Pensyariatan puasa adalah untuk melahirkan muslim yang bertakwa.
Sehubungan dengan itu, untuk mendapat ketakwaan, umat Islam hendaklah berpuasa
dengan ‘cara yang sebenarnya’ sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah, bukan
sekadar berpuasa daripada makanan dan minuman sahaja sebagaimana yang masih
berlaku pada hari ini. Puasa hendaklah dilakukan secara 'ibadat', bukannya
secara 'adat'.
Untuk
mendapatkan ketakwaan daripada ibadah puasa, mata, telinga, lidah, tangan,
kaki, hati dan seluruh anggota badan hendaklah turut ‘berpuasa’. Inilah
peringkat puasa yang sebenar-benarnya yang patut ada pada setiap individu
muslim. Puasa yang seumpama ini telah dihuraikan oleh al-Imam al-Ghazali dalam
kitabnya yang masyhur iaitu ‘Ihya’ Ulumiddin’.
Imam Ghazali menamakan puasa yang seumpama ini sebagai puasa ‘khusus’.
Manakala puasa yang lebih tinggi martabatnya menurut Imam al-Ghazali ialah
puasa ‘khusus al-khusus’ iaitu seseorang berpuasa bukan sekadar memelihara
anggota tubuh badannya daripada melakukan maksiat, bahkan ia juga memelihara
hati agar sentiasa khusyuk, ikhlas dan mengingati Allah.
Namun, apa yang
menyedihkan kita ialah ramai yang berpuasa perut sahaja, tetapi matanya tidak
berpuasa. Mata tetap digunakan untuk melihat perkara-perkara maksiat seperti
melayari laman pornografi dalam internet, meggunakan masa yang terluang
sementara menunggu tibanya waktu berbuka puasa dengan menonton filem bollywood
dengan aksi-aksi hero dan heroinnya yang menggiurkan!. Telinga pula digunakan
untuk mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan sama ada yang berbentuk
sentimental, heavy metal, rock atau thrash. Lidah digunakan untuk mengumpat,
menipu, mengeluarkan perkataan keji dan lucah atau sekurang-kurangnya membuang
masa dengan sembang dan omongan kosong semata! Manakala tangan dan kaki masih
digunakan untuk perkara maksiat seperti memberi rasuah dan melangkah ke pub dan
disko. Tambah menyedihkan lagi ialah, keletihan menahan lapar sanggup digagahi,
tetapi amat sukar untuk bertakbir dan
sujud menyembah Ilahi dalam menunaikan kewajipan solat fardhu lima
waktu!.
Sewajarnya
setiap umat Islam yang berpuasa merenung sedalam-dalamnya hadis nabi yang
diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Nasae’i dan al-Hakim yang bermaksud: “Terdapat
orang yang berpuasa yang hanya memperoleh lapar semata-mata”. Puasa yang
memenatkan badan, menahan lapar dan dahaga tetapi tidak memperoleh ganjaran
yang disediakan oleh Allah.
Justeru,
apabila Ramadan atau ‘bulan puasa’ disambut secara adat bukannya ibadat, maka,
ia tidak dapat menghasilkan individu yang bertakwa kepada Allah. Akhirnya
sambutan Ramadan tidak mendatangkan
‘makna’ dan ‘pengertian’ sebenar dalam kehidupan seseorang muslim itu. Sehubungan
dengan itu, ‘adat’ tahunan dalam menyambut Ramadan dan ‘puasa’ tidak lagi
memberi sebarang erti untuk kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
Justeru, anjakan perlu dibuat untuk mengembalikan nilai ibadah dalam bulan
Ramadan agar dapat memperoleh wangian
kasturi di sisi Allah serta kesejahteraan dunia akhirat dapat diperoleh
kembali.
Makasih infonya dan Selamat menunaikan ibadah puasa, semoga amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.
ReplyDeleteUlasan yang menarik, ya, benar sekali, puasa itu tak hanya menahan lapar perut semata tapi lebih dari itu semua pintu nafsu harus ditutup termasuk mata dan indera lainnya.
ReplyDelete