Sunday, July 7, 2013

Ganjaran Bagi Orang Berpuasa






Sesungguhnya Allah telah menyediakan ganjaran yang besar dan tidak ternilai harganya kerpada orang yang benar-benar berpuasa. Dalam sebuah hadis sahih yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a,  Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu”.

Dalam hadis lain yang diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya di dalam syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya".

Itulah antara ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi mereka yang berpuasa dengan cara 'ibadat' yang dikehendaki oleh syara’. Di samping itu, banyak lagi ganjaran-ganjaran yang disediakan oleh Allah bagi orang yang berpuasa sebagaimana yang termaktub dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadith. Oleh itu, janganlah kita berlengah lagi untuk berusaha mempastikan agar puasa kita pada tahun ini merupakan puasa yang dilakukan dengan ‘cara yang sebenar’ bukan lagi puasa ikut-ikutan yang tiada matlamat yang jelas selain menahan lapar dan dahaga sahaja!

Gunakanlah mata untuk memandang wajah ibubapa dengan perasaan kasih sayang, memandang ayat-ayat al-Quran serta memandang alam ciptaan Allah dengan rasa kagum kepadaNya. Gunakanlah telinga untuk mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran, kuliah ilmu, dan nasihat yang berguna. Gunakanlah lidah untuk berzikir dan memuji Allah serta menyampaikan nasihat yang baik dan bermanfaat. Gunakanlah tangan untuk menghulurkan derma dan sedekah demi meringankan bebanan yang ditanggung oleh orang yang kurang berkemampuan. Gunakanlah kaki untuk melangkah ke masjid dan surau, bukan sahaja untuk menunaikan solat sunat Tarawih, tetapi apa yang lebih utama ialah untuk menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjamaah di sana. Gunakanlah hati untuk menginsafi diri, bermuhasabah serta menghargai nikmat yang Allah kurniakan. Jelasnya, gunakanlah seluruh anggota untuk mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa.

No comments:

Post a Comment