Monday, April 1, 2013

Umur Baligh






Soalan

Anak lelaki saya berumur 16 tahun, tetapi dia masih belum ‘bermimpi’ baligh. Jadi bagaimanakah cara untuk mengetahui sama ada dia sudah baligh atau belum?

Jawapan:

Maksud baligh ialah apabila seseorang lelaki atau perempuan telah sampai pada tahap umur tertentu, maka dia menjadi seorang yang layak menerima taklif (tanggungjawab) yang ditentukan oleh syarak seperti solat, puasa, haji dan lain-lain. Orang Islam yang akil baligh disebut juga sebagai ‘mukalaf’.

Menurut Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan rakan-rakan dalam buku al-Fiqh al-Manhaji, tahap baligh seseorang itu dapat diketahui dengan beberapa perkara:
  • Mimpi keluarnya mani, sama ada lelaki atau perempuan.
  • Melihat darah haid. Ini khusus untuk perempuan sahaja. Waktu yang menjadikannya baligh disebabkan mimpi atau keluar haid ialah apabila dia mencapai umur sembilan tahun Qamariah (menurut bulan Islam). Kelewatan atau tidak daripada umur tersebut adalah bergantung keadaan sesebuah negeri dan suasana kehidupan.
  • Berumur 15 tahun berdasarkan tahun Qamariah (hijrah). Keadaan ini diambil kira apabila tidak berlaku mimpi atau tidak keluar haid.
Sewajarnya setiap individu muslim sudah mengetahui dengan yakin apabila sudah sampai umur baligh, maka sudah sampailah ‘seruan’ kepada mereka untuk melaksanakan perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Pada tahap itu mereka sudah mampu dari segi segala aspek fizikal dan mental  untuk memikul serta melaksanakan perintah Allah SWT, dan sudah lengkap bersedia dengan ilmu fardu ain dan bukan masanya lagi untuk berlengah dan bertangguh!  Ini kerana mereka telah bertanggungjawab atas segala perbuatan  sebagai ‘hamba’ Allah SWT. Baik atau buruk akhlak dan prestasi  sebagai ‘hamba’ Allah SWT sudah ada ganjaran dan hukumannya.

1 comment: