Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 44 bermaksud:
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu
lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah
kamu berakal?
Allah SWT amat membenci orang yang hanya menyuruh orang lain
melakukan kebaikan, tetapi dirinya sendiri tidak melakukannya. Sifat seperti
ini adalah sifat golongan ahli kitab. Mereka mengetahui kebaikan dan kebenaran
Islam, tetapi mereka tidak mahu menerima Islam. Mereka hanya menyuruh orang
lain beriman.
Justeru, mana-mana pemimpin yang memegang kepimpinan mestilah
terlebih dahulu melakukan kebaikan dan kebajikan kerana mereka juga bertanggung
jawab untuk memastikan orang lain atau mereka yang berada di bawah pimpinannya
melakukan sesuatu kebaikan.
Orang yang bergelar ‘ketua’ adalah orang yang paling berpengaruh
dalam masyarakat. Semakin tinggi jawatan atau kedudukan di dalam masyarakat
semakin besarlah pengaruhnya. Di tangannya acuan yang membentuk dan membina
keperibadian sesuatu kelompok masyarakat. Sekiranya dia seorang pengerusi
persatuan, atau Yang Dipertua pertubuhan, masa depan persatuan atau pertubuhan
tersebut banyak bergantung kepada corak kepimpinannya. Aspek yang paling
penting disamping ilmu dan pengalaman ialah akhlak. Al-Quran meletakkan garis
panduan yang amat unik perihal akhlak
kepimpinan ini.
Kepimpinan Melaui Tauladan
Teladan yang baik menjadi sifat utama seorang pemimpin di semua
peringkat kepimpinannya dari peringkat yang paling rendah hingga peringkat
tertinggi. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah al-Furqan ayat 74
bermaksud: “Dan jadikanlah kami imam bagi
orang yang bertakwa.”
Ayat ini adalah
di antara ayat yang menjadi asas perbahasan akhlak kepimpinan Islam. Pemimpin
atau imam yang bertaqwa sahaja yang layak memimpin orang bertaqwa. Ketika
mentafsirkan ayat ini Mujahid
menjelaskan bahawa maksud kepimpinan bertaqwa ialah pemimpin
yang membimbing kepada ketaqwaan, yang dapat mencontohi kepimpinan sebelumnya
dan umat selepasnya pula dapat mencontohi kepimpinannya”. Berdasarkan pandangan
Mujahid ini kita dapat melihat kepentingan
seorang pemimpin mengikut jejak langkah pemimpin-pemimpin sebelumnya
dengan memimpin umat ember kebaikan dan ketaatan kepada Allah SWT. Dalam ayat
lain iaitu surah al-An’am ayat 60 Allah berfirman yang bermaksud: “
Mereka Itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, Maka ikutilah
petunjuk mereka.”
Ciri kepimpinan
seperti inilah yang perlu ditonjolkan sepanjang zaman untuk memimpin sesebuah
organisasi kecil atau besar lebih-lebih lagi sebuah kerajaan. Ketika Nabi Ibrahim a.s. dilantik menjadi
rasul dan baginda diisytiharkan sebagai pemimpin besar umat manusia oleh Allah
S.W.T, baginda berdoa memohon kepada Allah SWT agar
memberikan juga kepimpinan tersebut kepada zuriat baginda a.s seperti yang
dirakamkan di dalam firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 124 yang
bermaksud: “Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku.
Allah menjawab
permohonan Nabi Ibrahim a.s. dengan menyatakan bahawa urusan kepimpinan tidak
akan diserahkan kepada orang-orang yang zalim sekalipun mereka dari zuriat Nabi
Ibrahim a.s. dengan firmanNya: “Allah berfirman: “Janji-Ku (ini) tidak
mengenai orang yang zalim”.
Perkara yang
paling penting dalam kepimpinan ialah mengajak orang lain melalui tindakan sebelum
mengajak orang lain melalui arahan. Seorang ketua yang beramal dengan berjimat
cermat menggunakan harta majikan, lebih senang diterima arahannya untuk
berjimat cermat dari seorang yang boros dan menggunakan harta majikan
sewenang-wenang. Begitu juga seorang pemimpin yang bersih dari rasuah akan
dapat membanteras rasuah sekiranya dia sendiri bersih dari rasuah. Sebaliknya rasuah akan terus menjadi
budaya dan tabiat umat sekiranya ia menjadi tabiat dan budaya pemimpin.
