Ibadat yang disyariatkan oleh Allah SWT
wujud dalam pelbagai bentuk. Antaranya ada dalam bentuk perbuatan seperti
solat, zakat serta haji dan ada dalam bentuk peninggalan seperti puasa. Puasa
secara zahirnya menguji tahap kesabaran manusia serta kehendak nafsu
syahwatnya. Namun jika dikaji secara mendalam, ia mempunyai nilai-nilai dan
elemen-elemen yang dapat membentuk kerohanian manusia sejak zaman berzaman. Puasa
tidak hanya bermula pada syariat Junjungan Besar Nabi kita Muhammad SAW. Hal
ini disebut dengan jelas di dalam kefardhuan puasa yang terdapat di dalam surah
al-Baqarah ayat ke-183 yang lalu iaitu: “…kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu... .”.
Ayat tersebut menyatakan bahawa puasa
yang difardhukan ini sama dengan puasa yang telah difardhukan ke atas umat-umat
terdahulu. Ini membuktikan bahawa amalan puasa adalah satu ibadat yang sudah
wujud di dalam syariat-syariat terdahulu. Pendetailan perkara ini dapat kita
lihat di dalam hadith-hadith Rasulullah SAW, antaranya:
عَنْ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ : إِنَّ أَحَبَّ الصِّيَامِ إِلَى اللَّهِ صِيَامُ دَاوُدَ
وَأَحَبَّ الصَّلاَةِ إِلَى اللَّهِ صَلاَةُ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ كَانَ
يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ
سُدُسَهُ وَكَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا. [i]
رواه مسلم
Maksud: Diriwayatkan daripada
Abdullah ibn `Amr r.a. katanya, sabda Rasulullah SAW, “Sesungguhnya puasa yang
paling disukai Allah ialah puasa (Nabi) Daud dan solat yang paling Allah sukai
ialah solat Daud (a.s). Beliau tidur pada separuh malam, berqiamullail pada
sepertiga malam dan tidur (semula) pada seperenam malam. Beliau berpuasa sehari
dan tidak berpuasa sehari (yang lain pula).
(Riwayat
Muslim)
Al-Qurtubiy semasa mentafsirkan ayat ini
menyatakan bahawa puasa telah disyariatkan kepada umat Nabi Musa dan Nabi Isa `Alahimassalam,
tetapi kemudiannya umat para nabi tersebut iaitu Bani Israel telah mengubah
dengan menambah sepuluh hari lagi, kemudian mereka menambah lagi seupuluh hari
sebagai membayar nazar pendita yang telah sembuh daripada sakit maka jadilah
puasa orang-orang Nasrani lima puluh hari.[ii]
Hikmah Allah SWT menceritakan ibadat
puasa yang telah difardhukan ke atas umat-umat terdahulu kerana dengan
perkhabaran tersebut umat Muhammad SAW akan merasakan mereka tidak keseorangan
dalam ibadat ini, malah mereka telah didahului oleh umat-umat yang sebelum.
Justeru, ia akan dapat memotivasikan
umat Islam dalam melaksanakan puasa dengan penuh rasa kebersamaan.
[i]
Muslim. Sahih Muslim, kitab al-siyam, bab al-nahy `an siyam al-dahr
liman tadarrara bih aw fawata bih haqqan aw lam yuftir. Jilid 2. Hlm. 182.
[ii]
Al-Qurtubiyy, Abu ‘Abd Allah Muhammad
bin Ahmad. 1384h/1964M, al-Jami` li Ahkam al-Qur’an. Tahqiq Ahmad al-Barduniy
& Ibrahim Atfish. Jilid 2. Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah. Hlm. 274.
Assalamualaikum ustaz..
ReplyDeleteSelamat menyambut bulan Ramadhan Mubarak...