Sunday, April 21, 2013

Cerpen - Kota Sydney - Bhg 3







Ketika golongan Thaqif di Ta’if menolak mentah-mentah dakwah dan seruan nabi kepada Islam, baginda tetap bersabar dan rahmat baginda kepada mereka tetap terserlah. Puak Thaqif di Ta’if bukan sahaja menolak dakwah nabi, bahkan mereka juga bertindak secara kekerasan pada baginda. Mereka mengarahkan hamba abdi, khadam dan budak-budak nakal Bani Thaqif melontar baginda dengan anak-anak batu sehingga luka kedua-dua belah kaki baginda. Zaid Bin al-Harithah yang mengiringi Rasulullah ke sana cuba melindungi baginda daripada serangan dan lontaran budak-budak nakal itu sehingga luka beberapa tempat di kepalanya.

Dalam suasana yang getir itu, Rasulullah terus bersabar dan menadah tangan berdoa pada Allah: ‘Ya Allah, kepada Engkau aku mengadu keda’ifan tenagaku dan kurang bicaraku, kehinaanku di mata ramai. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Dikaulah Tuhan bagi golongan yang lemah, Dikaulah Tuhanku, kepada siapakah Dikau akan serah daku ini? Kepada mereka yang jauh yang bencikan daku atau kepada seteru yang Kau berikan kuasa ke atasku? Andai kata tidak ada sebarang kemurkaan Mu ke atasku, maka tidak akan ku pedulikan, tetapi kemaafan dan kurniaan Mu lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya zat Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang memberi manfaat dunia dan akhirat, aku berlindung daripada kemarahan dan kemurkaan Mu ke atasku. Dikau sahaja yang menegur sepuasnya. Dan tidak ada helah bicara dan daya upaya (kekuatan) kecuali dengan apa yang diberikan oleh Mu, Ya Allah’.

Setelah itu, malaikat Jibril datang kepada Rasulullah SAW dan menyatakan bahawa Allah SWT telah mendengar setiap perkataan puak yang menolak seruanmu serta tindakan mereka terhadapmu.  Allah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk kau, dan suruhlah dia buat apa sahaja yang engkau mahu. Lalu malaikat penjaga gunung itu pun datang dan memberi salam kepada Rasulullah dan berkata, ‘aku ini malaikat segala gunung diutus oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa sahaja terhadapku apa yang engkau kehendaki. Sekiranya engkau mahu, aku akan menghempap bukit al-Akhsyabin ke atas mereka!. Jawab Rasulullah SAW: ‘Bahkan apa yang aku mahu ialah moga Allah mengeluarkan daripada sulbi mereka (anak cucu mereka) golongan yang mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Esa, dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu’. Begitulah hebatnya sifat rahmat yang ada dalam diri Rasulullah sehingga baginda tetap mengharapkan kebaikan akan wujud daripada golongan yang jelas menentang baginda.

Rasulullah SAW juga mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada kanak-kanak. Telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW mencium al-Hasan dan al-Husin dengan penuh kasih sayang. Ketika itu al-Aqra’ Bin Habis al-Tamimi memerhatikan perbuatan baginda, lalu beliau berkata: ‘aku mempunyai sepuluh orang anak, dan aku tidak pernah mencium walau seorang pun daripada mereka’. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: ‘Sesiapa yang tidak mempunyai sifat rahmat, dia tidak akan dirahmati’.

Rasulullah SAW juga mempunyai sifat rahmat dan belas kasihan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang sakit. Rasulullah sentiasa memberikan makanan kepada golongan-golongan ini. Selain itu, Rasulullah juga tidak melepaskan peluang untuk menziarahi orang miskin, terutamanya orang sakit dan orang yang meninggal dunia dalam kalangan mereka. Begitu juga, Rasulullah amat prihatin terhadap kebajikan anak-anak yatim dan baginda memerintahkan umat Islam agar berbuat baik kepada anak-anak yatim.

Rasulullah SAW juga sangat mengambil berat terhadap para sahabat baginda. Baginda akan turut berasa sedih apabila seseorang sahabat mendapat kesusahan atau berada dalam kesedihan. Ketika nabi menziarahi jenazah Uthman Bin Maz’un, baginda mencium di antara dua mata jenazah sambil air mata baginda mengalir, sehingga Aisyah menyatakan bahawa aku nampak air mata nabi mengalir di atas pipi Uthman. Begitulah sifat rahmat dan belas kasihan yang ada pada diri Rasulullah SAW.

Sifat rahmat Rasulullah bukan sahaja pada manusia, bahkan pada haiwan dan binatang. Rasulullah berwasiat agar bersikap rahmat terhadap haiwan, dan melarang daripada menyakiti haiwan dengan apa cara sekali pun. Rasulullah juga melarang daripada sengaja duduk di atas tunggangan binatang dalam jangka waktu yang panjang sekiranya tanpa sebarang keperluan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: ‘Tunggangilah ia (binatang) dengan baik, dan tinggalkannya dengan baik, dan janganlah kamu menjadikannya sebagai kerusi (tempat duduk) sedangkan kamu berbicara panjang di jalan dan di pasar, mungkin yang ditunggang itu lebih baik dan lebih banyak mengingati Allah daripada yang menunggang’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Ya’la dan al-Tabrani).

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘seorang wanita masuk neraka hanya kerana seekor kucing, beliau mengikat dan mengurungnya dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan untuk dimakan’. Rasulullah juga melarang membunuh binatang dengan tidak ada tujuan seperti membunuh burung dengan suka-suka bukan bertujuan untuk makan. Sabda nabi bermaksud: ‘Sesiapa yang membunuh burung (dengan suka-suka), pada hari Kiamat kelak, burung tersebut akan mengadu pada Allah dengan katanya: Ya tuhan, sesungguhnya si fulan ini membunuhku dengan tanpa tujuan dan tanpa sebarang manfaat’ (Hadis riwayat Imam al-Nasa’ei).

Bersambung............

1 comment: