Oleh: Ustaz Shauqi
Firman Allah SWT
dalam surah al-Nahl ayat 68-69 bermaksud:
Dan Tuhanmu
memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di
gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang
didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan
buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang
diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah dari dalam
badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi
manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu,
ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang yang mahu berfikir.
Lebah merupakan
serangga terpilih berbanding dengan serangga-serangga yang lain. Justeru, Allah
SWT menurunkan surah al-Nahl dengan ayat-ayat yang lengkap mengenai lebah dan
kehidupannya. Bahkan, pemilihan nama surah ‘al-Nahl’ adalah merujuk kepada
maksud lebah itu sendiri. Pengungkapan mengenai lebah dalam ayat al-Quran di
atas adalah merupakan tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT. Manusia yang
mengkaji tentang kehidupan lebah dan madu yang dihasilkan oleh serangga ini
sudah tentu akan mengagumi haiwan ini. Kekaguman terhadap serangga ini akan
membawa kepada hakikat wujudnya Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Pencipta iaitu
Allah SWT. Selain itu, kita juga dapat mengambil pengajaran dan pengiktibaran
daripada kehidupan lebah yang boleh mendatangkan manfaat dalam kehidupan
seharian.
Allah telah
memberikan ilham atau naluri kepada lebah agar membuat sarang di kawasan
pergunungan, di pepohonan kayu, atau di
bumbung-bumbung rumah. Seterusnya,
pekerjaan lebah ialah menghirup sari bunga dan buah untuk menghasilkan
madu. Madu yang diperoleh daripada lebah dapat dijadikan sebagai ubat dan penawar kepada manusia terutamanya dalam
mempastikan kesihatan tubuh badan yang stabil.
Mengenali Lebah
Lebah adalah
sejenis serangga yang kebiasaannya hidup dengan cara kehidupan bermasyarakat. Di dalam sesebuah masyarakat atau koloni lebah
madu, terdapat tiga kumpulan yang masing-masing mempunyai tugas-tugas tertentu.
Pembahagian kumpulan tersebut ialah ratu lebah, lebah pekerja dan lebah jantan
(Sila rujuk Abu Bakar Atim & Abdul Malik Yaakob (1990), Penternakan
Lebah Madu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.).
Perintah Allah
kepada lebah dalam ayat al-Quran yang kita bincangkan ini, adalah merujuk
kepada golongan kata feminin. Hal ini bersesuaian dengan struktur organisasi
masyarakat lebah kerana yang memegang peranan sebagai ketua ialah permaisuri
atau ratu lebah. Selain itu, dalam masyarakat lebah, bilangan betina lebih
ramai daripada jantan. Boleh dikatakan bahawa pada kebiasaannya dalam satu-satu
masyarakat lebah, bilangan lebah jantan adalah sekitar satu pertiga sahaja
daripada jumlah keseluruhan lebah.
Setiap koloni lebah
diasas dan diketuai oleh lebah betina, iaitu permaisuri atau ratu. Ratu lebah
menduduki kedudukan tertinggi dalam sesebuah masyarakat lebah. Ia mempunyai
usia yang lebih panjang berbanding dengan lebah-lebah yang lain. Ratu lebah di
sepanjang hidupnya mendapat makanan yang lebih khusus yang disebut sebagai jeli
diraja. Jeli diraja ini dihasilkan oleh lebah-lebah pekerja yang masih muda.
Ratu lebah mempunyai
kuasa mengawal keseluruhan aktiviti yang dijalankan oleh kumpulan lebah pekerja
dan lebah jantan. Kematiannya akan menyebabkan keadaan porak-peranda pada
sesebuah kumpulan lebah dan mungkin mengakibatkan kemusnahan kumpulan tersebut.
Ratu lebah mengeluarkan dua jenis telur iaitu telur yang subur dan telur yang
tidak subur. Telur yang subur menghasilkan lebah pekerja dan ratu lebah,
manakala telur yang tidak subur hanya dapat menghasilkan lebah jantan.
Kelahiran ratu lebah bergantung kepada keperluan sesebuah koloni itu terhadap
ratu yang baru. Kebiasaannya ratu baru diperlukan apabila koloni itu tidak
mempunyai ratu, koloni tersebut bersedia untuk berpindah atau berpecah atau
apabila ratu yang ada telah tua atau uzur dan lebah pekerja mahu
menyingkirkannya.
Lebah pekerja pula merupakan
kumpulan lebah dalam kalangan lebah betina. Bilangan kumpulan ini merupakan yang
paling banyak iaitu mewakili kira-kira dua pertiga daripada bilangan yang
terdapat di dalam sesebuah koloni lebah. Bentuk badannya lebih kecil berbanding
ratu lebah dan lebah jantan. Ia merupakan kumpulan kedua pentingnya di dalam
sesebuah koloni. Lebah-lebah betina ini mempunyai pelbagai pembahagian tugas;
seperti mengumpul manisan dan debunga, membina sarang, menjaga kebersihan dan
keselamatan sarang, menyara dan memberi makan kepada lebah-lebah yang lain.
