Thursday, August 15, 2013

Puasa Enam Syawal: Umpama Berpuasa Sepanjang Tahun





Oleh



Dr. Mohd Sukki Othman






Diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansariy bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:



Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal adalah seperti puasa setahun penuh. ( Hadis Riwayat Muslim)



Ramadhan sudah pun melabuhkan tirainya. Masih terbayang di mata kemeriahan ibadah pada bulan Ramadhan. Masjid dan surau dipenuhi dengan para jamaah yang beriktikaf, mengerjakan solat secara berjamaah, bertadarus dan sebagainya. Syawal pula disambut dengan laungan takbir yang bergema di seluruh pelusuk negara tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Namun, suatu persoalan yang perlu dijawab ialah sejauh manakah komitmen untuk beristiqamah dan meneruskan kesinambungan ketaatan pada Allah pada bulan-bulan yang datang selepas Ramadhan?



Sudah menjadi adat dan kebiasaan dalam masyarakat kita untuk berlumba-lumba menunaikan ibadah pada bulan Ramadhan, tetapi apabila berlalunya Ramadhan, segala amal ibadah yang dilakukan terus ditinggalkan begitu sahaja. Amalan yang dilakukan itu adalah seumpama pepatah yang menyatakan ‘macam hangat-hangat tahi ayam’. Kalau dahulunya masjid dan surau dipenuhi oleh para jamaah, kini ia kembali lengang. Kalau pada bulan Ramadhan, boleh dikatakan setiap hari kita membaca al-Quran, namun kini al-Quran sudah tersimpan rapi di dalam almari.



Dalam bulan Ramadhan, masyarakat kita berlumba-lumba untuk bersedekah, namun apabila berlalunya bulan tersebut ramai yang kembali menjadi bakhil. Kalau dalam bulan Ramadhan, puasa dapat dilaksanakan selama sebulan, tapi apabila datangnya Syawal, puasa enam hari pun amat berat untuk dikerjakan, sedangkan semua maklum tentang ganjaran ‘puasa enam’ sebagaimana dalam hadis nabi SAW yang bermaksud:   Barang siapa yang puasa pada bulan Ramadan, kemudian diikuti puasa enam hari pada bulan Syawal (ganjarannya) adalah seperti puasa setahun penuh’. (Hadis Riwayat Imam Muslim).



Puasa Enam Hari Dalam Bulan Syawal



Hadis di atas menunjukkan betapa beristiqamah dalam melakukan ibadah puasa menghasilkan ganjaran dan pahala yang banyak di sisi Allah. Justeru, apabila selesai menunaikan puasa di bulan Ramadhan, tidak wajar terhenti amalan puasa setakat itu sahaja, bahkan amat digalakkan untuk meneruskan amalan puasa dalam bulan Syawal sebagai suatu kesinambungan daripada puasa Ramadhan.



Puasa enam hari dalam bulan Syawal boleh dilakukan secara berturutan atau pun tidak. Hal ini kerana ungkapan hadis itu bersifat mutlak iaitu boleh memilih mana-mana enam hari dalam bulan Syawal untuk melaksanakan puasa sunat. Namun begitu,  bersegera dalam melaksanakan puasa enam adalah lebih utama. Begitu juga tidak diwajibkan untuk melaksanakan puasa enam dalam bulan Syawal secara terus menerus akan tetapi hal itu adalah lebih utama. Kata Imam Khatib Syarbini dalam kitabnya, Mughni Muhtaj, puasa enam elok dilaksanakan secara berturut-turut tetapi sekiranya dilakukan secara berselang-seli juga tidak menjadi satu kesalahan.



Antara fadilat puasa enam ialah mereka yang melaksanakan puasa enam akan diberi ganjaran seperti berpuasa setahun sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis di atas. Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil daripada sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang riwayat Imam an-Nasai bermaksud: "Berpuasa pada bulan Ramadan seolah-olah berpuasa selama sepuluh bulan dan puasa enam pada bulan syawal seperti berpuasa dua bulan."



