Followers

Wednesday, July 31, 2013

Hukum Pemberian Zakat kepada orang malas bekerja




Soalan: Bolehkah memberi zakat kepada orang miskin yang malas bekerja?

Jawapan:

Jumhur fuqaha' menyatakan haram memberikan zakat kepada seseorang yang sihat tubuh badan dan yang mampu bekerja. Zakat hanya boleh diberikan kepada mereka sekiranya menepati beberapa syarat iaitu:
1. Mereka sudah berusaha untuk mendapatkan kerja tetapi masih tidak memperolehnya.
2. Mereka mempunyai pekerjaan tetapi gaji yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas
3. Mereka mampu bekerja dan memperolehnya tetapi tidak memiliki alat-alat yang diperlukan untuk bekerja seperti gerai untuk berniaga, peralatan untuk menjadi tukang kayu dan sebagainya.


Soalan: Bolehkah membei zakat kepada orang yang menentang Islam dan tidak solat?

Jawapan:

Tidak boleh memberikan zakat kepada mereka yang secara jelas menunjukkan permusuhan terhadap Islam atau yang melakukan maksiat dengan jelas sehinggakan bantuan zakat itu akan digunakan untuk perbuatan maksiat mereka. Zakat hanya boleh diberikan kepada mereka sekiranya pemberian zakat itu dijangka dapat menjinakkan hati mereka untuk meninggalkan maksiat dan kembali ke jalan  hidayah.


Soalan: Bolehkah memberi zakat kepada anak yatim?

Jawapan:

Anak yatim tidak termasuk dalam asnaf yang layak menerima zakat, maka tidak harus memberikan zakat mepada mereka kecuali sekiranya mereka termasuk dalam asnaf lain seperti fakir miskin dan sebagainya.

Hukum bayar zakat kepada waris




Soalan: Boleh tak memberi zakat kepada cucu atau nenek?

Jawapan:

Kebanyakan fuqaha' menyatakan bahawa tidak diharuskan membayar zakat kepada usul (ibu, ayah, datuk, nenek dan ke atas) dan tidak harus juga kepada furu' (anak, cucu, cicit dan ke bawah). Sebabnya ialah mereka itu memang wajib menerima nafkah , sekiranya dibayar zakat kepada mereka maka manfaat zakat itu akan kembali kepada pembayar zakat itu sendiri.


Soalan: Apakah dibolehkan membayar zakat fitrah kepada abang yang miskin?

Jawapan:

Kebanyakan ahli ilmu mengharuskan bayaran zakat kepada warisnya seperti adik, abang, kakak, sepupu, bapa saudara dan sebagainya yang miskin kecuali yang tidak dibenarkan ialah memberikan zakat kepada usul (ibu bapa) dan furu' (anak). Bahkan memberikan zakat kepada waris itu lebih afdhal dan mendapat pahala yang lebih besarsebagaimana hadis nabi SAW yang bermaksud: "pemberian  kepada orang miskin itu mendapat pahala sedekah, manakala pemberian kepada waris itu menghasilkan dua perkara iaitu pahala sedekah dan persaudaraan".

Soalan: Apakah terdapat kelonggaran hukum dari sudut memberi zakat kepada ayah sendiri?

Jawapan:

Tidak diharuskan untuk membayar zakat kepada bapa atau anak sekiranya mereka itu termasuk dalam asnaf fakir miskin. Akan tetapi sekiranya mereka tidak termasuk dalam asnaf ini, maka diharuskan untuk membayar zakat kepada mereka dalam asnaf yang lain iaitu selain fakir miskin seperti seorang bapa yang berjihad di jalan Allah atau seorang muallaf.

Tuesday, July 30, 2013

Bonus Lailatul Qadr

 
 
Firman Allah dalam Surah al-Qadr maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadr (lailatul qadar), dan tahukah kamu apakah lailatul qadar itu?. Lailatul qadar lebih baik dari seribu bulan.


Lailatul qadar merupakan peluang terbaik kita, oleh itu jangan sia-siakan peluang keemasan iniAkan tetapi, suatu persoalan yang amat penting, iaitu mengapakah masih ramai di antara hamba-hamba Allah yang masih memandang ringan kepada lailatul qadar? Mungkin antara sebabnya ialah:

1. Mereka mengidap penyakit lemah iman, mereka kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-qadar, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak berhajat melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadar.

3. Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

Kita mesti mengubati penyakit ini agar ia tidak menjadi semakin parah. Antara yang boleh dilakukan ialah:

1. Wajib kita menanam penuh keyakinan bahawa ganjaran pahala amal ibadat pada malam al-qadar memang amat besar yang mesti kita berlumba-lumba mendapatkannya.

2.Hendaklah kita menanam keazaman untuk jihad melawan kehendak nafsu agar kita dapat patuh kepada seruan al-Quran, panggilan surah al-Qadr, serta kita dapat meneladani ibadat yang pernah dikerjakan oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan.

3. Kita mesti membuang penyakit panjang angan-angan, dengan kita sentiasa ingat bahawa kita mungkin akan berjumpa dengan Malaikat Maut pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kita amat perlu kepada persediaan amal ibadat sebanyak yang mungkin, lebih-lebih lagi amal ibadat pada malam al-qadar untuk bekalan kita selepas mati.

Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah s.w.t. yang berupa nikmat Lailatul qadar dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati. Kita menyahut panggilan surah al-Qadr ini dengan azam untuk kita melaksanakan sebanyak-banyak ibadat pada sepuluh malam tersebut dengan melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat terawih dan witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh.

Thursday, July 11, 2013

Lailatul Qadr



Firman Allah dalam (Surah al-Qadr 97: 2-3), maksudnya: Dan bukankah engkau (Muhammad) sudah mengetahui apakah kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara.

Dalam merungkaikan maksud ‘lebih baik daripada seribu bulan’, al-Tabariy telah menukilkan beberapa tafsir ulama terhadapnya. Beliau memilih tafsiran yang mengatakan bahawa amalan pada malam Lailatul Qadr adalah lebih baik berbanding amalan selama seribu bulan yang tidak terdapat padanya Lailatul Qadr. Beliau menukilkan daripada Mujahid katanya, “Dahulu di kalangan Bani Isra’il terdapat seorang lelaki melakukan ibadat malam hari sehingga menjelang pagi, kemudian dia berperang melawan musuh Allah sehingga menjelang malam. Lelaki tersebut melakukan perkara tersebut selama seribu bulan. Kemudian Allah pun menurunkan ayat al-Quran (ليلة القدر خير من ألف شهر).

Ibnu Kathir dan al-Suyutiy menukilkan daripada Abu Hatim yang menukilkan daripada `Urwah katanya, diceritakan kepada Rasulullah berkenaan empat lelaki dari kaum Bani Isra’il. Mereka beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa melanggar perintah-Nya walau sekelip mata. Mereka ialah Ayyub, Zakariyya, Hazqil ibn al-`Ajuz dan Yusha` ibn Nun. `Urwah berkata, lalu para sahabat Rasulullah pun merasa kagum dengan ketekunan mereka. Lalu Jibril pun datang dan berkata, wahai Muhammad, umatmu kagum dengan lelaki-lelaki tersebut yang beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa pernah melanggar perintah Allah walau sekelip mata. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kepada kamu perkara yang lebih baik daripada itu. Jibril pun membacaإِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ . Perkara ini lebih utama dikagumi olehmu dan umatmu. `Urwah berkata, perkara tersebut telah mengembirakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang bersamanya.

Itulah kemuliaan Lailatul Qadr. Sesiapa yang berjaya menghidupkannya dia diberi ganjaran seumpama ahli ibadat dan mujahid yang beribadat dan berjihad hampir lapan puluh tiga tahun empat bulan. Satu ganjaran yang hampir mustahil diperoleh oleh kita pada zaman ini. Kemuliaan yang sebegitu sesuailah dirakamkan satu surah daripada 114 surah yang terdapat di dalam al-Quran.

