Thursday, August 15, 2013

Sukar Untuk Istiqamah?.




Oleh: Ustaz Shauqi

Seorang ulama salaf ditanya tentang mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan Ramadhan tetapi jika Ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi dalam mengerjakan ibadah, lalu beliau menjawab: ’seburuk-buruk golongan adalah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan sahaja, padahal orang soleh adalah mereka yang beribadah dengan bersungguh-sungguh di sepanjang tahun’. Dalam hal ini, Sheikh Yusuf al-Qaradawi telah menyatakan : ’Jadilah hamba Allah, bukannya hamba Ramadhan’.

Meneruskan ibadah serta beristiqamah melaksanakannya setelah berlalunya Ramadhan menandakan diterimanya amalan soleh yang dikerjakan, kerana apabila Allah Ta'ala menerima amalan seseorang hamba, pasti Dia menolong hamba tersebut dalam meningkatkan perbuatan baik selepasnya. Sebahagian cerdik pandai mengatakan : Pahala amal kebaikan adalah kebaikan yang ada sesudahnya.  Justeru,  sesiapa yang dikatakan mengerjakan kebaikan adalah dilihat berdasarkan kebaikan yang ada sesudahnya. Sesiapa yang mengerjakan kebaikan kemudian melanjutkannya dengan kebaikan lain, maka hal itu merupakan tanda terkabulnya amalan pertama. Demikian pula sebaliknya, jika seseorang melakukan suatu kebaikan lalu diikuti dengan yang buruk atau tidak beristiqamah dalam melaksanakannya, maka hal itu merupakan tanda tertolaknya amal yang telah dibuat.

Kalau diperhatikan sikap dan tabiat dalam masyarakat kita khususnya masyarakat Melayu Islam, maka akan didapati bahawa mereka hanya akan menghormati tempat-tempat atau masa-masa tertentu sahaja. Sebagai contohnya, kedapatan mereka yang terpaksa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah, maka akan dipakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Akan tetapi, apabila keluar sahaja dari perkarangan mahkamah, maka aurat kembali didedahkan. Begitu juga ’trend’ mengadakan upacara akad nikah di masjid. Kelihatan pengantin dan tetamu yang hadir akan berpakaian menutup aurat ketika berada di dalam masjid. Namun, apabila selesai sahaja upacara akad nikah dan masing-masing sudah keluar dari masjid, maka persoalan aurat sudah dilupakan. Apakah mereka menyedari bahawa Allah yang mengawasi gerak-geri dan perbuatan manusia bukan sahaja melihat telatah manusia di dalam masjid dan di bulan Ramadhan, bahkan Allah mengawasi seluruh perbuatan manusia pada setiap masa dan tempat?!.

Justeru, menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk kembali bermuhasabah dan menilai sejauh manakah kefahaman dalam melaksanakan perintah Allah. Sekiranya amalan yang dilakukan itu tidak disandarkan kepada ilmu pengetahuan serta kefahaman yang cukup, maka dibimbangi amalan baik yang dilakukan itu tidak dikira sebagai ibadah di sisi Allah, sebaliknya ia merupakan ’adat’ semata-mata. Budaya ikut-ikutan tanpa ilmu dalam masyarakat perlu dibanteras dan ditangani segera kerana ia merupakan salah satu faktor penghalang kepada ‘istiqamah’ dalam pengabdian diri kepada Allah SWT.

Istiqamah merupakan sesuatu yang amat sukar, namun ia amat bermakna dalam kehidupan seseorang kerana ganjaran bagi mereka yang beristiqamah dalam melaksanakan amalan soleh ialah syurga. Firman Allah dalam surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: “Sesungguhnya orang  yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (beristiqamah), akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”.

Nabi SAW telah ditanya oleh seorang sahabat: “Wahai Rasulullah! Katakanlah kepadaku satu perkataan tentang Islam yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain”. Rasulullah SAW. bersabda: "Ucapkanlah ‘aku beriman kepada Allah’ kemudian beristiqamahlah." (hadis riwayat Muslim). Keimanan dan istiqamah ini akan menatijahkan keselamatan dari segala bahaya dan memperolehi keredhaan Allah dengan memperoleh nikmat dan kurniaan syurga daripada Allah. Nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah jelas menyatakan bahawa iman meliputi aqidah yang benar, amalan hati seperti keinginan kepada kebaikan dan membenci kejahatan, dan perbuatan anggota fizikal seperti solat, zakat, haji, menolong orang lain dan sebagainya.

Keteguhan dalam keimanan akan menentukan ketepatan dalam amalan-amalan iaitu dengan mengikhlaskan diri kepada Allah serta melakukannya menurut petunjuk Rasulullah SAW. Amalan-amalan ini akan menjadi lebih sempurna apabila dilakukan dengan penuh istiqamah dan dilaksanakan secara berterusan. Halangan-halangan yang berlaku kepada seseorang tidak akan menyekatnya dari terus mengabdikan diri kepada Allah baik ketika sakit atau sihat, senang atau susah, dalam perjalanan atau di tempat sendiri. Istiqamah merupakan tanda kesempurnaan amalan seseorang mukmin dan ia merupakan sesuatu yang amat besar nilainya. Sehubungan dengan itu, sesukar mana pun istiqamah, kita hendaklah berusaha melaksanakannya demi memperoleh keredhaan Allah dan mengecapi kebahagiaan yang abadi di akhirat kelak.

1 comment: