Tuesday, May 14, 2013

Amalan Bulan Rejab

 

 
Ramai orang bertanya tentang kesahihan puasa sunat bulan Rejab. Sebenarnya, bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Oleh itu, secara umumnya, sunat berpuasa pada bulan Rejab ini apatah lagi sebagai persediaan untuk menyambut bulan Ramadhan tidak lama lagi.

Namun, anggapan sesetengah orang tentang fadhilat puasa bulan Rejab yang diwar-warkan sejak sekian lama.... kononnya ganjaran puasa bulan Rejab ini akan mendapat pahala yang amat banyak, adalah tidak sahih, bahkan banyak fadhilat-fadhilat tersebut disandarkan kepada hadis palsu. Ada orang menyatakan bahawa untuk mendapat fadhilat dengan 'sebenar' ialah hendaklah berpuasa 3 bulan berturut-turut iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadhan. Anggapan seumpama ini juga adalah tidak benar.

Nabi sendiri tidak pernah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa: "Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Manakala hadis yang sering-kali diwar-warkan apabila datangnya bulan Rejab iaitu... “Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”, adalah hadis munkar dan kebanyakan ulama' menyatakan bahawa ia adalah hadis palsu. Justeru, ia tidak sepatutnya disebarkan kerana ia tidak datang daripada nabi sebaliknya ia adalah hadis palsu yang direka.

Kesimpulannya, banyakkanlah ibadat pada bulan Rejab sama ada berpuasa, bersedekah, berzikir dan sebagainya.... namun ganjaran dan pahalanya terserah pada Allah... sekiranya ibadah-ibadah tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang banyak daripada Allah.

3 comments:

  1. I found lots of interesting information here. The post was professionally written and I feel like the author has extensive knowledge in this subject.

    ReplyDelete
  2. assalammualaikum....

    soalan saya...adakah bulan rejab kita diharamkan/tak dibenarkan berpindah rumah

    ReplyDelete