Selain itu, kelebihan Ramadan dan juga Lailatul Qadr juga dapat dilihat pada keampunan yang ditawarkan oleh Allah SWT khusus kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menghidupkan kedua-duanya. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah r.a. daripada Nabi SAW sabda baginda, "Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan  penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu, barangsiapa yang yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari)

Fellowship UPM




SEKOLAH PENGAJIAN SISWAZAH
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
PERMOHONAN FELLOWSHIP PENYELIDIK SISWAZAH (GRF)
SEMESTER PERTAMA 2013/2012

Dimaklumkan bahawa permohonan Fellowship Penyelidik Siswazah (GRF) bagi Semester Pertama 2013/2012 dibuka.

KELAYAKAN MEMOHON
1. Permohonan adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program Master atau PhD (mod penyelidikan) di UPM.

2. Permohonan juga adalah dibuka kepada semua pelajar UPM yang sedang mengikuti program Master atau PhD (mod penyelidikan). Walau bagaimanapun, mereka mestilah memenuhi syarat berikut:

i. Status pengajian adalah “Baik”. Pelajar yang berstatus “Menangguh” atau “Probation” tidak layak untuk memohon.
ii. Semester pengajian semasa tidak melebihi 3 semester bagi pelajar Master dan 5 semester bagi pelajar PhD(semasa permohonan dikemukakan).
iii. Tidak mengikuti program siswazah UPM secara split programme
iv. Memperolehi CGPA peringkat Bacelor 3.000 ke atas bagi Kluster Sains/Teknikal dan 3.500 bagi Kluster Sastera/Sains Sosial
vi. Telah mendapat tawaran Mymaster/telah mengemukakan permohonan MyMaster/MyPhD

3. Permohonan juga terbuka kepada Pegawai Kerajaan/Swasta yang mendapat kebenaran cuti belajar tanpa Gaji.

4. Setiap permohonan hendaklah disertakan bersama:
i. Salinan Kad Pengenalan/Pasport
ii. Salinan surat tawaran
iii. Kertas Penerbitan (Jika ada)
iv. Salinan surat tawaran MyBrain 15 (MyMaster) / Salinan Permohonan My Master/MyPhD
v. Salinan keputusan akhir/transkrip peringkat Bacelor/Master
4. Permohonan yang tidak lengkap dan lewat tidak akan diproses dan sebarang rayuan tidak akan dilayan.

TEMPOH PEMBIAYAAN
a. Program PhD : Maksimum 6 semester
b. Program Master : Maksimum 4 semester

BENTUK PEMBIAYAAN
i) Pengecualian yuran pelajaran sahaja (ditanggung oleh UPM) jika bukan penerima MyMaster
ii) Calon yang berjaya juga akan menerima elaun bulanan iaitu sebanyak RM1,500.00 untuk pelajar Master dan RM1,700.00 untuk pelajar PhD.

CARA MEMOHON DAN TARIKH TUTUP
Borang permohonan boleh dimuat turun dari laman web Sekolah Pengajian Siswazah di http://reg.upm.edu.my/eISO/docs/20121101103724PU-S-BR05-GS-44_14.8.2012.pdf
Semua permohonan hendaklah dihantar ke alamat berikut tidak lewat daripada 26 Julai 2013:

Sekolah Pengajian Siswazah 2
Zon 4 Off Jalan Stadium
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
(u/p:Puan Maizatul Afzan Tajul Ariffin)
Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui telefon ke 03-89464211/4224.

Sunday, July 7, 2013

Puasa Adat ?






Pensyariatan puasa adalah untuk melahirkan muslim yang bertakwa. Sehubungan dengan itu, untuk mendapat ketakwaan, umat Islam hendaklah berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, bukan sekadar berpuasa daripada makanan dan minuman sahaja sebagaimana yang masih berlaku pada hari ini. Puasa hendaklah dilakukan secara 'ibadat', bukannya secara 'adat'.

Untuk mendapatkan ketakwaan daripada ibadah puasa, mata, telinga, lidah, tangan, kaki, hati dan seluruh anggota badan hendaklah turut ‘berpuasa’. Inilah peringkat puasa yang sebenar-benarnya yang patut ada pada setiap individu muslim. Puasa yang seumpama ini telah dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu ‘Ihya’ Ulumiddin’.  Imam Ghazali menamakan puasa yang seumpama ini sebagai puasa ‘khusus’. Manakala puasa yang lebih tinggi martabatnya menurut Imam al-Ghazali ialah puasa ‘khusus al-khusus’ iaitu seseorang berpuasa bukan sekadar memelihara anggota tubuh badannya daripada melakukan maksiat, bahkan ia juga memelihara hati agar sentiasa khusyuk, ikhlas dan mengingati Allah.