Seorang ulama
yang bernama Abdul Wahid Bin Ziyad memuji Hasan al-Basri dengan berkata:
“ Hasan
al-Basri tidak mencapai darjat ketinggian sepertimana yang dicapainya melainkan
melalui amalan mendahului orang lain melakukan sesuatu kebaikan apabila
menyuruh mereka beramal dengannya, dan mendahului orang lain menjauhi kejahatan
apabila melarang mereka melakukannya”
Imam
Nawawi pernah ember teguran kepada
pemerintah pada zamannya supaya meninggalkan kemewahan dan menggunakan harta
istana terlebih dahulu bagi menyelesaikan kemelesetan ekonomi ember serta bagi
menghadapi serangan daripada tentera musuh sebelum meminta rakyat menyerahkan
harta benda mereka kepada Negara. Akhirnya beliau dihalau dari Damsyik dan
beliau pulang ke Nawa tempat tumpah darahnya sendiri hanya kerana teguran tersebut.
Ketegasan Imam Nawawi dalam perkara ini menunjukkan bahawa uswah yang baik bagi pemimpin Negara amat penting supaya
tidak menimbulkan masalah di kalangan rakyat.
Uswah Hasanah
Pemimpin yang
bersifat uswah hasanah berusaha meninggalkan banyak perkara yang
‘harus’, kerana menjaga diri dari terjebak kepada perkara shubhah dan menjauhi
punca-punca prasangka buruk orang ramai.
Sekiranya sifat zuhud seperti ini menjadi amalan pemimpin sesuatu umat,
berbahagialah umat tersebut. Mereka tidak menaruh prasangka buruk, malah ember
kepercayaan sepenuhnya kepada pemimpin seperti ini. Dia makan apa yang orang
lain makan. Dia pakai apa yang orang lain pakai. Dia berkenderaan apa yang
orang lain berkenderaan. Sebaliknya sekiranya pemimpin mengamalkan gaya hidup
ranggi, orang ramai tidak akan percaya kepada mereka, dan tidak lagi
menghiraukan cakap mereka.
Saidina Ali r.a
amat prihatin dengan perkara ini, baginda memakai pakaian yang biasa dan sederhana, tidak seperti pemimpin Rom dan Parsi yang
memakai pakaian serba mewah dan ranggi. Ketika Saidina Ali r.a. dikritik kerana
berpakaian demikian, baginda menjawab:
“Kenapa tuan-tuan terlalu bimbang dengan pakaian ini. Ia adalah
pakaian yang jauh daripada kesombongan,
dan lebih mudah dicontohi oleh seorang muslim”.
Banyak lagi
sifat-sifat terpuji yang perlu diamalkan oleh seorang pemimpin umat Islam untuk
melayakkan diri menjadi pemimpin yang dipatuhi dan disegani.
Umat Islam
memerlukan kepada contoh atau model yang boleh dicontohi. Seorang pemimpin yang
dapat menunjukkan contoh melalui amalannya lebih mempunyai aura yang dapat
menarik perhatian dan mencetuskan rasa ember di hati orang bawahan. Keyakinan
diri yang ditunjukkan melalui teori dan amali ini dapat menarik hati-hati orang
ramai mencontohi dengan penuh kerelaan dan harmoni.
Ringkasnya,
kesan dan faedah kepimpinan melalui tauladan akan dapat menghasilkan
perkara-perkara berikut:
1.
Menjadi contoh
yang boleh diteladani kepada orang lain.
2.
Mendapat kasih ember
orang ramai dan rakyat atau orang bawahan.
3.
Memimpin umat
dengan penuh keyakinan dan mempunyai wawasan yang jelas dan berkesan.
4.
Menjadi wasilah
tarbiyah yang berkesan.
5.
Pengurusan dan
pentadbiran menjadi lebih efisyen.
6.
Mendapat
ganjaran pahala berterusan selagi amalannya dicontohi dan diikuti sepanjang
zaman.
Memberi
keadilan
Menjadi suatu
kewajipan kepada setiap pemimpin untuk melakukan keadilan serta menjauhi
sebarang bentuk kezaliman. Firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 8,
bermaksud:
Hai orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana
Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu
terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku
adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada
Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
Imam al-Baghawi
ketika mentafsirkan ayat yang bermaksud : berlaku adillah, kerana adil itu
lebih dekat kepada takwa, telah berkata: hendaklah kamu berlaku adil
terhadap kawan dan lawan kamu, kerana yang demikian itu lebih dekat kepada
ketaqwaan. Keadilan Islam tidak mengenal keturunan,warna kulit, dan agama. Di
dalam ayat di atas diperintah supaya berlaku adil walaupun terhadap musuh yang
dibenci. Sekiranya keadilan wajib diberikan walaupun terhadap musuh, maka
apatah lagi terhadap orang yang beriman. Keadilan yang ditegakkan adalah suatu
ketaatan kepada Allah SWT, bermakna pemimpin yang adil adalah pemimpin yang
taat kepada Allah, dan itulah yang dimaksudkan dekat kepada ketaqwaan.
