Soalan
Saya ingin
menziarahi kubur arwah suami saya, Cuma saya ingin bertanya apakah wanita yang
haid tidak boleh ziarah kubur? Mohon penjelasan ustaz.
Jawapan:
Menurut ulama’ aliran
mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita.
Rasulullah s.a.w. sendiri telah pergi menziarahi perkuburan Baqi’ dan
mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda yang
bermaksud: ‘Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami
kelak Insya Allah akan menyusuli kamu’. Nabi s.a.w juga bersabda: "Dahulu
saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang boleh kamu
menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh mengingatkan kamu kepada
kematian” (Hadis riwayat Imam Muslim), dan pada lafaz yang lain “(menziarahi
kubur) mengingatkan kamu kepada akhirat."
Manakala Jumhur fuqaha’ pula, mereka menyatakan
bahawa ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah
kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan
menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada
ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki, larangan (makruh)
ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ada
‘keinginan ‘, maka hukumnya sama seperti lelaki.
Ringkasnya, ziarah kubur adalah sunat juga bagi
wanita sekiranya ia dapat mempastikan tidak melakukan perkara-perkara larangan
seperti meratap dan meraung. Begitu juga, perlu menutup aurat dan tidak
bercampur bebas dengan lelaki yang bukan mahram. Tidak pula disyaratkan bersuci
daripada hadas kecil atau hadas besar bagi mereka yang menziarahi tanah
perkuburan. Justeru, diharuskan wanita haid untuk menziarahi kubur.