Lebah pekerja mampu
menjalankan kesemua kerja sama ada di dalam sarang atau di luar sarang. Tiga
tugas utama kumpulan ini ialah mencari manisan dan debunga, membela anak-anak
lebah dan mengawal sarang. Pembahagian kerja sungguh sistematik dan bergantung
kepada jangka masa umurnya yang sesuai dengan jenis-jenis kerja yang dilakukan.
Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, penggunaan perkataan yang dinisbahkan
untuk feminin dalam ayat 68 dan 69 dalam Surah al-Nahl adalah amat bertepatan
dengan penemuan ini kerana perkataan-perkataan tersebut merujuk kepada lebah
betina (lebah pekerja) yang menjalankan hampir kesemua tugas dalam koloni
lebah.
Khasiat
Madu Lebah
Dalam ayat 69 surah
al-Nahl, disebut secara jelas bahawa madu merupakan ubat dan penawar yang dapat
menyembuhkan pelbagai penyakit yang dihidapi oleh manusia. Firman Allah
bermaksud: “(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu)
yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari
berbagai-bagai penyakit).”
Madu adalah
campuran beberapa jenis gula dan air serta mengandungi sedikit bahan-bahan lain
seperti logam, asid dan enzim. Madu yang dihasilkan oleh lebah mempunyai
pelbagai warna sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam ayat
di atas. Ada yang berwarna putih, kuning, merah dan beberapa warna lain yang
menarik. Ia bergantung kepada jenis-jenis tumbuhan yang dilawati oleh
lebah-lebah tersebut.
Mengikut Abu Bakar
Atim dan Abdul Malik Yaakob dalam buku mereka Penternakan Lebah Madu,
terdapat dua faktor yang mempengaruhi warna madu. Faktor yang pertama ialah
warna manisan (nektar) dan kandungan debunga yang telah bercampur dengan nektar
yang dipungut. Faktor kedua pula ialah tempoh penyimpanan madu, iaitu makin
lama ia disimpan, makin gelap warnanya disebabkan oleh tindakan bahan enzim
semulajadi yang terdapat di dalam madu tersebut.
Madu dari sudut
saintifiknya mengandungi glukosa dan fruktosa serta sejumlah mineral seperti
magnesium, kalium, potasium, sodium, klorin, sulfur, besi dan fosfat. Madu juga
mengandungi vitamin B1, B2, C, B6 dan B3 yang komposisinya berubah-ubah sesuai
dengan kualiti madu. Antara penemuan
saintifik tentang khasiat madu adalah ia kaya dengan bahan anti-oksidan yang
boleh mencegah penyakit kanser, dan ia juga sebagai sumber tenaga yang meningkatkan kekuatan otot dan stamina
badan. Selain itu madu juga bertindak membunuh kuman daripada jenis bakteria,
fungus dan protozoa, dapat menyembuh
ulser dan luka dengan lebih cepat dan berkesan, serta mampu menjadi antibiotik yang lebih berkesan .
Madu lebah menjadi
penawar dan ubat kepada pelbagai jenis penyakit. Di dalam kitab al-Tibb
al-Nabawi ada dinyatakan bahawa madu sesuai digunakan untuk merawat
penyakit-penyakit yang bersifat sejuk kerana sifatnya yang panas. Rasulullah SAW juga menganjurkan agar
seseorang itu berubat dengan madu dan al-Qur'an, Baginda bersabda yang bermaksud:
"Ambillah / pergunakanlah olehmu sekalian akan dua ubat penyembuh iaitu
madu dan al-Qur'an." (Hadis
riwayat Ibnu Majah) .
Terdapat satu
peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. yang berkaitan dengan
penggunaan madu dalam bidang perubatan seperti yang terdapat di dalam hadis sahih
Bukhari yang bermaksud: ‘Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah
s.a.w, lalu dia berkata: “Saudaraku mengadu sakit perut.” Sabda Rasulullah
s.a.w: “Berikan madu kepadanya.” Kemudian lelaki itu datang kembali menemui
Rasulullah s.a.w. lalu baginda bersabda: “Berikan madu kepadanya.” Lelaki itu
datang lagi buat kali ketiga, Rasulullah s.a.w tetap bersabda: “Berikan madu
kepadanya.” Dia datang menemui Rasulullah buat kali keempat lalu berkata:
“Telah aku lakukan apa yang engkau perintahkan ya Rasulullah (namun sakitnya
bertambah juga).” Rasulullah s.a.w. berkata: “Allah itu benar, perut saudaramu
itulah yang dusta, minumkan madu kepadanya”. Lalu diminumkannya madu, maka
sembuhlah saudaranya.’
T.kasih atas ilmu ustz
ReplyDelete