Apakah hukum
membuka aurat bagi seseorang wanita ketika menjemur pakaian di ampaian?
Jawapan:
Aurat ialah sesuatu yang wajib
ditutup ketika berhadapan dengan orang yang bukan mahram. Sempadan
menutup aurat bagi lelaki ialah di antara pusat dan lutut. Manakala bagi
perempuan ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan
(pergelangan tangan). Sempadan aurat seseorang itu apabila berada di hadapan
orang yang bukan mahram ketika berada di luar solat adalah sama seperti keadaan
auratnya ketika berada dalam solat. Akan tetapi sesuatu yang amat menyedihkan
berlaku dalam masyarakat kita ialah apabila sebilangan umat Islam hanya menutup
aurat di dalam solatnya sahaja, tetapi apabila selesai menunaikan solat,
kewajipan menutup aurat terus dilupakan. Seolahnya seseorang itu hanya
mengabdikan diri kepada Allah ketika menunaikan solat sahaja, sebaliknya ketika
tidak menunaikan solat, dia terus melakukan penderhakaan kepada Allah. Fenomena
ini merupakan sesuatu yang amat malang dan perlu diperbetulkan segera agar
solat yang ditunaikan itu dapat membina keperibadian muslim yang unggul yang
sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt.
Justeru, bagi seseorang wanita yang berada di halaman rumah atau di
luar rumah ketika melakukan aktiviti menjemur pakaian, hendaklah mempastikan
agar ia menutup aurat dengan sempurna kerana ia berhadapan dengan orang yang
bukan mahram yang dapat melihatnya. Ia hanya boleh membuka aurat apabila masuk
ke dalam rumah dan tidak berhadapan dengan orang yang bukan mahram.
No comments:
Post a Comment