Firman Allah dalam (Surah al-Qadr 97: 2-3), maksudnya: Dan
bukankah engkau (Muhammad) sudah mengetahui apakah kebesaran malam Lailatul
Qadr itu? Malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada
malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa
segala perkara.
Dalam merungkaikan
maksud ‘lebih baik daripada seribu bulan’, al-Tabariy telah menukilkan beberapa
tafsir ulama terhadapnya. Beliau memilih tafsiran yang mengatakan bahawa amalan
pada malam Lailatul Qadr adalah lebih baik berbanding amalan selama seribu
bulan yang tidak terdapat padanya Lailatul Qadr. Beliau menukilkan daripada
Mujahid katanya, “Dahulu di kalangan Bani Isra’il terdapat seorang lelaki
melakukan ibadat malam hari sehingga menjelang pagi, kemudian dia berperang
melawan musuh Allah sehingga menjelang malam. Lelaki tersebut melakukan perkara
tersebut selama seribu bulan. Kemudian Allah pun menurunkan ayat al-Quran (ليلة القدر خير من ألف شهر).
Ibnu Kathir dan
al-Suyutiy menukilkan daripada Abu Hatim yang menukilkan daripada `Urwah
katanya, diceritakan kepada Rasulullah berkenaan empat lelaki dari kaum Bani
Isra’il. Mereka beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa melanggar
perintah-Nya walau sekelip mata. Mereka ialah Ayyub, Zakariyya, Hazqil ibn
al-`Ajuz dan Yusha` ibn Nun. `Urwah berkata, lalu para sahabat Rasulullah pun
merasa kagum dengan ketekunan mereka. Lalu Jibril pun datang dan berkata, wahai
Muhammad, umatmu kagum dengan lelaki-lelaki tersebut yang beribadat kepada
Allah selama lapan puluh tahun tanpa pernah melanggar perintah Allah walau sekelip
mata. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kepada kamu perkara yang lebih baik
daripada itu. Jibril pun membacaإِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي
لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ
خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ .
Perkara ini lebih utama dikagumi olehmu dan umatmu. `Urwah berkata, perkara
tersebut telah mengembirakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang bersamanya.
Itulah
kemuliaan Lailatul Qadr. Sesiapa yang berjaya menghidupkannya dia diberi
ganjaran seumpama ahli ibadat dan mujahid yang beribadat dan berjihad hampir
lapan puluh tiga tahun empat bulan. Satu ganjaran yang hampir mustahil
diperoleh oleh kita pada zaman ini. Kemuliaan yang sebegitu sesuailah
dirakamkan satu surah daripada 114 surah yang terdapat di dalam al-Quran.
Selain itu,
kelebihan Ramadan dan juga Lailatul Qadr juga dapat dilihat pada
keampunan yang ditawarkan oleh Allah SWT khusus kepada hamba-hamba-Nya yang
berjaya menghidupkan kedua-duanya. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari, Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah
r.a. daripada Nabi SAW sabda baginda, "Barangsiapa yang mendirikan
Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan
keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu, barangsiapa
yang yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan
diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment