Followers

Sunday, August 4, 2013

AIS Ceriakan Ramadan di Kemboja




RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu dengan Tuhannya (nanti). (riwayat Bukhari & Muslim)

Waktu berbuka puasa sememangnya adalah saat yang menggembirakan bagi Muslim selepas seharian menjalani ibadat puasa. 

Namun, hakikatnya bukan semua umat Islam bernasib baik sebagai mana majoriti Muslim di Malaysia yang menikmati pelbagai juadah semasa berbuka puasa.

Di antara masyarakat Islam yang melalui kehidupan sukar adalah umat Islam di Kemboja. Rata-ratanya mereka hidup dalam keadaan amat sederhana bahkan ramai yang hidup dalam belenggu kemiskinan.

Menyedari situasi tersebut, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia iaitu Akademi Imam Syafi'ei (AIS) menganjurkan program Berkongsi Rasa Bersama Saudara Seagama. Matlamatnya, memberi sedikit kegembiraan untuk sebahagian saudara Islam di Kemboja sempena bulan Ramadan yang mulia. 

Antara program yang disusun adalah majlis berbuka puasa, pengagihan bantuan makanan serta sagu hati hari raya.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada Misi Pendidikan dan Kebajikan Umat Islam Kemboja yang telah dikendalikan oleh AIS sejak 2009. 

Iftar bersama

Program kali ini disertai oleh para Pemegang Amanah AIS yang berada di Kemboja selama dua hari.

Mereka turut serta berbuka puasa bersama masyarakat Islam di Masjid Kampung Keh, berhampiran dengan Maahad Imam Syaf'ie yang ditubuhkan hasil inisiatif AIS dengan bantuan serta sokongan kewangan umat Islam Malaysia dan luar negara.

Lawatan tersebut membuka ruang untuk mereka mendekati umat Islam Kemboja yang menyambut kedatangan Ramadan dengan cara yang amat sederhana daripada aspek material. 

Majlis berbuka puasa yang dianjurkan memberi ruang kepada 60 pelajar di asrama Maahad Imam Syafi'e dan kira-kira 200 penduduk kampung sekitar menikmati menu yang jarang mereka nikmati. 

Pada majlis itu, sebanyak lima ekor kambing akikah disembelih. Kegembiraan jelas terbayang di wajah mereka yang menyertai majlis tersebut. 

Majlis dimulakan dengan sesi tazkirah oleh Pemegang Amanah AIS, Dr. Zawawi Ismail yang menekankan tentang bagaimana ibadah puasa dapat membentuk insan takwa dan pentingnya nilai takwa dalam kehidupan seseorang Muslim. 

Para penduduk yang hadir menikmati hidangan dengan wajah yang ceria sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah. Kari kambing bersama roti dan buah-buahan adalah menu yang jarang dinikmati oleh mereka. 

Keberkatan ilmu

Tazkirah sesi kedua diteruskan selepas solat Maghrib oleh seorang lagi Pemegang Amanah AIS, Dr. Mohd. Sukki Othman.

Beliau menyedarkan masyarakat setempat tentang keberkatan institusi keilmuan yang ditubuhkan di kampung mereka iaitu Maahad Imam Syaf'ie sehingga kerap kali mereka dapat merasai limpahannya melalui pelbagai program jamuan dan penyampaian bantuan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar Kemboja.

Mereka diseru agar menjadikan ilmu pengetahuan sebagai keutamaan dalam hidup demi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Para penduduk kemudiannya meneruskan ibadah solat sunat terawih secara berjemaah. 

Sementara itu, Pengerusi Pemegang Amanah AIS, Mohd. Zamerey Abdul Razak yang turut serta dalam program tersebut menjelaskan, sumbangan bagi mengadakan majlis tersebut datang dari pelbagai pihak di Malaysia dan luar negara yang prihatin dengan situasi saudara seIslam di Kemboja.

Katanya, sebahagian daripada mereka adalah penyumbang tetap daripada kalangan umat Islam di Malaysia di samping rakyat Malaysia yang menetap di luar negara serta masyarakat Islam di Asia Barat.

