Sunday, April 21, 2013

Cerpen - Kota Sydney Bhg 2







Akhir-akhir ini banyak kejadian yang tak diingini berlaku. Islamophobia makin menjadi-jadi dalam kalangan warga Sydney. Mereka benci dengan Islam. Mereka menganggap Islam mengajar keganasan. Apa saja keganasan yang berlaku di seluruh dunia, mereka tanpa segan silu menuding jari terhadap orang Islam. Baru-baru ini masjid Darul Iman tempat Muhammad Ramadan berjemaah ini diconteng dindingnya dari luar dengan tulisan-tulisan kesat yang menghina Islam. Bukan itu sahaja, tapi botol-botol arak sengaja dilemparkan di dinding masjid sehingga kelihatan kaca-kaca dari botol-botol yang pecah itu berselerakan dan bertaburan di luar pintu utama masjid. Benci sungguh mereka dengan Islam. Tapi, mengapa mereka bersikap demikian? Orang Islam tak buat apa-apa pun pada mereka, jauh sekali untuk menghina dan bermusuh dengan mereka. Tapi, masalahnya mengapakah mereka anggap Islam ini jahat, asing dan pelik sehingga mereka tergamak bermusuh dengan orang Islam? Benarlah sabda junjungan yang bermaksud: “Bermula Islam itu dalam keadaan asing, dan ia akan kembali dianggap asing, maka beruntunglah mereka yang dianggap asing itu”.

Apabila diimbau sirah nabi, barulah disedari betapa apa yang dihadapi oleh nabi daripada tentangan golongan  kuffar lebih dahsyat dan hebat. Nabi juga tidak berbuat apa-apa pada mereka, cuma mengajak mereka menyembah Allah Yang Maha Esa. Tapi, nabi mendapat tentangan dan penyiksaan yang datang silih berganti. Peristiwa Taif sebagai contohnya.  Dakwah nabi bukan sahaja tidak diterima, bahkan golongan Bani Thaqif di Taif telah mengarahkan pemuda-pemuda dan budak-budak ‘cerodong’ untuk melontarkan batu sehingga menyebabkan darah mengalir dari tubuh badan nabi. Tika itu, nabi hanya mampu bersabar dan mengangkat tangan berdoa kepada Allah: “Hanya kepada Engkau ya Allah aku mengadu betapa lemahnya aku….”. Cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh nabi Muhammad menginsafkan para jemaah di Masjid Darul Iman, Arncliff, Sydney. Betapa lontaran botol-botol kaca di dinding masjid tidak sehebat lontaran batu yang mengenai jasad nabi Muhammad.     

Media Yahudi pula semakin galak menyebarkan fitnah terhadap orang Islam. Apatah lagi selepas berlakunya peristiwa pengeboman World Trade Centre, New York. Warga Sydney yang membenci Islam seolah tiada ‘otak’ untuk berfikir  apabila menelan bulat-bulat apa-apa sahaja yang disajikan oleh media Yahudi tersebut. Mereka membenci ‘the prophet Muhammad’ sedangkan mereka sendiri tidak mengenalinya. Mereka tak ubah seperti ‘lembu dicucuk hidung’. Taqlid buta dan menerima apa sahaja berita yang disebarkan. Kalau mereka mengenali keperibadian Nabi Muhammad SAW, sudah tentu mereka tak akan bermusuh dengan orang Islam. Sepatutnya sebelum melakukan apa-apa tindakan, mereka perlu tahu terlebih dahulu apa yang hendak dilakukan itu betul atau salah. Sekurang-kurangnya dapatkan al-Quran dan baca! Apakah kitab suci umat Islam itu mengajar keganasan atau kedamaian?

Lihatlah keperibadian dan akhlak nabi Muhammad yang mereka benci itu. Betapa sifat rahmat dan kasih sayang yang dimilikinya  sangat mengagumkan. Rasulullah SAW merupakan rasul dan nabi yang dutuskan oleh Allah untuk memberikan rahmat kepada sekalian makhluk, merangkumi golongan yang beriman, golongan kafir, golongan munafik, bahkan nabi membawa rahmat kepada semua manusia tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, juga memberi rahmat kepada burung-burung dan kepada haiwan. Jelasnya, rahmat yang dibawa oleh Rasulullah adalah untuk semua.

No comments:

Post a Comment