Sebaliknya menurut al-Tabariy, kezaliman
yang dilakukan adalah suatu kederhakaan kepada Allah, bermakna pemimpin yang
zalim adalah pemimpin yang jauh daripada ketaqwaan.
Apabila meneliti ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan
tentang kezaliman dan penzalim kita akan dapati bahawa penghujungnya adalah
kegagalan dan kerugian. Orang yang zalim akan jauh dari janji kebahagian dan
kesejahteraan . Mereka tidak mendapat kasih ember Allah SWT. Antara ayat-ayat
tersebut ialah firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 21 bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak mendapat keberuntungan.”. Dalam
surah Ali ‘Imran ayat 57, Allah menyatakan, maksudnya: “Dan Allah tidak
menyukai orang-orang yang zalim”.
Ringkasnya,
kesan dan faedah melakukan keadilan akan dapat menghasilkan perkara-perkara
berikut:
1.
Orang yang
berlaku adil akan selamat di Dunia dan Akhirat.
2.
Kepimpinan akan
berterusan.
3.
Mendapat
keredhaan Allah sebelum mendapat keredhaan rakyat.
4.
Orang lain
selamat dari kejahatan dan kezaliman.
5.
Pemimpin yang
adil berkelayakan memimpin, ember hukuman, membawa kemajuan dan kecemerlangan.
6.
Menegakkan
kebenaran dan tidak takut menghapuskan kebatilan.
7.
Membuka pintu
kepada segala kebaikan dan ketaatan.
8.
Meratakan keadilan
Islam kepada semua lapisan masyarakat sama ada Islam atau bukan Islam, kaum
kerabat atau bukan kerabat, malah memelihara hak-hak kemanusiaan sejagat.
9.
Menjalani jalan
ke syurga.
Memilih
Pemimpin
Kepimpinan dan perlantikan
pemimpin merupakan suatu amanah yang tidak boleh dipandang remeh dan tidak
boleh dipandang sepi. Ini kerana kepimpinan merupakan suatu amanah dan
tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh mereka yang diberikan amanah
tersebut. Pemimpin merupakan orang yang akan melaksanakan tanggungjawab sebagai
’khalifah’ di kawasan yang ditadbirnya. Tanggungjawab khalifah sebagaimana yang
disebut oleh al-Imam al-Mawardi dalam kitabnya yang tersohor iaitu ’al-Ahkam
al-Sultaniyyah’ ialah kewajipan melaksanakan dan menegakkan agama serta
mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia ini dengan cara yang tidak bercanggah
dengan agama.
Amanah bukanlah sesuatu
’keseronokan’ yang hendak direbut dengan rakus dan tamak, tetapi ia merupakan
tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak.
Justeru, setiap mereka yang berpotensi untuk dilantik menjadi pemimpin
hendaklah sentiasa bermuhasabah diri agar tidak hanyut dibuai gelombang rakus
dalam merebut jawatan tetapi menginsafi dengan amanah yang wajib dipikul
apabila mendapat mandat daripada rakyat. Sehubungan dengan itu, Saidina Umar
pernah berkata: ’Fahamlah terlebih dahulu (tanggungjawab dan amanah tersebut),
sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin’.
Nabi saw pernah bersabda
dalm sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud:
”Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran”. Lalu para
sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan bahawa amanah itu
disia-siakan? Lalu nabi saw menjawab: ”(Amanah itu disia-siakan) apabila kamu
menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak memikulnya, maka
tunggulah akan kehancuran!”. Dalam hadis nabi saw yang lain yang diriwayatkan
oleh Imam Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: ”Setiap
kamu adalah pemimpin, dan kamu bertanggungjawab kepada setiap perkara yang
berada di bawah kepimpinan kamu, seorang imam (pemerintah) merupakan pemimpin,
maka dia bertanggungjawab kepada sesiapa pun yang berada di bawah
kepimpinannya...”.
Sekiranya kepimpinan itu
merupakan suatu amanah, maka begitu juga soal melantik pemimpin juga merupakan
suatu tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan menurut landasan syarak.
