Namun, al-Qaradawi
melarang keras daripada turut serta dalam perayaan yang berasaskan
upacara keagamaan kerana ia melibatkan akidah dan kepercayaan.
Prof
Dr Abd al-Sattar Fathullah Said, seorang pensyarah Tafsir dan ‘Ulum
Quran di Universiti Azhar pula berpendapat bahawa mengucapkan tahniah
dan selamat hari raya pada perayaan bukan Islam adalah harus selagi
tidak bercanggah dengan hukum syara’. Akan tetapi sekiranya ucapan
tahniah dan selamat hari raya itu diungkapkan dalam bentuk doa seperti
‘moga Allah berkati pada keluarga dan hartamu’, ianya adalah haram dan
dilarang sama sekali. Begitu juga menurut beliau harus memberi hadiah
sebagai ucapan tahniah kepada bukan Islam pada hari perayaan mereka,
tetapi hadiah tersebut mestilah bukan sesuatu yang diharamkan seperti
arak, potret lucah dan sebagainya.
Syeikh
Dr. Mustafa Zarqa pula ketika membincangkan persoalan ini telah
menyatakan bahawa mengucapkan tahniah atau ucapan selamat hari raya
kepada kenalan bukan Islam adalah termasuk dalam bab kesopanan
(mujamalah) dan keelokan dalam pergaulan. Namun, sesiapa yang keliru,
contohnya dengan mengatakan bahawa sambutan hari kelahiran Isa adalah
perayaan mereka (seperti Aidilfitri dan Aidil Adha), maka ia adalah
haram, kerana ianya mempunyai kaitan dengan aqidah Kristian tentang
ketuhanan Isa.
Hujah yang dikemukakan oleh
beliau antara lain ialah peristiwa yang berlaku pada zaman nabi s.a.w.
Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berdiri tatkala satu jenazah
Yahudi melalui kawasan yang diduduki oleh Rasulullah dan para sahabat.
Berdirinya Rasulullah itu adalah penjelasan tentang betapa hebat dan
agungnya kematian itu, tidak ada kaitan dengan aqidah jenazah tersebut
(iaitu bukan kerana hendak menghormati aqidah jenazah tersebut).
Justeru, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.
Justeru, perlu juga diberi perhatian bahawa, mengucapkan selamat hari raya kepada kawan-kawan non-muslim atas alasan menjaga persahabatan dan perhubungan (bukan atas dasar aqidah) adalah harus, tetapi merayakannya dengan pengisian-pengisian mungkar di dalamnya, itu adalah haram.
No comments:
Post a Comment