Wednesday, July 9, 2014

Lebih Baik Dari Seribu Bulan

 
 
Dalam merungkaikan maksud ‘lebih baik daripada seribu bulan’, al-Tabariy telah menukilkan beberapa tafsir ulama terhadapnya. Beliau memilih tafsiran yang mengatakan bahawa amalan pada malam Lailatul Qadr adalah lebih baik berbanding amalan selama seribu bulan yang tidak terdapat padanya Lailatul Qadr. Beliau menukilkan daripada Mujahid katanya, “Dahulu di kalangan Bani Isra’il terdapat seorang lelaki melakukan ibadat malam hari sehingga menjelang pagi, kemudian dia berperang melawan musuh Allah sehingga menjelang malam. Lelaki tersebut melakukan perkara tersebut selama seribu bulan. Kemudian Allah pun menurunkan ayat al-Quran (ليلة القدر خير من ألف شهر).

Ibnu Kathir dan al-Suyutiy menukilkan daripada Abu Hatim yang menukilkan daripada `Urwah katanya, diceritakan kepada Rasulullah berkenaan empat lelaki dari kaum Bani Isra’il. Mereka beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa melanggar perintah-Nya walau sekelip mata. Mereka ialah Ayyub, Zakariyya, Hazqil ibn al-`Ajuz dan Yusha` ibn Nun. `Urwah berkata, lalu para sahabat Rasulullah pun merasa kagum dengan ketekunan mereka. Lalu Jibril pun datang dan berkata, wahai Muhammad, umatmu kagum dengan lelaki-lelaki tersebut yang beribadat kepada Allah selama lapan puluh tahun tanpa pernah melanggar perintah Allah walau sekelip mata. Sesungguhnya Allah SWT menurunkan kepada kamu perkara yang lebih baik daripada itu. Jibril pun membacaإِنَّا أَنزلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ . Perkara ini lebih utama dikagumi olehmu dan umatmu. `Urwah berkata, perkara tersebut telah mengembirakan Rasulullah SAW dan para sahabat yang bersamanya.

Itulah kemuliaan Lailatul Qadr. Sesiapa yang berjaya menghidupkannya dia diberi ganjaran seumpama ahli ibadat dan mujahid yang beribadat dan berjihad hampir lapan puluh tiga tahun empat bulan. Satu ganjaran yang hampir mustahil diperoleh oleh kita pada zaman ini. Kemuliaan yang sebegitu sesuailah dirakamkan satu surah daripada 114 surah yang terdapat di dalam al-Quran.

Selain itu, kelebihan Ramadan dan juga Lailatul Qadr juga dapat dilihat pada keampunan yang ditawarkan oleh Allah SWT khusus kepada hamba-hamba-Nya yang berjaya menghidupkan kedua-duanya. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Hurayrah r.a. daripada Nabi SAW sabda baginda, "Barangsiapa yang mendirikan Lailatul Qadr dengan  penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu, barangsiapa yang yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment