Akhir-akhir
ini banyak kejadian yang tak diingini berlaku. Islamophobia makin menjadi-jadi
dalam kalangan warga Sydney. Mereka benci dengan Islam. Mereka menganggap Islam
mengajar keganasan. Apa saja keganasan yang berlaku di seluruh dunia, mereka
tanpa segan silu menuding jari terhadap orang Islam. Baru-baru ini masjid Darul
Iman tempat Muhammad Ramadan berjemaah ini diconteng dindingnya dari luar
dengan tulisan-tulisan kesat yang menghina Islam. Bukan itu sahaja, tapi
botol-botol arak sengaja dilemparkan di dinding masjid sehingga kelihatan
kaca-kaca dari botol-botol yang pecah itu berselerakan dan bertaburan di luar
pintu utama masjid. Benci sungguh mereka dengan Islam. Tapi, mengapa mereka
bersikap demikian? Orang Islam tak buat apa-apa pun pada mereka, jauh sekali
untuk menghina dan bermusuh dengan mereka. Tapi, masalahnya mengapakah mereka
anggap Islam ini jahat, asing dan pelik sehingga mereka tergamak bermusuh
dengan orang Islam? Benarlah sabda junjungan yang bermaksud: “Bermula Islam
itu dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dianggap asing, maka beruntunglah
mereka yang dianggap asing itu”.
Apabila
diimbau sirah nabi, barulah disedari betapa apa yang dihadapi oleh nabi
daripada tentangan golongan kuffar lebih
dahsyat dan hebat. Nabi juga tidak berbuat apa-apa pada mereka, cuma mengajak
mereka menyembah Allah Yang Maha Esa. Tapi, nabi mendapat tentangan dan
penyiksaan yang datang silih berganti. Peristiwa Taif sebagai contohnya. Dakwah nabi bukan sahaja tidak diterima,
bahkan golongan Bani Thaqif di Taif telah mengarahkan pemuda-pemuda dan
budak-budak ‘cerodong’ untuk melontarkan batu sehingga menyebabkan darah
mengalir dari tubuh badan nabi. Tika itu, nabi hanya mampu bersabar dan
mengangkat tangan berdoa kepada Allah: “Hanya kepada Engkau ya Allah aku
mengadu betapa lemahnya aku….”. Cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh nabi
Muhammad menginsafkan para jemaah di Masjid Darul Iman, Arncliff, Sydney.
Betapa lontaran botol-botol kaca di dinding masjid tidak sehebat lontaran batu
yang mengenai jasad nabi Muhammad.
Media
Yahudi pula semakin galak menyebarkan fitnah terhadap orang Islam. Apatah lagi
selepas berlakunya peristiwa pengeboman World Trade Centre, New York. Warga
Sydney yang membenci Islam seolah tiada ‘otak’ untuk berfikir apabila menelan bulat-bulat apa-apa sahaja
yang disajikan oleh media Yahudi tersebut. Mereka membenci ‘the prophet
Muhammad’ sedangkan mereka sendiri tidak mengenalinya. Mereka tak ubah seperti
‘lembu dicucuk hidung’. Taqlid buta dan menerima apa sahaja berita yang
disebarkan. Kalau mereka mengenali keperibadian Nabi Muhammad SAW, sudah tentu
mereka tak akan bermusuh dengan orang Islam. Sepatutnya sebelum melakukan
apa-apa tindakan, mereka perlu tahu terlebih dahulu apa yang hendak dilakukan
itu betul atau salah. Sekurang-kurangnya dapatkan al-Quran dan baca! Apakah
kitab suci umat Islam itu mengajar keganasan atau kedamaian?
No comments:
Post a Comment