ISLAM agama ilmu. Islam juga memerangi
kejahilan. Oleh itu, umat Islam diperintahkan agar mencari ilmu.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu
Majah bermaksud: "Menuntut ilmu diwajibkan kepada setiap muslim".
Daripada ayat al-Quran yang pertama diturunkan iaitu Iqra', Allah SWT menghendaki manusia membaca dan pembacaan itu merupakan pintu kepada memperolehi ilmu.
Al-Quran itu sendiri merupakan kitab ilmu dan al-Quran telah
menjadikan ilmu sebagai kayu pengukur kepada kelebihan seseorang manusia
di atas dunia ini.
Justeru ketika menilai sesuatu pegangan dan aliran mestilah daripada
perspektif ilmu agar tidak terpedaya dengan syaitan. Sememangnya jika
dilihat dari sudut luaran, golongan Syiah agak ke hadapan daripada
pelbagai sudut seperti ketenteraan, disiplin, penampilan dan sebagainya.
Apatah lagi setelah berlakunya Revolusi Islam Iran pada tahun 1979
yang menyerlahkan lagi kewibawaan Iran mendokong dan menyebar fahaman
Syiah, namun semua itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk terus menerima
pegangan dan aliran mereka.
Banyak golongan dan ajaran sesat yang berjaya menzahirkan penampilan
hebat, namun akhirnya apabila ditimbang dari sudut ilmu, amat
mengecewakan bahkan termasuk dalam ajaran yang menyeleweng. Jika
persepsi menjadi ukuran, sudah tentu masyarakat akan mudah terikut
dengan akidah dan pegangan orang Jepun.
Orang Jepun masyhur dengan semangat kerja mereka, disiplin yang
tinggi, bahkan amalan kebersihan yang sangat dipuji sehinggakan ada
menyatakan bahawa seseorang itu boleh tidur dalam tandas di Jepun
lantaran tandas mereka yang sangat bersih!
Namun, apakah kehebatan dan penampilan masyarakat Jepun itu
mewajarkan kita mengamal dan menganut agama Shinto mereka yang syirik
itu? Sudah tentu tidak! Oleh yang demikian, ilmu hendaklah dijadikan
suatu ukuran untuk menerima sesuatu pegangan dan ajaran.
Melalui kajian ilmu, didapati Syiah merupakan golongan yang sesat
lagi menyesatkan. Mereka tidak termasuk dalam golongan Ahli Sunnah Wal
Jamaah. Pegangan mereka juga dilihat bercanggah dengan al-Quran dan
hadis Nabi SAW.
Terdapat tiga kategori golongan Syiah iaitu: Syiah mughaliyah
(pelampau), Syiah Rafidah (Imamiyah) dan Syiah Mu'tadilah (Zaidiyah).
Daripada tiga golongan Syiah ini, Syiah Rafidah atau Imamiyah
merupakan golongan yang paling dominan dan berkembang dalam dunia pada
hari ini. Mereka merupakan majoriti Syiah yang mengatakan imamnya Ali
adalah dengan nas, Ali telah menaskan imamah anaknya Hassan manakala
Hassan telah menaskan imamah saudaranya Hussein.
Begitulah seterusnya imamah itu berpindah dengan nas kepada anak-anak
Hussein sehinggalah kepada Muhammad bin Hassan al-Askari yang pada
pendapat mereka dia ghaib semasa kecil dan akan muncul sebagai Imam
Mahdi pada akhir zaman dengan membawa kebenaran dan keadilan.
Mereka dikenali dengan Syiah Imamiyah kerana pegangan mereka kepada 12 imam yang dianggap sebagai maksum (bebas daripada segala dosa dan kesalahan).
Mereka ini juga dinamakan golongan Rafidah kerana mereka menolak
imamah Abu Bakar, Umar al-Khattab dan Uthman Affan dengan hujah bahawa
Nabi Muhammad SAW mewasiatkan kepada Ali sebagai khalifah selepasnya.
Namun wasiat ini pada dakwaan Syiah telah diketepikan oleh kebanyakan
sahabat selepas kewafatan Rasulullah SAW. Oleh yang demikian mereka
mengkafirkan para sahabat Nabi SAW termasuk sahabat-sahabat yang rapat
dengan Rasulullah SAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan
selainnya.
Jelasnya, Syiah bukanlah suatu ajaran yang boleh diikuti, bahkan ia
merupakan ajaran sesat yang diasaskan oleh seorang Yahudi dari Yemen
yang bernama Abdullah bin Saba'.
Dia merupakan bangsa Yahudi yang berpura-pura memeluk Islam. Dia
pandai mengada-adakan cerita palsu dan bijak menipu orang. Dia juga
digelar Ibnu Sauda'.
Setelah Abdullah bin Saba' memeluk Islam secara berpura-pura, dialah
orang yang mula-mula mengisytiharkan kewajipan melantik Ali sebagai Imam
dan menyatakan secara terbuka penentangannya terhadap musuh-musuh Ali,
bahkan mengkafirkan mereka.
Bermula dari sinilah, dapat dilihat dengan jelas bahawa ajaran Syiah
Rafidah terpengaruh dengan agama Yahudi. Syiah merupakan ajaran sesat
yang paling lama dapat bertahan sehingga ke hari ini. Mereka yang
terpedaya dengan ajaran Syiah telah terperangkap dengan tipu daya
syaitan yang sememangnya sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat Islam
daripada persada kebenaran.
Syiah dan al-Quran
Bahaya Syiah jelas apabila melihat kepada pandangan mereka terhadap
kitab suci al-Quran. Syiah tidak menganggap kitab suci al-Quran adalah
kitab yang terpelihara. Bahkan mereka beranggapan telah berlaku
penyelewengan pada ayat-ayat al-Quran.
Buktinya adalah nas yang dikemukakan oleh al-Kulaini iaitu ulama
hadis Syiah dalam kitab hadisnya al-Kafi dengan menyatakan bahawa:
"Daripada Hisham bin Salim, daripada Abi Abdillah, a.s berkata, al-Quran
yang didatangkan oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW adalah sebanyak
17,000 ayat".
Pegangan golongan Syiah ini jelas menunjukkan bahawa mereka
beranggapan al-Quran yang ada pada umat Islam hari ini masih tidak
sempurna kerana ayat al-Quran yang ada hanya berjumlah 6,236 ayat
sahaja, sedangkan mereka beranggapan bahawa al-Quran sebenar iaitu yang
dikenali sebagai mushaf Fatimah mengandungi 17,000 ayat.
Ini bermakna dua pertiga ayat al-Quran sudah diselewengkan. Pegangan
Syiah ini jelas sesat kerana Allah SWT telah menjamin kesucian al-Quran.
Kitab suci itu terpelihara sehingga hari kiamat, tidak akan berlaku
penyelewengan terhadap al-Quran walau satu huruf sekalipun. Firman Allah
SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
Allah juga berfirman dalam Surah Fussilat ayat 41-42 yang bermaksud: Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar terhadap al-Quran ketika sampainya kepada
mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang al-Quran
itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab suci yang tidak dapat ditandingi,
yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan
seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha
Terpuji.
Syiah dan Hadis
Golongan Syiah menolak hadis-hadis yang terdapat dalam sahih Bukhari,
sahih Muslim, sunan al-Tirmidzi dan kitab-kitab hadis ahli sunah yang
lain. Mereka menolak mentah-mentah hadis-hadis yang diriwayatkan oleh
para sahabat Rasulullah SAW.
Bagi mereka, kitab hadis yang menjadi pegangan mereka ialah al-Kafi tulisan al-Kulaini, yang diriwayatkan daripada Imam Maksum.
Mereka juga menganggap para sahabat menjadi kufur dan murtad setelah
kewafatan Rasulullah SAW. Al-Kulaini yang dianggap oleh golongan Syiah
setaraf dengan Imam Bukhari meriwayatkan bahawa para sahabat telah
murtad sepeninggalan Rasulullah SAW kecuali tiga orang daripada mereka
iaitu Miqdad bin Aswad, Abu Zar al-Ghifari dan Salman al-Farisi.
Ini jelas menunjukkan kebiadaban puak Syiah kerana perbuatan
mengkafirkan para sahabat Nabi Muhammad SAW sedangkan para sahabat
mendapat tarbiah secara langsung daripada baginda. Secara tidak
langsungnya, puak Syiah juga telah memperkecilkan serta menghina
Rasulullah SAW.
Golongan Syiah juga sangat biadab terhadap para isteri Rasulullah SAW
dengan mengatakan bahawa Saidatina Aisyah dan Saidatina Hafsah sebagai
munafik dan kafir. Mereka mendatangkan riwayat palsu yang kononnya
muktabar tentang Aisyah dan Hafsahlah yang telah meracuni Rasulullah SAW
sehingga mengakibatkan kewafatan baginda.
Syiah dan Taqiyah
Sebenarnya konsep taqiyah itu ialah konsep yang berasaskan
kepada perbuatan berdusta, berbohong dan berpura-pura. Namun, konsep ini
telah dijadikan asas oleh golongan Syiah dalam memartabatkan keimanan
mereka kepada Allah SWT.
Disebabkan sikap taqiyah ini, para ulama tidak mahu menerima riwayat
yang dibawa oleh golongan Syiah ekoran pembohongan yang dilakukan oleh
mereka.
Ajaran Syiah itu sendiri sebenarnya ditegakkan di atas dasar taqiyah. Al-Kulaini meriwayatkan dalam kitab beliau al-Kafi:
"Sesungguhnya kamu berada di atas agama yang sesiapa menyembunyikannya
akan dimuliakan Allah dan sesiapa menyebarkannya akan dihina oleh
Allah".
saya mau tanya ustaz..adakah golongan syiah ini mengucap sahadah???..melakukan solat 5 waktu dan melaksanakan rukun 5 rukun islam??
ReplyDelete