Manakala di dalam kitab Sabil al-Muhtadin pula, dinyatakan bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari pada bulan Ramadan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.



Tambahan daripada itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita pada bulan Ramadan ini kita teruskan juga pada bulan Syawal, walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana terpaksa atau kewajipan semata-mata tetapi kita melakukannya kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Tuhannya. Semuanya bertujuan membersihkan diri dan menundukkan hawa nafsu.



Antara manfaat puasa enam hari pada bulan syawal juga adalah sebagai kesinambungan amalan yang dikerjakan seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada Rabbnya pada bulan Ramadhan tidak terputus dengan berlalunya bulan mulia ini.



Oleh kerana itu sebaiknya orang yang memiliki hutang puasa Ramadhan memulai membayarnya di bulan Syawal, kerana hal itu mempercepat proses pembebasan dirinya daripada tanggungan hutangnya. Kemudian dilanjutkan dengan enam hari puasa Syawal, dengan demikian ia telah melakukan puasa ramadhan dan mengikutinya enam hari di bulan Syawal.



Namun begitu, dalam hal mana yang perlu diutamakan sama ada berpuasa qada' terlebih dahulu atau berpuasa sunat enam hari dalam bulan Syawal, terdapat 3 pandangan mengenainya, iaitu:



1. Pandangan Pertama : Qadha dahulu , kemudian barulah kerjakan puasa sunat. Dalilnya ialah hadis nabi "sesiapa yangg berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari dalam bulan Syawal, maka akan mendapat pahala sepanjang tahun". Jadi, dalam hadis ni menyatakan kena selesaikan puasa ramadhan dahulu, kemudian dilengkapkan dengan puasa sunat syawal. Oleh yang demikian, hendaklah diqadha terlebih dahulu puasa Ramadhan yang ditinggalkan, kemudian barulah sambung dengan puasa sunat.  



2.  Pandangan Kedua: Laksanakan puasa sunat Syawal terlebih dahulu, kemudian baru qadha'. Hal ini disebabkan  puasa sunat Syawal waktunya terhad hanya dalam bulan Syawal sahaja, manakala qada' puasa boleh dibuat dalam jangka masa yang lebih panjang. Ia berdasarkan dalil bahawa Aisyah pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadan yang perlu diqada hingga ke bulan Syaaban akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadan. Aku tidak mampu mengqadanya kecuali pada bulan Syaaban kerana sibuk (melayani) Rasulullah SAW." (Sahih Muslim). Ulama yang mengemukakan pendapat ini berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah SAW, iaitu Aisyah tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqada puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadan.



3. Pandangan Ketiga: hendaklah berniat puasa qada' dan apabila puasa qada' tersebut berbetulan dgn hari-hari yang disunatkan, maka akan mendapat pahala puasa sunat sekali. Ijtihad dan pandangan ini telah dikemukakan oleh para ulama fiqh seperti Syeikh Zakariyya al-Ansoriy, Syeikh 'Atiyyah Saqr dan kebanyakan ulama' Syafi'yyah. Apabila amalan wajib dilakukan bertepatan dengan waktu yang disunatkan, maka pahala sunat akan turut diperoleh. Contohnya apabila masuk ke dalam masjid dan didapati solat fardu sedang dikerjakan maka hendaklah terus menunaikan solat fardu berjemaah dan pahala sunat tahiyyatul masjid juga akan terhasil. Syeikh Zakariyya al-Ansoriy menyatakan apabila berpuasa qada' dalam bulan Syawal, maka pahala puasa enam akan turut diperoleh kerana ia telah mencapai maksud hadis Rasulullah SAW agar berpuasa di bulan Syawal.



Kesimpulannya,  hendaklah  diqada' terlebih dahulu puasa untuk membayar hutang yang wajib terlebih dahulu, dan sekiranya ada kesempatan lagi... boleh diteruskan pula dgn puasa sunat. Akan tetapi kalau tidak berkesempatan, maka moga-moga puasa qada' yg dilakukan pada bulan Syawal itu akan mendapat pahala puasa enam sekali.








No comments:

Post a Comment