Ini kerana, sekiranya berlaku kesilapan dalam melantik pemimpin, maka bermakna
kita telah menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang tidak layak
menerimanya dan perbuatan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam sebagaimana
yang telah diterangkan dalam hadis nabi saw sebelum ini. Oleh yang demikian,
kita tidak boleh melantik ’wakil’ di kawasan kita hanyalah berasaskan sentimen,
hubungan kerabat, kepentingan diri dan sebagainya, akan tetapi perlantikan
pemimpin hendaklah berdasarkan kelayakan seseorang itu untuk memikul amanah dan
tanggungjawab sebagaimana yang digariskan di dalam ajaran Islam. Sekiranya kita
memilih serta melantik seseorang yang sememangnya diketahui bahawa dia tidak
layak untuk memegang amanah tersebut, maka kita turut sama terlibat dalam
mensia-siakan amanah yang akan dipertanggungjawabkan kesalahan tersebut di akhirat
kelak.
Sehubungan dengan itu,
bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menilai sama ada seseorang itu memang
layak atau sebaliknya? Sesuatu yang lumrah, bahawa kita menilai seseorang dari
sudut zahirnya sahaja bukan batinnya kerana kita tidak mempunyai kemampuan
untuk menilai seseorang mengenai batinnya atau apa yang terbuku di hatinya.
Akan tetapi apa yang kita mampu membuat penilaian hanyalah melihat kepada
zahirnya sahaja, kerana kebiasaannya, hati yang baik akan melahirkan sifat dan
kelakuan yang baik juga. Apatah lagi, kaedah dalam hukum syara’ menyatakan
bahawa ’kita hanya berhukum secara zahir, tetapi Allah lah yang mengetahui apa
yang ada pada batin seseorang’.
Antara ciri yang penting dalam pemilihan ialah berdasarkan keperibadian dan
syakhsiah iaitu orang yang benar-benar
layak untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Ini kerana
sekiranya diberikan urusan kepimpinan kepada mereka yang rosak akhlaknya, maka
amanah yang diberikan itu akan mudah dikhianati dengan amalan-amalan yang haram
seperti rasuah, penipuan, penyelewengan harta awam dan sebagainya. Firman Allah
dalam surah al-Hajj ayat 41 bermaksud: ”Mereka (umat Islam) yang jika Kami
(Allah) berikan mereka kekuasaan memerintah dibumi, nescaya mereka mendirikan
solat serta mengeluarkan zakat, dan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang
daripada melakukan kejahatan dan perbuatan yang munkar dan (ingatlah) bagi
Allah jualah kesudahan segala urusan".
Oleh yang demikian,
menjadi suatu kewajipan kepada pengundi
untuk melantik mereka yang menepati kriteria sebagai pemimpin yang boleh
memikul amanah kepimpinan dengan baik sebagaimana yang telah digariskan oleh
Allah di dalam al-Quran. Janganlah memperjudikan masa depan umat Islam dengan
memilih mereka yang mempunyai keperibadian yang songsang serta yang mempunyai
akhlak yang buruk. Justeru, pemimpin yang wajar diberikan amanah dan
tanggungjawab ialah mereka yang menitik beratkan aspek solat, zakat, amar
makruf nahi munkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan
sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di
akhirat. Justeru, kriteria penting dalam memilih pemimpin adalah melantik
pemimpin yang bijak dalam melaksanakan amanah Allah SWT di atas muka bumi ini.
Syeikh Mustafa Muhammad
at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah
menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya
ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah diturunkan oleh
Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira
warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan
rakyat. Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan ialah membangunkan negara
dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan
dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi
undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam
kalangan rakyat jelata.
Kesimpulannya ialah
kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu
perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah Allah s.w.t yang
perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu
menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah s.w.t di Padang Mahsyar kelak.
Oleh yang demikian, pengundi yang bijak serta cerdik sudah tentu akan memilih
pemimpin yang berkelayakan memikul amanah dan tanggungjawab demi mencapai
keredhaan Allah. Janganlah membiarkan diri dibelenggu dengan dosa dan kemurkaan
Allah dengan sengaja memilih pemimpin yang tidak layak untuk memikul amanah dan
tanggungjawab yang besar ini.
TKasih Ustaz. Pada hemAt saya Ustaz, dlm context kita, ia bukan sekadar memilih saorang pemimpin. Jika itu, senang untuk pilih! Ini melibatkan strategi untuk umat Islam terus di persada kuasa untuk memerintah. Jadi, kita kena buat analisa team mana yg lebih memunkinkan Islam itu ditampok kuasa negara tercinta, walau pun akhlak Islam nampak kurang sadikit, tapi kepimpinan nya jauh lebih baik! Satu team yg ada semangat teamwork yg kukuh berbanding dgn team yg tiada semangat teamwork, hanya bergabung untuk KUASA! kesimpulan nya, pada hemat saya, ini pemilihan PASUKAN yg mana lebih baik untuk Keseluruhan nya bisa memartabatkan agama, bangsa dan negara..???
ReplyDelete