Oleh: Ustaz Shauqi
Seorang
ulama salaf ditanya tentang mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada
bulan Ramadhan tetapi jika Ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh
lagi dalam mengerjakan ibadah, lalu beliau menjawab: ’seburuk-buruk golongan
adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan sahaja,
padahal orang soleh adalah mereka yang beribadah dengan bersungguh-sungguh di
sepanjang tahun’. Dalam hal ini, Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah menyatakan
: ’Jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan’.
Meneruskan
ibadah serta beristiqamah melaksanakannya setelah berlalunya Ramadhan menandakan
diterimanya amalan soleh yang dikerjakan, kerana apabila Allah Ta'ala menerima
amalan seseorang hamba, pasti Dia menolong hamba tersebut dalam meningkatkan
perbuatan baik selepasnya. Sebahagian cerdik pandai mengatakan : Pahala amal
kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya. Justeru,
sesiapa yang dikatakan mengerjakan kebaikan adalah dilihat berdasarkan
kebaikan yang ada sesudahnya. Sesiapa yang mengerjakan
kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan
tanda terkabulnya amalan pertama. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang
melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk atau tidak beristiqamah
dalam melaksanakannya, maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang telah
dibuat.
Kalau
diperhatikan sikap dan tabiat dalam masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu
Islam, maka akan didapati bahawa mereka hanya akan menghormati tempat-tempat
atau masa-masa tertentu sahaja. Sebagai contohnya, kedapatan mereka yang
terpaksa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah, maka akan dipakai pakaian
yang sopan dan menutup aurat. Akan tetapi, apabila keluar sahaja dari
perkarangan mahkamah, maka aurat kembali didedahkan. Begitu juga ’trend’
mengadakan upacara akad nikah di masjid. Kelihatan pengantin dan tetamu yang hadir
akan berpakaian menutup aurat ketika berada di dalam masjid. Namun, apabila
selesai sahaja upacara akad nikah dan masing-masing sudah keluar dari masjid,
maka persoalan aurat sudah dilupakan. Apakah mereka menyedari bahawa Allah yang
mengawasi gerak-geri dan perbuatan manusia bukan sahaja melihat telatah manusia
di dalam masjid dan di bulan Ramadhan, bahkan Allah mengawasi seluruh perbuatan
manusia pada setiap masa dan tempat?!.
Justeru,
menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk kembali bermuhasabah dan menilai
sejauh manakah kefahaman dalam melaksanakan perintah Allah. Sekiranya amalan
yang dilakukan itu tidak disandarkan kepada ilmu pengetahuan serta kefahaman
yang cukup, maka dibimbangi amalan baik yang dilakukan itu tidak dikira sebagai
ibadah di sisi Allah, sebaliknya ia merupakan ’adat’ semata-mata. Budaya
ikut-ikutan tanpa ilmu dalam masyarakat perlu dibanteras dan ditangani segera
kerana ia merupakan salah satu faktor penghalang kepada ‘istiqamah’ dalam
pengabdian diri kepada Allah SWT.
Istiqamah
merupakan sesuatu yang amat sukar, namun ia amat bermakna dalam kehidupan
seseorang kerana ganjaran bagi mereka yang beristiqamah dalam melaksanakan
amalan soleh ialah syurga. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 30
bermaksud: “Sesungguhnya orang yang
menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah",
kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan
turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham):
"Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap
kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu
akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.
Nabi SAW telah ditanya oleh seorang sahabat: “Wahai Rasulullah!
Katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam yang aku tidak perlu bertanya
kepada orang lain”. Rasulullah SAW. bersabda: "Ucapkanlah ‘aku
beriman kepada Allah’ kemudian beristiqamahlah." (hadis riwayat
Muslim). Keimanan dan istiqamah ini akan menatijahkan keselamatan dari segala
bahaya dan memperolehi keredhaan Allah dengan memperoleh nikmat dan kurniaan
syurga daripada Allah. Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah jelas menyatakan bahawa
iman meliputi aqidah yang benar, amalan hati seperti keinginan kepada kebaikan
dan membenci kejahatan, dan perbuatan anggota fizikal seperti solat, zakat,
haji, menolong orang lain dan sebagainya.
Keteguhan dalam keimanan akan menentukan ketepatan dalam
amalan-amalan iaitu dengan mengikhlaskan diri kepada Allah serta melakukannya
menurut petunjuk Rasulullah SAW. Amalan-amalan ini akan menjadi lebih sempurna
apabila dilakukan dengan penuh istiqamah dan dilaksanakan secara berterusan.
Halangan-halangan yang berlaku kepada seseorang tidak akan menyekatnya dari
terus mengabdikan diri kepada Allah baik ketika sakit atau sihat, senang atau
susah, dalam perjalanan atau di tempat sendiri. Istiqamah merupakan tanda kesempurnaan amalan seseorang
mukmin dan ia merupakan sesuatu yang amat besar nilainya. Sehubungan dengan
itu, sesukar mana pun istiqamah, kita hendaklah berusaha melaksanakannya demi
memperoleh keredhaan Allah dan mengecapi kebahagiaan yang abadi di akhirat
kelak.
assalamualaikum ust mohon jadi rakan blog saya
ReplyDelete