Beliau bersyukur kerana AIS dapat menjadi 'tangan' yang memanjangkan sumbangan dan infak tersebut agar sampai kepada mereka yang memerlukan dalam kalangan saudara kita di Kemboja.

"Walaupun tidak pernah mengenali antara satu sama lain, ikatan persaudaraan seagama merapatkan hubungan kita dengan mereka," katanya.

Dalam masa yang sama, sumbangan untuk mengadakan majlis berbuka puasa diserahkan kepada pihak masjid untuk meneruskannya sehingga penghujung Ramadan.

Rombongan AIS turut menyerahkan bungkusan bantuan makanan asas yang terdiri daripada beras, minyak masak dan gula kepada keluarga miskin di kampung tersebut.

Bagaimanapun, majlis penyerahan bantuan tidak dapat diadakan pada hari berkenaan kerana Kemboja sedang berada dalam tempoh kempen pilihan raya umum. 

Sebarang program yang dianggap boleh mengganggu proses pilihan raya seperti penyerahan bantuan kepada penduduk kampung adalah dilarang sepanjang tempoh tersebut.
Bazar Ramadan mini

Sempena lawatan kali ini, para Pemegang Amanah AIS berpeluang melihat suasana 'Bazar Ramadan' mini yang dijalankan pada waktu tengah hari di sekitar kawasan Maahad Imam Syaf'ie untuk penduduk kampung mendapatkan barang keperluan harian mereka. 

Para peniaga daripada kawasan sekitar termasuklah dalam kalangan bukan Muslim menjaja pelbagai keperluan asas dan bahan mentah untuk pilihan penduduk setempat. Suasananya amat menarik kerana bahan jualannya tidak jauh beza dengan apa yang dijual di pasar kawasan pendalaman di negara kita.

Di samping menganjurkan majlis berbuka puasa, rombongan turut meninjau perkembangan projek pembangunan di Maahad Imam Syaf'ie yang melibatkan pembinaan bangunan tambahan setinggi empat tingkat yang masih dalam pembinaan. 

Ia akan dijadikan kelas pembelajaran dan penginapan pelajar yang semakin bertambah dari tahun ke tahun. Jumlah semasa pelajar yang sedang mengikuti pengajian di maahad tersebut ialah 120 orang dan 60 orang daripada mereka menginap di asrama sedia ada. 

Seorang lagi Pemegang Amanah AIS, Rahimi Md. Saad memberitahu, pengajian di maahad itu akan dilanjutkan sehingga ke tingkatan enam hasil perbincangan yang dijalankan kali ini. 

Ini supaya pelajar yang ada sekarang dapat meneruskan kesinambungan pembelajaran mereka sehingga menamatkan pengajian peringkat persekolahan.

Katanya, Maahad Imam Syaf'ie telah berjaya menyediakan satu persekitaran persekolahan kondusif untuk mereka yang menggabungkan sistem persekolahan kebangsaan Kemboja dan Pendidikan Islam. 

"Kita amat berharap para pelajar ini akan berjaya dalam kedua-dua aliran tersebut supaya mereka dapat menyambung ke peringkat pengajian tinggi di kemudian hari dan akhirnya mereka dapat menyumbang khidmat membangunkan masyarakat mereka sendiri pada masa depan," jelasnya. 

Sempena lawatan kali ini, pihak AIS turut menyampaikan sagu hati hari raya kepada para guru yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi di maahad tersebut dan kepada para pendakwah yang berkhidmat menyebarkan kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat Islam di Kemboja. 

Sagu hati tersebut bertujuan menghargai sumbangan dan jasa bakti mereka dalam membangunkan masyarakat Kemboja dengan kefahaman Islam yang sebenar di samping meningkat motivasi agar mereka menyumbang dengan lebih berkesan. 

Zamerey berkata, AIS amat menghargai segala sumbangan para dermawan dari dalam dan luar Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dalam menjayakan Misi Pendidikan dan Kemanusiaan Umat Islam Kemboja. 

Sebarang maklumat lanjut bolehlah melayari
http://www.akademimamsyafie.blogspot.com/ atau facebook
 www.facebook.com/akademiimamsyafie atau hubungi Akademi Imam Syafi'e di talian: +6012-2942574 atau e-mel akademimamsyafie@gmail.com.

No comments:

Post a Comment