Followers

Sunday, July 7, 2013

Puasa Adat ?






Pensyariatan puasa adalah untuk melahirkan muslim yang bertakwa. Sehubungan dengan itu, untuk mendapat ketakwaan, umat Islam hendaklah berpuasa dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, bukan sekadar berpuasa daripada makanan dan minuman sahaja sebagaimana yang masih berlaku pada hari ini. Puasa hendaklah dilakukan secara 'ibadat', bukannya secara 'adat'.

Untuk mendapatkan ketakwaan daripada ibadah puasa, mata, telinga, lidah, tangan, kaki, hati dan seluruh anggota badan hendaklah turut ‘berpuasa’. Inilah peringkat puasa yang sebenar-benarnya yang patut ada pada setiap individu muslim. Puasa yang seumpama ini telah dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitabnya yang masyhur iaitu ‘Ihya’ Ulumiddin’.  Imam Ghazali menamakan puasa yang seumpama ini sebagai puasa ‘khusus’. Manakala puasa yang lebih tinggi martabatnya menurut Imam al-Ghazali ialah puasa ‘khusus al-khusus’ iaitu seseorang berpuasa bukan sekadar memelihara anggota tubuh badannya daripada melakukan maksiat, bahkan ia juga memelihara hati agar sentiasa khusyuk, ikhlas dan mengingati Allah.

Namun, apa yang menyedihkan kita ialah ramai yang berpuasa perut sahaja, tetapi matanya tidak berpuasa. Mata tetap digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat seperti melayari laman pornografi dalam internet, meggunakan masa yang terluang sementara menunggu tibanya waktu berbuka puasa dengan menonton filem bollywood dengan aksi-aksi hero dan heroinnya yang menggiurkan!. Telinga pula digunakan untuk mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan sama ada yang berbentuk sentimental, heavy metal, rock atau thrash. Lidah digunakan untuk mengumpat, menipu, mengeluarkan perkataan keji dan lucah atau sekurang-kurangnya membuang masa dengan sembang dan omongan kosong semata! Manakala tangan dan kaki masih digunakan untuk perkara maksiat seperti memberi rasuah dan melangkah ke pub dan disko. Tambah menyedihkan lagi ialah, keletihan menahan lapar sanggup digagahi, tetapi amat sukar untuk bertakbir dan  sujud menyembah Ilahi dalam menunaikan kewajipan solat fardhu lima waktu!.

Sewajarnya setiap umat Islam yang berpuasa merenung sedalam-dalamnya hadis nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Nasae’i dan al-Hakim yang bermaksud: “Terdapat orang yang berpuasa yang hanya memperoleh lapar semata-mata”. Puasa yang memenatkan badan, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak memperoleh ganjaran yang disediakan oleh Allah.

Justeru, apabila Ramadan atau ‘bulan puasa’ disambut secara adat bukannya ibadat, maka, ia tidak dapat menghasilkan individu yang bertakwa kepada Allah. Akhirnya sambutan Ramadan   tidak mendatangkan ‘makna’ dan ‘pengertian’ sebenar dalam kehidupan seseorang muslim itu. Sehubungan dengan itu, ‘adat’ tahunan dalam menyambut Ramadan dan ‘puasa’ tidak lagi memberi sebarang erti untuk kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru, anjakan perlu dibuat untuk mengembalikan nilai ibadah dalam bulan Ramadan  agar dapat memperoleh wangian kasturi di sisi Allah serta kesejahteraan dunia akhirat dapat diperoleh kembali.

2 comments:

  1. Makasih infonya dan Selamat menunaikan ibadah puasa, semoga amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

    ReplyDelete
  2. Ulasan yang menarik, ya, benar sekali, puasa itu tak hanya menahan lapar perut semata tapi lebih dari itu semua pintu nafsu harus ditutup termasuk mata dan indera lainnya.

    ReplyDelete