Namun, apa yang menyedihkan kita ialah ramai yang berpuasa perut sahaja, tetapi matanya tidak berpuasa. Mata tetap digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat seperti melayari laman pornografi dalam internet, meggunakan masa yang terluang sementara menunggu tibanya waktu berbuka puasa dengan menonton filem bollywood dengan aksi-aksi hero dan heroinnya yang menggiurkan!. Telinga pula digunakan untuk mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan sama ada yang berbentuk sentimental, heavy metal, rock atau thrash. Lidah digunakan untuk mengumpat, menipu, mengeluarkan perkataan keji dan lucah atau sekurang-kurangnya membuang masa dengan sembang dan omongan kosong semata! Manakala tangan dan kaki masih digunakan untuk perkara maksiat seperti memberi rasuah dan melangkah ke pub dan disko. Tambah menyedihkan lagi ialah, keletihan menahan lapar sanggup digagahi, tetapi amat sukar untuk bertakbir dan  sujud menyembah Ilahi dalam menunaikan kewajipan solat fardhu lima waktu!.

Sewajarnya setiap umat Islam yang berpuasa merenung sedalam-dalamnya hadis nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Nasae’i dan al-Hakim yang bermaksud: “Terdapat orang yang berpuasa yang hanya memperoleh lapar semata-mata”. Puasa yang memenatkan badan, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak memperoleh ganjaran yang disediakan oleh Allah.

Justeru, apabila Ramadan atau ‘bulan puasa’ disambut secara adat bukannya ibadat, maka, ia tidak dapat menghasilkan individu yang bertakwa kepada Allah. Akhirnya sambutan Ramadan   tidak mendatangkan ‘makna’ dan ‘pengertian’ sebenar dalam kehidupan seseorang muslim itu. Sehubungan dengan itu, ‘adat’ tahunan dalam menyambut Ramadan dan ‘puasa’ tidak lagi memberi sebarang erti untuk kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru, anjakan perlu dibuat untuk mengembalikan nilai ibadah dalam bulan Ramadan  agar dapat memperoleh wangian kasturi di sisi Allah serta kesejahteraan dunia akhirat dapat diperoleh kembali.

Ganjaran Bagi Orang Berpuasa






Sesungguhnya Allah telah menyediakan ganjaran yang besar dan tidak ternilai harganya kerpada orang yang benar-benar berpuasa. Dalam sebuah hadis sahih yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,  Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu”.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya".

Itulah antara ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi mereka yang berpuasa dengan cara 'ibadat' yang dikehendaki oleh syara’. Di samping itu, banyak lagi ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi orang yang berpuasa sebagaimana yang termaktub dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith. Oleh itu, janganlah kita berlengah lagi untuk berusaha mempastikan agar puasa kita pada tahun ini merupakan puasa yang dilakukan dengan ‘cara yang sebenar’ bukan lagi puasa ikut-ikutan yang tiada matlamat yang jelas selain menahan lapar dan dahaga sahaja!

Gunakanlah mata untuk memandang wajah ibubapa dengan perasaan kasih sayang, memandang ayat-ayat al-Quran serta memandang alam ciptaan Allah dengan rasa kagum kepadaNya. Gunakanlah telinga untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, kuliah ilmu, dan nasihat yang berguna. Gunakanlah lidah untuk berzikir dan memuji Allah serta menyampaikan nasihat yang baik dan bermanfaat. Gunakanlah tangan untuk menghulurkan derma dan sedekah demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang yang kurang berkemampuan. Gunakanlah kaki untuk melangkah ke masjid dan surau, bukan sahaja untuk menunaikan solat sunat Tarawih, tetapi apa yang lebih utama ialah untuk menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjamaah di sana. Gunakanlah hati untuk menginsafi diri, bermuhasabah serta menghargai nikmat yang Allah kurniakan. Jelasnya, gunakanlah seluruh anggota untuk mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa.